Status Baki Wang Minyak Petrol Yang Tidak Dituntut - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Status Baki Wang Minyak Petrol Yang Tidak Dituntut


SOALAN:
Saya merupakan seorang pengusaha sebuah stesen minyak. Kerunsingan saya apabila kadangkala pelanggan yang mengisi minyak di tempat saya tidak mengambil baki sekiranya kenderaan mereka sudah diisi minyak secara penuh.

Contohnya, pelanggan tersebut asalnya membayar sebanyak RM50 untuk mengisi minyak, kemudian sewaktu meter minyak yang diisi sampai ke angka RM45, tangki minyak sudah penuh, maka pelanggan berhak tuntut semula daripada pihak cashier baki RM5.

Persoalannya, kalau pelanggan tersebut tidak tuntut, apakah status duit tersebut? Saya lagi suka kalau pelanggan tuntut semula kerana jika mereka tak tuntut, hati saya tak tenteram kerana tidak jelas status duit tersebut sama ada boleh ambil ataupun tidak.

JAWAPAN:
Perniagaan yang jujur merupakan perniagaan yang disarankan oleh Allah swt bahkan merupakan satu sikap yang terpuji dalam agama Islam. Antara prinsip asas muamalat dan sebarang urus niaga dalam Islam ialah berjual beli perkara yang dihalalkan oleh Allah dalam masa yang sama mengambil keuntungan dengan cara yang benar bukan dengan cara yang batil.

Allah SWT menyebut secara jelas di dalam al-Quran melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” [Surah al-Nisa’ (29)]

Imam Qurtubi Rhm (wafat 671H) ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa Allah melarang umatnya memakan harta atau memperoleh pendapatan hasil daripada cara yang batil. Secara asalnya segala jenis urus niaga termasuk dalam perkara yang dibenarkan Syarak melainkan terdapat unsur penipuan, unsur riba, unsur jahalah (ketidaktahuan) dan unsur-unsur lain yang diharamkan Syarak. (Lihat: Tafsir al-Qurtubi, 5/150)

Bertitik tolak daripada ini, perniagaan jual beli minyak di stesen minyak juga tidak terlepas daripada prinsip asas muamalat ini.

Berkenaan status baki wang yang tidak dituntut oleh pelanggan seusai mereka mengisi minyak, terdapat beberapa kaedah fiqh yang boleh diaplikasikan bagi menentukan siapakah pemiliknya.

Pertamanya, kaedah yang menyebut:

الثَّابِتُ بِالْعَادَةِ كَالثَّابِتِ بِالنَّصِّ
“Sesuatu perkara yang diterima pakai dan diamalkan oleh uruf masyarakat, (kedudukannya) sama seperti sesuatu perkara yang mempunyai Nas.”

Kaedah ini menerangkan bahawa segala amalan dan perbuatan yang tidak diterangkan Syarak secara terperinci berkaitan halal dan haram, atau sah atau tidak sah, maka status suatu perkara tersebut bergantung kepada pengamalan uruf dan adat setempat. Sekiranya uruf masyarakat mengharuskan sesuatu perkara, maka hukumnya sama seperti terdapat dalil nas yang mengharuskannya, begitu juga sebaliknya. (Lihat: al-Mausuah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 2/538)

Berdasarkan pengamatan kami berkaitan pengamalan rakyat Malaysia, segala baki wang yang tidak dituntut dianggap seperti mereka menghadiahkannya kepada pihak stesen minyak walaupun pelanggan tidak menyatakan secara jelas pemberian tersebut. Lantaran itu, baki wang tersebut menjadi hak milik stesen minyak dan halal pihak pengurusan menggunakannya.

Kaedah lain juga menyebut:

لَا يُنْسَبُ إلَى سَاكِتٍ قَوْلٌ لَكِنَّ السُّكُوتَ فِي مَعْرِضِ الْحَاجَةِ بَيَانٌ
“Tidak diambil kira apa-apa keputusan orang yang berdiam diri (semata-mata), namun berdiam diri dalam situasi yang memerlukan (respon balas) dianggap sebagai sebuah penjelasan.”

Kaedah fiqh di atas menerangkan bahawa secara umumnya jika seseorang berdiam diri, kita tidak boleh menganggap dia bersetuju atau tidak bersetuju. Namun, ulama' menetapkan diamnya seseorang itu dalam keadaan yang tidak sepatutnya dia berdiam diri dianggap sebagai sebuah penjelasan sama ada menerima atau menolaknya. (Lihat: al-Mausuah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 8/1095)

Sekiranya kaedah ini digunapakai, pelanggan yang berdiam diri untuk tidak menuntut wang lebihan dianggap bersetuju untuk menghadiahkan wang lebih kepada pihak stesen minyak. Alasannya, keadaan tersebut memerlukan penjelasan pelanggan kerana melibatkan hartanya ditambah dengan pengamalan uruf setempat. Jadi, diamnya pelanggan di sini dianggap seperti menghadiahkan wang lebihan kepada pihak stesen minyak.

Walau bagaimanapun, kedua-dua kaedah di atas mempunyai pengecualian sekiranya pelanggan meminta semula lebihan baki sama ada permintaan dilakukan sejurus selepas selesai mengisi minyak ataupun dalam keadaan lain seperti pelanggan yang terlupa meminta baki dan berlalu pergi meninggalkan stesen minyak kemudian ketika teringat, pelanggan berpatah balik semula.

Pengecualian kepada kedua-dua kaedah di atas disebutkan para ulama' melalui kaedah fiqh yang menyebut:

اعتبار الصريح أولى من اعتبار الدلالة عند تعارضهما
“Mengambil kira perkara yang jelas (dinyatakan) lebih utama berbanding mengambil kira perkara yang difahami secara tersirat ketika berlaku perselisihan.”

Kaedah ini memberi pengecualian sekiranya bertembung di antara pengamalan uruf dengan perkara yang lebih kuat penghujahannya, maka diutamakan perkara yang lebih jelas dan kuat. Alasannya, perkara yang dinyatakan secara jelas seperti ucapan dan perkataan merupakan perkara yang meyakinkan sedangkan sesuatu yang difahami secara tersirat tergolong dalam kategori perkara yang diragukan. (Lihat: al-Qawaid al-Fiqhiyyah Wa Tathbiqatuha Fi al-Mazahib al-‘Arba’ah, m/s 154)

Kesannya, sekiranya pelanggan meminta semula baki lebihan, maka pengamalan uruf yang menganggap baki lebihan yang tidak dituntut menjadi hak milik pihak stesen minyak tidak boleh digunapakai kerana ada petunjuk lain yang lebih jelas dan kuat iaitu ucapan dan perkataan pelanggan yang meminta dipulangkan semula baki.

Berdasarkan huraian dan penerangan di atas, kami dapat menyimpulkan beberapa perkara:

  1. Duit lebihan baki yang tidak dituntut berhak menjadi hak milik pihak stesen minyak sekiranya tidak diminta pelanggan.
  2. Sekiranya lebihan baki diminta, pihak pengurusan stesen minyak wajib memulangkan semula, termasuklah dalam kes mereka yang terlupa untuk meminta baki kemudian datang semula menuntutnya.
  3. Sekiranya pengurus stesen meragui kesahihan tuntutan yang diminta, maka kaedah fiqh “Bukti ke aras mereka yang mendakwa, sumpah ke atas mereka yang mengingkari” akan terpakai.
  4. Melihat kepada kemungkinan duit lebihan tersebut akan diminta semula, sebaiknya pihak pengurusan membuat tabung yang berasingan supaya dapat mengurangkan perselisihan faham dan pertengkaran, terutamanya apabila berhadapan dengan pelanggan yang diragui kesahihannya.
  5. Pihak pengurusan disarankan untuk mengingatkan pelanggan agar mengambil semula baki wang mereka.
  6. Jalan keluar yang terbaik dalam isu ini adalah menyalurkan tabung duit lebihan untuk kegunaan maslahah umum seperti fakir miskin, wakaf tunai dan sebagainya. Ini lebih dekat dengan sifat warak dan berhati-hati.

Wallahua’lam.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.