Adakah Syurga Dan Neraka Telah Wujud Sekarang? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Adakah Syurga Dan Neraka Telah Wujud Sekarang?


SOALAN:
Adakah syurga dan neraka telahpun wujud pada masa sekarang? Atau Allah SWT hanya akan menciptakan kedua-duanya setelah terjadinya hari Kiamat?

JAWAPAN:
Imam Abi al-‘Izz al-Hanafi ketika mensyarahkan matan aqidah Imam al-Tohawi menjelaskan bahawa para ulama' Ahlussunnah wal Jamaah telah bersepakat bahawa syurga dan neraka merupakan dua makhluk Allah SWT yang telah diciptakan sebelum Allah SWT menciptakan manusia, dan kedua-duanya telah wujud pada masa sekarang.

Mazhab Muktazilah, Qadariyyah dan Khawarij telah mengingkari hal ini, dan mendakwa bahawa Allah SWT hanya akan menciptakan syurga dan neraka pada hari Kiamat. Hal ini menurut Imam Abi al-‘Izz tidak lain tidak bukan kerana mereka telah menetapkan kaedah-kaedah batil dan memestikan Allah SWT untuk menuruti kaedah tersebut. Bagi mereka, adalah satu perbuatan yang sia-sia untuk Allah SWT menciptakan syurga dan neraka sekarang, sedangkan kedua-duanya hanya akan dihuni setelah manusia diadili pada hari Kiamat. Mereka merupakan golongan musyabbihah yang menyamakan Allah SWT dengan makhluk yang tertakluk dengan prinsip dan kaedah-kaedah tertentu pada apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. (Rujuk: Syarh al-‘Aqidah al-Tohawiyah, hlm. 420)

Imam Ibn Qayyim al-Jawzi juga menyebut hal yang sama, di mana golongan Muktazilah mengumpamakan seperti seorang raja yang membina sebuah rumah dan menyediakan di dalamnya pelbagai jenis makanan, perhiasan dan kelazatan, namun tiada seorangpun yang dibenarkan masuk ke dalamnya dalam satu tempoh yang sangat lama. Hal ini merupakan satu hal yang sia-sia dan tiada hikmah padanya. Imam Ibn Qayyim menyanggah perumpaan seperti ini dan menegaskan Allah SWT tidak boleh sama sekali diumpamakan seperti makhluk.

Hal yang sama turut diulas oleh Ibn Hazm al-Andalusi dan Imam Sa’duddin al-Taftazani ketika beliau mensyarahkan matan Aqidah Imam al-Nasafi. (Rujuk: Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah hlm. 11; Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal 4/68 dan Syarh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah, hlm. 103)

Adapun dalil-dalil yang menjadi sandaran para ulama' Ahlussunnah cukup banyak, antaranya ialah firman-firman Allah SWT serta hadith-hadith Nabawi:

فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
“Maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.” (Surah al-Baqarah: 24)

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Ali ‘Imran: 133)

سَابِقُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّـهِ وَرُسُلِهِ ۚ
“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya.” (Surah al-Hadid: 21)

Lafaz yang digunakan dalam ayat-atat di atas berbentuk fi’il madhi (فعل ماضي), yang membawa maksud ‘telah disediakan’, dan ini memberi makna bahawa syurga dan neraka telah diciptakan, dan hanya menunggu masa untuk dihuni oleh manusia setelah selesainya proses pengadilan pada hari Kiamat kelak. Begitu juga dengan ayat-ayat berkenaan peristiwa Isra’ Mikraj:

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ ﴿١٣﴾ عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ ﴿١٤﴾ عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ ﴿١٥﴾
“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi Sidratul-Muntaha; yang di sisinya terletak syurga Jannah al-Ma’wa.” (Surah al-Najm: 13-15)

Memandangkan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku dengan roh dan jasad baginda SAW menurut pendapat yang sahih, maka difahami bahawa syurga yang dilihat Baginda itu merupakan syurga yang hakiki, bukan ilusi atau gambaran semata-mata.

Begitu juga dengan hadith Anas bin Malik R.A yang meriwayatkan bahawa suatu hari para sahabat solat bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَوْ رَأَيْتُمْ مَا رَأَيْتُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلاً وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا‏‏‏.‏ قَالُوا وَمَا رَأَيْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏"‏ رَأَيْتُ الْجَنَّةَ وَالنَّارَ‏
“Demi Dia yang nyawa Muhammad ada pada Tangan-Nya, jika kalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kalian akan kurang ketawa, dan banyak menangis.” Para sahabat bertanya: “Apakah yang kau lihat itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Aku melihat syurga dan neraka.” [Sahih Muslim (426)]

Selain itu, Imam Ibn Qayyim turut menukilkan satu riwayat marfu’ daripada al-Laits bin Sa’ad:

ما من يوم إلا والجنة والنار يسألان تقول الجنة يا رب قد طاب ثمري واطردت أنهاري واشتقت إلى أوليائي فعجل إلي بأهلي. وتقول النار أشتد حري وبعد قعري وعظم جمري فعجل علي بأهلي".
Tiada satu hari pun berlalu melainkan syurga dan neraka meminta kepada Allah SWT: “Wahai Tuhan, buah-buahan telah masak ranum, sungai-sungai telah dan aku rindu kepada para waliku, maka kau segerakanlah mereka untuk menjadi ahliku (ahli syurga).” Neraka pula berkata: “Apiku makin panas, lantaiku yang paling bawah makin bertambah dalam, dan arangku makin membesar, maka kau segerakanlah ahli neraka memasukiku.” (Rujuk: Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, hlm. 20)

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa syurga dan neraka merupakan makhluk Allah SWT yang telah diciptakan, dan telah wujud pada masa sekarang, dan inilah aqidah Ahlussannah wal Jamaah sebagaimana yang ditegaskan para ulama' sejak zaman berzaman berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Adapun pandangan yang menyatakan bahawa kedua-duanya hanya akan diciptakan pada hari Kiamat, ia merupakan pandangan golongan Muktazilah, Khawarij dan Qadariyyah yang telah ditolak dan disanggah oleh nas-nas Al-Quran, hadith dan hujahan para ulama'.

Wallahua’lam.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.