Hukum Beri Minyak Wangi Kepada Jemaah Selepas Iqamah Dilaungkan - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Beri Minyak Wangi Kepada Jemaah Selepas Iqamah Dilaungkan


SOALAN:
Di surau perumahan saya, ada seorang yang suka untuk beri minyak wangi selepas iqamah dilaungkan. Dia akan pergi ke setiap saf untuk beri minyak wangi. Benda ni kadang-kadang buat saya dan beberapa jemaah lain terganggu sebab masa itu kami nak fokus untuk solat. Boleh ke buat sesuatu selain solat selepas iqamah dilaungkan? Kadang-kadang nak jaga hati dia saya terima sahaja minyak wangi dia. Cuma nak nasihat tu saya lemah sedikit. Mohon pencerahan. Terima kasih.

JAWAPAN:
Sudah menjadi seorang Muslim untuk bersegera melakukan dan melaksanakan perintah Allah. Firman Allah SWT:

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Ali Imran: 133)


Al-Hafiz Ibnu Kathir menyebut ayat ini menjadi galakan agar segera melaksanakan perintah dan suruhan Allah yang mana tujuannya adalah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. (Rujuk: Al-Tafsir Al-‘Azim, 1/496)

Oleh kerana itu, segala perintah Allah SWT khususnya perkara-perkara berkenaan ibadah seperti solat tidak boleh dilengah-lengahkan dan dilewatkan apatah lagi dicuaikan.

Di antara sunnah yang tidak boleh ditinggalkan sebelum menunaikan solat ialah iqamah. Iqamah merupakan lafaz dan zikir yang khusus yang diucapkan dan dilaungkan sebagai satu makluman bahawa solat akan didirikan. Ia merupakan fardu kifayah yang tidak boleh dicuaikan. Al-Khatib Al-Syarbini menyebut bahawa iqamah adalah syiar yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan laungan iqamah adalah satu perbuatan yang dianggap sebagai cuai dan memandang remeh syiar islam. (Rujuk: Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz Al-Minhaj, 1/134)

Hukumnya adalah sunat seperti mana azan. Ia mempunyai syarat dan sunat-sunat sama seperti azan. Akan tetapi iqamah berbeza dari azan dalam beberapa perkara.

  • Lafaz iqamah adalah lafaz tunggal.
  • Menyebut lafaz iqamah dengan cepat. Ini kerana iqamah adalah untuk mereka yang sudah berada di masjid atau surau menunggu solat didirikan.
  • Bagi mereka yang ingin menggantikan solat (قضاء) cukup untuk azan sekali dan sunat untuk melaungkan iqamah bagi setiap solat yang ingin digantikan.
  • Iqamah dilaungkan selepas dipastikan masuknya waktu solat. Jika ianya dilaungkan sebelum masuk waktu solat maka terbatal lah iqamah tersebut.

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa hikmah daripada laungan azan dan iqamah adalah untuk meninggikan dan mengagungkan nama Allah, nama Rasul-Nya dan mengakui adanya kejayaan dan kejayaan setiap kali menunaikan solat. Ia juga bertujuan supaya perkara-perkara tertanam di dalam diri setiap muslim dan menzahirkan syiar-syiar islam. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/81)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, makruh hukumnya melakukan apa sahaja perbuatan termasuklah memberi minyak wangi dan sebagainya selepas iqamah dilaungkan. Perkara ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ
“Jika solat telah diiqamahkan (dilaungkan iqamah) maka tiada solat (yang boleh dilakukan) melainkan solat fardu.” [Riwayat Muslim (1678)]


Hadith ini menjelaskan bahawa jika iqamah sudah dilaungkan, maka tidak boleh untuk melakukan apa sahaja solat melainkan solat fardu bagi waktu tersebut. Imam Al-Nawawi menjelaskan hikmah di sebalik larangan ini. Beliau berkata bahawa larangan ini disebutkan adalah supaya seseorang itu dapat fokus dan menumpukan perhatian kepada solat fardu yang akan dilakukan. Maka sejurus selepas imam mengangkat takbir maka dia turut bersama-sama mengangkat takbir. Jika dia sibuk solat sunat sedangkan iqamah sudah dilaungkan ditakuti dia akan tertinggal sebahagian kesempurnaan yang sepatutnya dihadirkan ketika solat fardu. (Rujuk: Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/221)

Secara mafhumnya berdasarkan hadith tersebut, jika solat sunat pun tidak boleh dilakukan ketika iqamah dilaungkan, apatah lagi perbuatan-perbuatan yang lain seperti bercakap tanpa hajat, bermain handphone, dan lain-lain termasuklah mengedar minyak wangi. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menganggu fokus ketika hendak menunaikan. Bahkan lebih daripada itu ianya boleh menganggu fokus jemaah.

Kesimpulannya, perbuatan memberi minyak wangi kepada jemaah selepas iqamah dilaungkan adalah perbuatan yang makruh. Seharusnya apabila selesai iqamah dilaungkan kita perlu menghadirkan hati supaya khusyuk menunaikan solat. Jika boleh, berilah minyak wangi tersebut sebelum daripada iqamah dilaungkan agar tidak menganggu orang lain.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.