Hukum Ibu Bapa Yang Pilih Kasih - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Ibu Bapa Yang Pilih Kasih

SOALAN


Boleh dikatakan pada zaman ini ada segelintir ibu bapa yang pilih kasih dan berat sebelah untuk memberikan sesuatu kepada salah seorang anak-anaknya. Jadi. Apakah hukumnya?

JAWAPAN 


Disunatkan ibu bapa memberikan hadiah atau harta sama rata kepada anak-anaknya.

Jika dilebihkan pemberian kepada sebahagian anak sahaja maka perbuatan itu adalah dibenci syarak sekali pun pemberian itu adalah sah.

Diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir r.a. kata beliau :

انْطَلَقَ بِي أَبِي يَحْمِلُنِي إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، اشْهَدْ أَنِّي قَدْ نَحَلْتُ النُّعْمَانَ كَذَا وَكَذَا مِنْ مَالِي، فَقَالَ: «أَكُلَّ بَنِيكَ قَدْ نَحَلْتَ مِثْلَ مَا نَحَلْتَ النُّعْمَانَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: «فَأَشْهِدْ عَلَى هَذَا غَيْرِي»، ثُمَّ قَالَ: «أَيَسُرُّكَ أَنْ يَكُونُوا إِلَيْكَ فِي الْبِرِّ سَوَاءً؟» قَالَ: بَلَى، قَالَ: «فَلَا إِذًا


Artinya : “Bapaku pernah membawa aku kepada Rasulullah saw dan berkata : Wahai Nabi bersaksilah sungguhnya aku telah memberikan Nu’man akan ini dan ini daripada harta.
Sabda Nabi saw : Adakah semua anak-anakmu mendapat seumpama yang diberikan kepada Nu’man?
Kata bapaku : Tidak.
Maka jawab Nabi : Kalau begitu suruhlah selain aku yang bersaksi. Lalu Nabi bersabda : Adakah kamu suka semua anak-anak mu bersamaan berbuat baik kepada mu?
Kata bapaku : Ya.
Lalu sabda Nabi “ Kalau begitu jangan buat begitu.” (Hadith Imam Muslim)


Hadith ini menujukkan bahawa Nabi saw tidak suka pemberian harta yang tidak adil terhadap anak-anak sehingakan Nabi saw enggan menjadi saksinya.

Oleh itu hendaklah ibu bapa menyamakan pemberian kepada sekelian anak-anak sekadar yang termampu.

Maksud sama bukanlah sama timbangan atau sama ukuran tetapi semua anak sama-sama mendapat pemberian sekalipun ukuran harta yang diberi itu tidak sama nilainya atau berlainan sifatnya.

Berkata Imam As-Syairazi :

والمستحب أن لا يفضل بعض أولاده على بعض في الهبة


Artinya : “Dan disunatkan bahawa tidak melebihkan pemberian kepada sebahagian anaknya atas sebahagian lagi pada masalah memberi harta.” (Kitab Al-Muhazzab)


Dan tidak disyaratkan anak lelaki mendapat dua bahagian lebih dari anak perempuan seperti mana diwajibkan pada harta pesaka tetapi hendaklah bersamaan anak lelaki dan anak perempuan pada hadiah pemberian atau hibah ini.

Inilah pendapat jumhur ulamak selain mazhab Hanbali.

Berkata Imam Ibnu Ar-Rusydi :

وَالْعدْل هُوَ التَّسْوِيَة بَينهم


Artinya : “Dan maksud adil ialah bersamaan di antara sekelian anak-anak.” (Kitab Bidayatul Mujtahid)


Wallahua’lam

Kredit: Ustaz Azhar Idrus

+Baca respon pembaca hukum ibu bapa yang pilih kasih di Facebook Oh! Media 
Dikuasakan oleh Blogger.