Hukum Memakaikan Loceng Pada Haiwan Ternakan - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Memakaikan Loceng Pada Haiwan Ternakan


SOALAN:
Saya seorang penternak lembu, untuk mengelakkan daripada lembu itu hilang saya letakkan pada lehernya loceng. Ada orang kata tak boleh pakaikan loceng pada haiwan. Benarkah? Minta tolong jelaskan.

JAWAPAN:
Berdasarkan persoalan yang diajukan, kami datangkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bashir al-Ansari berkata:

كانَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ ـ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ ـ وَالنَّاسُ فِي مَبِيتِهِمْ، فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَسُولاً أَنْ لاَ يَبْقَيَنَّ فِي رَقَبَةِ بَعِيرٍ قِلاَدَةٌ مِنْ وَتَرٍ أَوْ قِلاَدَةٌ إِلاَّ قُطِعَتْ‏.
“Ketika bersama Rasulullah SAW pada sebahagian permusafirannya, Abdullah berkata: Aku merasakan Abu Bashir pernah menyebut: Ketika orang ramai berada di dalam tempat tidur mereka, lalu Rasulullah SAW mengahantar seseorang wakil untuk memastikan tidak ada sesuatu rantai daripada tali atau sesuatu yang dikalung pada tengkuk unta melainkan ianya dipotong.” [Riwayat al-Bukhari (3005)]

Imam Bukhari meletakkan hadith ini di bawah tajuk “Bab yang menceritakan perihal loceng dan selainnya di tengkuk unta”. Imam Ibnu Hajar menyebut di dalam syarahnya bahawa makruh meletakkan rantai pada unta kerana terdapat pengkhususan dalil padanya. Selain itu, Imam Ibnu Hajar menukilkan pandangan Abi Ubaidah bahawa secara tepatnya larangan itu kerana boleh menyebabkan binatang itu sakit dan boleh menyebabkan ianya tercekik. Begitu juga al-Khattabi menyatakan mereka meletakkan pada leher binatang itu loceng dan disebabkan itu Imam Bukhari meletakkan hadith ini dibawah tajuk berkenaan dengan loceng. (Lihat: Fathu al-Bari li Ibnu Hajar, 6/142)

Imam Badruddin al-A’ini di dalam syarahnya menyatakan menurut Imam Bukhari loceng kebiasaannya diikat dengan rantai, maka apabila dilarang memakaikan rantai pada leher unta maka ia termasuk larangan dalam pemakaian loceng pada binatang. (Lihat: Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 14/252)

Dalam hadith yang lain berkenaan dengan larangan memakaikan loceng kerana Malaikat tidak bersama dengannya, ini seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

لاَ تَصْحَبُ الْمَلاَئِكَةُ رُفْقَةً فِيهَا كَلْبٌ وَلاَ جَرَسٌ
“Malaikat tidak bersama sesuatu kumpulan yang terdapat di dalamnya anjing dan loceng.” [Riwayat Muslim (2113)]

Imam Badruddin al-A’ini menukilkan pandangan Imam Nawawi dan selainnya menyatakan bahawa jumhur ulama' berpendapat makruh tanzih, sebahagian yang lain menyebut makruh tahrim. Selain itu, menurut sebahagian pendapat, dilarang memakaikan loceng pada haiwan sekiranya tidak ada keperluan dan hajat, dan diharuskannya sekiranya ada keperluan dan hajat. (Lihat: Umdah al-Qari syarh Sohih al-Bukhari, 14/253; Syarh al-Nawawi ala Muslim, 14/95)

Selain itu, Imam Muslim menukil pandangan Abu Ubaidah di dalam syarahnya menyebut mereka memakaikan rantai pada unta supaya terlindung daripada penyakit al-Ain dan disebabkan itu Nabi SAW memerintahkan supaya dipotong rantai itu. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 14/96)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan dalil yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa makruh memakaikan loceng pada haiwan ternakan sekiranya tidak ada keperluan dan diharuskan sekiranya ada keperluan seperti takut dicuri atau sebagainya.

Namun, haram memakaikan loceng pada haiwan sekiranya beranggapan dengan itu tidak terjadi sesuatu yang buruk atau sebagai pelindung daripada penyakit atau bala kepada haiwan tersebut. Ini kerana perbuatan itu adalah bercanggah dengan akidah yang diajar oleh Baginda Nabi SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.