Qubul Dan Dubur Berpeluh, Perlukah Dibasuh Sebelum Mengambil Wudhu’? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Qubul Dan Dubur Berpeluh, Perlukah Dibasuh Sebelum Mengambil Wudhu’?


SOALAN:
Sekiranya kita tahu kita dalam keadaan bersih, adakah kita perlu untuk membersihkan bahagian qubul dan dubur sebelum mengambil wudhu’? Ini disebabkan ada peluh dan kita kurang yakin akan kebersihannya.

JAWAPAN:
Perbuatan membersihkan diri dari kotoran merupakan suatu ibadah dalam agama. Ciri ibadah seperti yang disebutkan oleh para ulama’ adalah apabila Allah SWT menyukai dan meredhai sesuatu perbuatan tersebut. Di dalam Al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mencintai golongan yang sentiasa membersihkan diri mereka menerusi firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
“Sesungguhnya Allah mencintai golongan yang sentiasa bertaubat dan Dia mencintai golongan yang sentiasa membersihkan diri mereka.” [Surah Al-Baqarah (222)]


Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan beberapa pandangan para mufassirin terhadap makna golongan yang membersihkan diri mereka. Sebahagian ulama’ seperti ‘Atha Ibn Abi Rabah menyatakan bahawa ia bermaksud golongan yang membersihkan diri mereka dengan air untuk mendirikan solat. Manakala sebahagian yang lain menyatakan bahawa ayat tersebut bermaksud golongan yang membersihkan diri mereka daripada dosa-dosa dan ini adalah pendapat Mujahid Ibn Jabr. Kemudian Imam Al-Thabari berkata: “Pendapat paling tepat dalam menjelaskan maknanya adalah Allah SWT mencintai golongan yang membersihkan diri mereka dengan air untuk mendirikan solat.” [Rujuk: Tafsir Al-Thabari (4/396)]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, maka kami menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu berada dalam keadaan bersuci daripada hadas, maka keadaan tersebut adalah berkekalan sehinggalah datang perkara-perkara yang membatalkannya. Kaedah fekah menyebut:

الأصل بقاء ما كان على ما كان
“Hukum asal bagi sesuatu adalah kekalnya ia pada kedudukan asalnya.”

Justeru, selama mana seseorang itu tidak berlaku pada dirinya perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ seperti keluarnya sesuatu daripada qubul atau dubur, hilang akal, bersentuhan kulit dengan bukan mahram yang dewasa tanpa lapik dan selainnya dari perkara yang membatalkan wudhu’, maka dia adalah kekal dalam keadaan bersuci.

Adapun isu peluh di bahagian kemaluan atau saluran dubur, maka kami katakan bahawa para ulama’ telah bersepakat bahawa peluh tidak termasuk dalam kategori najis dan ini meliputi sama ada peluh itu dari ketiak atau selainnya. Imam Al-Syafi’e berkata:

وَكَذَلِكَ لَوْ عَرِقَ فَقَطَرَ عَرَقُهُ فِي الْمَاءِ لَمْ يَنْجُسْ؛ لِأَنَّ عَرَقَ الْإِنْسَانِ وَالدَّابَّةِ لَيْسَ بِنَجَسٍ وَسَوَاءٌ مِنْ أَيِّ مَوْضِعٍ كَانَ الْعَرَقُ مِنْ تَحْتِ مَنْكِبِهِ أَوْ غَيْرِهِ
“Demikian juga sekiranya seseorang itu berpeluh dan ia menitis ke dalam air, maka ia tidak menajiskan (air tersebut). Ini kerana peluh manusia dan juga haiwan bukanlah najis. Sama ada ia (peluh) dari mana-mana tempat sekalipun seperti dari bawah bahunya atau selainnya.” [Rujuk: Al-Umm, Imam Al-Syafi’e (1/19)]

Meskipun begitu, ada satu pendapat yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi yang mengatakan: “Sekiranya seseorang itu beristinjak menggunakan batu, lalu tempat tersebut berpeluh dan peluh tersebut mengalir daripadanya serta melepasinya maka wajib dibasuh peluh yang mengalir tersebut. Sekiranya tidak melepasinya, maka ada dua pendapat. Pertama, wajib membasuhnya dan pendapat yang sahih adalah tidak wajib membasuhnya kerana umum balwa (sesuatu yang susah dielakkan).” [Rujuk: Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (2/129)]

Pendapat di atas ini adalah berkaitan dengan isu penggunaan batu ketika istinjak. Adapun seseorang yang beristinjak menggunakan air dengan membasuh kemaluan dan juga duburnya dengan bersih, maka peluh yang keluar pada dua bahagian tersebut setelah dibersihkan itu tidaklah dianggap sebagai najis.

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami tekuni beberapa nas dan hujahan di atas maka kami menyatakan bahawa perbuatan membersihkan qubul dan dubur dari peluh sebelum berwudhu’ adalah tidak perlu. Ini kerana, istinjak hanya berlaku hasil dari keluarnya najis sedangkan peluh tidak termasuk sebagai najis. Ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْمُسْلِمَ لاَ يَنْجُسُ
“Sesungguhnya seorang Muslim itu tidak najis.” [Riwayat Al-Nasa’ie (269)]


Oleh itu sekiranya jasad seorang Muslim itu tidak najis, maka peluhnya juga tidak dianggap sebagai najis. Melainkan perkara-perkara yang dinyatakan oleh syarak sebagai najis. Wallahua’lam.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.