Judi Berat Badan? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Judi Berat Badan?


SOALAN:
Unit saya ada menganjurkan satu aktiviti di mana setiap individu akan ditimbang berat setiap 2 minggu. Sekiranya berlaku pertambahan berat badan akan didenda RM5 bagi kenaikan 1 kilogram. Duit tersebut akan dikumpulkan dan digunakan untuk aktiviti atau keperluan unit. Aktiviti ini dilakukan hanya di unit kami untuk menggalakkan semua kakitangan unit menjaga berat badan disamping menjaga kesihatan dan berat ideal masing-masing. Aktiviti ini mengambil masa setahun di mana pada bulan Disember sesiapa yang berjaya menurunkan berat badan yang paling banyak akan diberi hadiah. Hadiah akan dibeli menggunakan duit yang dikumpulkan hasil denda tadi.

Persoalan saya ialah adakah bayaran RM5 dan hadiah yang bakal diterima nanti dikira salah satu bentuk judi atau riba?

JAWAPAN:
Dewasa kini, terdapat pelbagai aktiviti, peraduan, pertandingan dan seumpama dengannya yang menjanjikan pelbagai hadiah dan ganjaran. Sebagai umat Islam yang cakna dengan halal dan haram yang ditetapkan Syarak, kami mengajak agar kita semua mengambil tahu berkenaan konsep asas dan panduan umum sebelum terlibat dengan mana-mana aktiviti yang menyertakan hadiah.

Pertamanya, walaupun situasi di atas menggunakan perkataan ‘aktiviti’ secara umum, namun secara hakikatnya ia sebahagian daripada bentuk pertandingan atau peraduan. Kaedah fiqh ada menyebut:

العبرة في العقود للمقاصد والمعاني لا للألفاظ والمباني
“Sesuatu akad diambil kira berdasarkan tujuan dan objektif yang dimaksudkan, bukanlah sekadar lafaz dan susunan huruf.” (Lihat: Ma’lamah Zayid Li al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 7/16)

Berdasarkan kaedah fiqh di atas, dapat difahami bahawa walaupun dinamakan sebagai ‘aktiviti tahunan unit’ namun secara tersiratnya ia membawa erti pertandingan dan peraduan. Hujahnya kerana hadiah yang dibeli menggunakan duit denda yang dimasukkan ke dalam tabung unit tersebut tidak dikongsi kepada semua pekerja sebaliknya hanya diberikan kepada individu yang berjaya menurunkan berat badan paling banyak. Gambaran ini merupakan sebahagian daripada bentuk peraduan dan pertandingan.

Justeru itu, berkenaan garis panduan umum berkaitan peraduan termasuk peserta dan penganjur, bolehlah merujuk di laman web JAKIM yang bertajuk “Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah” supaya mendapat gambaran yang lebih jelas dan tuntas. [Lihat: http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/109-garis-panduan-peraduan-berasaskan-hadiah]

Keduanya, antara syarat umum suatu peraduan yang dibenarkan Syarak ialah mempunyai objektif yang membawa kepada kebaikan diri fizikal dan akal seperti peraduan yang mempunyai konsep menekankan kesihatan tubuh badan, mengasah minda seperti kuiz dan soal jawab serta lain-lain.

Melihat tujuan aktiviti di atas, terdapat elemen-elemen yang dibenarkan Syarak kerana menggalakkan semua kakitangan unit menjaga berat badan disamping menjaga kesihatan dan berat ideal masing-masing. Ini satu inisiatif yang baik lagi terpuji sepertimana saranan sebuah hadith yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A:

الْمُؤْمِنُ القَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إلى اللهِ مِنَ المُؤْمِنِ الضَّعِيفِ
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah berbanding orang mukmin yang lemah.” [Riwayat Muslim (2664)]

Timbul isu apabila individu yang berjaya menurunkan berat paling banyak sahaja yang mendapat hadiah, dan kos hadiah pula diperoleh daripada hasil duit denda yang dikumpul sepanjang tahun. Situasi di sini menimbulkan kekeliruan yang memerlukan penjelasan dan penyelesaian. Memahami gambaran sesuatu masalah merupakan satu perkara yang amat dititik beratkan oleh Syarak kerana hakikat yang berbeza membawa hukum yang berbeza. Kaedah fiqh lain ada menyebut:

الحكم على الشيئ فرع عن تصوره
“Hukum terhadap suatu perkara bergantung kepada kefahaman tentang gambaran masalahnya.” (Lihat: Ma’lamah Zayid, 19/27)

Bertitik tolak daripada ini, terdapat satu perbahasan ulama’ yang mengatakan bahawa hadiah yang diperoleh daripada hasil duit penyertaan merupakan sebahagian daripada perjudian yang diharamkan Syarak.

Persoalan di sini, adakah “duit denda yang dikumpul” boleh disamakan dengan “duit penyertaan” yang diharamkan Syarak?

Duit penyertaan: Sejumlah duit yang perlu dibayar oleh kesemua peserta untuk menyertai suatu pertandingan atau peraduan. Bayaran ini menjadi kewajipan kepada semua peserta tanpa terkecuali.

Duit kutipan denda: Duit denda dalam situasi di atas pula merupakan duit yang dikutip daripada peserta yang melanggar syarat dan ketetapan pertandingan sahaja.

Berdasarkan takrifan dan hakikat yang berbeza di antara duit penyertaan dan duit denda, kami melihat duit kutipan denda tidak sama seperti duit penyertaan yang boleh terjerumus ke dalam lembah perjudian dan pertaruhan yang diharamkan Syarak.

Perbezaan yang paling jelas ialah duit penyertaan mewajibkan kepada semua peserta untuk membayarnya sedangkan duit kutipan denda diperoleh daripada mereka yang melanggar syarat sahaja.

Ketiganya, berkenaan mengenakan hukuman denda yang berupa wang ringgit, secara asalnya majoriti ulama' mengharamkannya bagi menutup jalan supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan dan mengambil harta orang lain tanpa hak. (Lihat: Hashiyah Ibn 'Abidin, 4/61)

Namun begitu, situasi di atas berbeza daripada situasi yang ulama' haramkan kerana pemberian wang tersebut atas dasar kerelaan peserta program sendiri. Sebagai alternatif, duit kutipan denda di sini lebih dekat untuk disamakan dengan hibah atau duit tabarruʿ kerana duit yang dikeluarkan adalah atas dasar kesanggupan diri sendiri bukan paksaan daripada orang lain. Sedangkan denda atau gharamah yang diharamkan majoriti ulama' ialah bayaran yang diwajibkan kepada pihak tertentu sebagai ganti rugi atau melalui penetapan undang-undang. (Lihat: al-Gharamah al-Ta’ziriyyah, m/s 9)

Tambahan pula, program sebegini menjadi inisiatif untuk mendisiplinkan diri bagi menjaga berat badan dan kesihatan fizikal diri. Konsep kutipan denda ini juga sama seperti seseorang yang bernazar. Contohnya seseorang berkata: “Aku bernazar jika berat badan aku naik minggu ini, aku akan sedekah sebanyak RM5 kepada tabung unit”. Nazar seperti ini sah dan harus disisi Syarak.

Manakala kutipan duit denda boleh dikategorikan sebagai tabung dana tabarruʿ seperti yang diamalkan syarikat takaful. Dana tersebut boleh digunakan untuk perkara-perkara yang dibenarkan Syarak seperti pembelian hadiah, duit kebajikan ahli unit dan lain-lain.

Sebagai kesimpulan, bagi mengelak sebarang keraguan dan kemusykilan, cara yang paling terbaik ialah setiap peserta menawarkan diri untuk mewakafkan sedikit wang untuk dimasukkan ke dalam tabung kebajikan unit yang mana duit tersebut boleh digunakan untuk kegunaan aktiviti tahunan unit termasuklah hadiah kepada mereka yang berjaya menurunkan berat badan paling banyak.

Wallahuaʿlam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.