Hukum Meminjam Wang Simpanan Tabung Haji Anak Untuk Dilaburkan Di ASB - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Meminjam Wang Simpanan Tabung Haji Anak Untuk Dilaburkan Di ASB


SOALAN:
Saya ingin bertanya hukum ibu meminjam wang simpanan Tabung Haji anak untuk disimpan di Amanah Saham (ASB). Setelah mendapat dividen, ibu mengeluarkan semula nilai sama yang dipinjam daripada anak, dan menggunakan nilai dividen yang diperolehi untuk membayar yuran pengajian. Mohon pencerahan. Terima kasih.

JAWAPAN:
Tiada perselisihan ulama' berkaitan keharusan memberi pinjaman wang. Ia merupakan salah satu ibadah yang terpuji kerana membantu meringankan beban dan mencukupkan keperluan orang yang memerlukan, apatah lagi jika peminjam itu adalah ibu bapa kita sendiri. Daripada Abdullah bin Umar R.A menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ وَلا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari Kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari Kiamat.” [Riwayat al-Bukhari (2442)]

Daripada sudut pemiutang (pemberi hutang), keharusan memberi pinjam boleh berubah kepada wajib, harus mahupun haram melihat kepada tujuan pinjaman dilakukan. Berdasarkan situasi di atas, pinjaman dilakukan bertujuan melabur di ASB bagi membayar yuran pengajian apabila memperoleh dividen tahunan yang memberangsangkan.

Berkaitan hukum ASB, seiring dengan fatwa yang pernah dikeluarkan sebelum ini, hukumnya harus berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB dan seumpamanya.

Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. Bertitik tolak daripada keharusan membuat pelaburan di ASB, maka diharuskan seorang anak memberi pinjaman wang termasuklah duit daripada simpanan Tabung Haji kepada ibunya.

Di sisi penghutang atau peminjam pula perlu memahami konsep hutang. Hutang wang atau disebut Qarḍ di dalam kitab Fiqh tergolong di bawah kategori yadd al-ḍhamān. Hukum yadd al-ḍhamān dalam bab pinjaman wang ialah perlu membayar dan memulangkan semula segala hutang piutang yang dipinjam daripada pemiutang. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 7/221)

Memandangkan setiap pelaburan termasuk ASB mempunyai risiko untung dan rugi, Syariah menetapkan seseorang yang melakukan pelaburan perlu bersedia menerima segala risiko kerugian yang mungkin timbul seperti pulangan yang rendah atau kerugian secara total. Sebagai timbal balik, Syariah memberikan hak untuk pelabur menerima segala imbuhan dan dividen sekiranya pelaburan yang dilakukan peroleh keuntungan. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

الغُرْمُ بالغُنْمِ
“Risiko sejajar dengan keuntungan.” (Lihat: al-Ashbah wa al-Nazhair, 1/136)

Perkaitannya, tidak kira sama ada peroleh keuntungan atau kerugian, modal yang dipinjam untuk pembiayaan ASB perlu dipulangkan semula. Salah faham yang berlaku apabila memahami keperluan membayar hutang hanya apabila peroleh keuntungan, sedangkan apabila kerugian tidak perlu membayar hutang.

Kesimpulannya, sebelum melakukan sebarang transaksi pinjaman, umat Islam dinasihatkan untuk memahami konsep dan hukum yang terlibat seperti konsep memberi pinjaman, konsep membayar hutang, konsep pelaburan dan lain-lain yang berkaitan supaya segala tindak tanduk menepati panduan yang ditetapkan Syariah.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.