Hukum Mengambil Wuduk Lebih 3 Kali Di Sungai - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Mengambil Wuduk Lebih 3 Kali Di Sungai



SOALAN

Mungkin ada segelintir antara kita yang pernah mengambil air wuduk di sungai. Walaubagaimanapun, ada yang mengatakan jika kita mengambil wuduk melebihi 3 kali di sungai hukumnya adalah makruh. Adakah ia benar?


JAWAPAN

Dalil dimakruhkan membasuh anggota wuduk lebih dari tiga kali sekalipun di sungai atau tasek atau laut ialah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Aas sungguhnya Nabi saw telah lalu dekat Sa’ad r.a. yang sedang berwuduk lalu baginda bersabda :

مَا هَذَا السَّرَفُ يَا سَعْدُ " قَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ سَرَفٌ قَالَ: " نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهْرٍ جَارٍ ".


Artinya : “Kenapa berlebih-lebihan dengan air wahai Sa’ad? Berkata Sa’ad : Adakah dalam berwuduk ada juga berlebih-lebihan? Jawab baginda : Ya. Walau pun kamu sedang berada di sungai yang deras airnya.” (Hadith riwayat Imam Ahmad)


Dan sebab dimakruhkan membasuh lebih dari tiga kali walau pun pada tempat yang airnya banyak ialah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘amr r.a. juga :

جاء أعرابيٌّ إلى النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يسأَلُه عن الوُضوءِ؟ فأَراه ثلاثًا ثلاثًا، قال: هذا الوُضوءُ، فمَن زاد على هذا؛ فقد أساءَ وتعدَّى وظلَمَ


Artinya : “Telah datang seorang arab dusun kepada Nabi saw dan bertanya tentang wuduk. Maka Nabi saw menunjukkan kepadanya dengan membasuhnya dengan tiga kali dan bersabda : Beginilah berwuduk. Maka siapa yang melebihkan dari ini maka dia telah salah dan berlebihan dan zalim.” (Hadith Abu Daud dan An-Nasaai dan Ibnu Majah)


Kesimpulan

Maka jelas pada kita bahawa membasuh tiga kali itu sunnah Nabi saw dan melebihi dari tiga kali itu ialah menyalahi sunnah.

Dan hendaklah diketahui bahawa hukum makruh membazir air ketika berwuduk itu ialah apabila air itu milik sendiri atau bukan milik sesiapa seperti air sungai dan air laut atau air yang diwakafkan.

Ada pun jika adalah air itu milik orang seperti mengambil wuduk di rumah orang atau air yang diwakafkan seperti mengambil wuduk di masjid dan surau maka membazir padanya adalah haram bukan lagi makruh.

Wallahua’lam

Kredit: Ustaz Azhar Idrus

+ Baca respon pembaca hukum mengambil wuduk lebih 3 kali di sungai di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.