Hukum Menunjuk-Nunjuk Amal Kebajikan - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Menunjuk-Nunjuk Amal Kebajikan


SOALAN:
Apakah hukumnya jika kita melakukan amal soleh seperti suka bersedekah dan dalam hati kita bertujuan supaya dipuji orang atau menceritakan amal soleh kita supaya didengar orang? Adakah benar dikata orang kita boleh menzahirkan kerja amal kita dengan syarat bukan bertujuan riak dan sum’ah?

JAWAPAN:
Terdahulu elok kita ketahui apakah makna riak dan sum’ah. Berkata ulama’ pada mendefinasikan perkataan riak dan sum’ah:

Erti riak:

و"الرِّياءُ": تَرْكُ الإخلاصِ في الأقوالِ والأعمالِ؛ بأنْ يقولَ قولًا أو يعمَل عملًا لا يُريدُ به وجهَ اللهِ عزَّ وجلَّ
“Dan riak itu adalah meninggalkan ikhlas pada segala perkataan dan perbuatan dengan bahawa seorang itu berkata atau berbuat akan satu amalan itu bukan kerana Allah Azza Wajalla.”

Erti sum’ah:

سمّع الناس بعمله إذا قصد بالحديث عن عمله وجه الناس
“Memperdengarkan akan manusia dengan amalnya apabila bertujuan menceritakan amalannya itu kerana manusia.”

Dan kata setengah ulama’:

السُّمْعَةَ والرِّياءَ متشابِهانِ، والفَرْقُ بينهما أنَّ السُّمْعَة تَتعلَّقُ بحاسَّةِ السَّمْعِ، والرِّياءُ يتعلَّقُ بحاسَّةِ البَصَرِ
“Sum’ah dan riak itu lebih kurang maknanya. Dan perbezaan antara keduanya ialah sum’ah itu bergantung dengan pendengaran dan riak itu bergantung dengan penglihatan.”

Riak dan sum’ah dalam beramal adalah haram dan termasuk dalam sifat-sfat mazmumah yang dibenci oleh Allah. Pelakunya di akhirat tidak mendapat pahala dari segala amalnya itu. Dan bahawa perbuatan riak dan sum’ah ini bergantung dengan hati iaitu niat, oleh kerana itulah hanya Allah yang mengetahui hati seseorang samada ia telah melakukan riak dan sum’ah atau tidak. Jika seorang itu riak dan sum’ah maka hanya Allah yang tahu dan jika dia tidak riak dan sum’ah maka hanya Allah juga yang tahu.

Diriwayatkan dari Umar Al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا
“Hanyalah segala amal itu bergantung dengan niat. Sesungguhnya dapat kepada seseorang itu apa yang dia niatkan. Siapa berhijrah (berbuat amal) kerana Allah dan Rasul maka amalnya kerana Allah dan Rasul (iaitu dapat pahala). Dan siapa yang beramal kerana dunia maka dia hanya mendapat dunia.” (Hadith Bukhari)

Diriwayatkan daripada Salamh bin Kuhail katanya: Aku dengar dari Jundub Al-Alaqi R.A berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ يُسَمِّعْ يُسَمِّعِ اللَّهُ بِهِ ، وَمَنْ يُرَائِي يُرَائِي اللَّهُ بِهِ
“Siapa mempedengarkan amalanya (tidak kerana Allah) maka Allah akan memperdengarkan (di hari akhirat) keburukkannya itu. Dan siapa yang riak maka Allah akan menzahirkan riaknya (iaitu ditunjukan amalnya tetapi tidak mendapat pahala).” (Hadith Bukhari)

Telah berkata Imam Al-Khattabi:

وقيل المراد من قصد بعمله أن يسمعه الناس ويروه ليعظموه وتعلو منزلته عندهم حصل له ما قصد وكان ذلك جزاءه على عمله ولا يثاب عليه في الآخرة
“Dan kata sebahagian ulama' maksudnya ialah orang-orang yang bertujuan dalam melakukan kerja amal itu ialah memberitahu kepada sekalian orang, lalu orang pun nampak dan memuliakannya dan tinggilah kedudukkannya di sisi manusia maka berhasillah tujuannya. Dan itulah sahaja balasan atas kerja amalnya itu, namun dia tidak memiliki sedikit pun pahala di akhirat nanti.”

Harus Menunjuk Baik

Terkadang tidak haram yakni harus pula menunjukkan kepada manusia kerja kebajikan atau amal soleh yang dilakukan tetapi syaratnya ialah bertujuan supaya orang ramai yang melihat atau mengetahui akan turut sama melakukan amal soleh dan kerja-kerja kebajikan yang dia tunjukkan itu dan hatinya semata-mata kerana Allah.

Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar:

لكن قد يستحب إظهاره ممن يقتدي به على إرادته الاقتداء به ويقدر ذلك بقدر الحاجة
“Akan tetapi terkadang disunatkan menzahirkan amal kebajikan dari seseorang yang akan menjadi ikutan ramai dengan kerja kebajikkannya itu. Dan hendaklah ia dengan sekadar hajat jua.”

Berkata Imam Abdissalam:

يستثنى من استحباب إخفاء العمل من يظهره ليقتدي به أو لينتفع به
“Dikecualikan dari elok menyembunyikan amal itu seseorang yang menzahirkan amal supaya amalnya itu diikut orang atau diambil menafaat dengannya.”

Kesimpulan


  • Riak dan sum’ah adalah haram dan segala amal yang berserta dengan riak dan sum’ah ini tidak mendapat pahala di akhirat nanti.
  • Orang yang melakukan amal berkemungkinan dia berniat riak dan sum’ah dan berkemungkinan dia berniat ikhlas. Maka hanya Allah yang mengetahui niatnya itu. Kita sebagai mahkluk hendaklah bersangka yang baik terlebih dahulu.
  • Melakukan amal kebaikan supaya dilihat orang dengan tujuan orang akan mengikut sama melakukan kebaikan yang dia tunjuk itu diharuskan pada syarak.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.