Adakah Dituntut Mengangkat Tangan Ketika Berdoa? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Adakah Dituntut Mengangkat Tangan Ketika Berdoa?


SOALAN:
Perlukah saya mengangkat tangan semasa membaca doa sebelum tidur?

JAWAPAN:
Berdoa kepada Allah SWT merupakan satu ibadah yang dituntut. Para ulama' telah menyebutkan beberapa sebab-sebab yang menguatkan kemustajaban doa seseorang. Antara sebab tersebut adalah mengangkat tangan semasa berdoa.

Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
“Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu sekiranya seorang lelaki itu mengangkat tangan ke arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia membiarkan kedua tangan tersebut kosong dan tertolak.” [Riwayat Al-Tirmidzi (3556)]

Syeikh ‘Ubaidullah al-Mubarakfuri dalam syarahan beliau berkata: “Pada hadith ini terdapatnya anjuran untuk mengangkat kedua tangan semasa berdoa dan kedua tangan tersebut dirapatkan.” [Rujuk: Mir’aat al-Mafatih Syarah Misykat al-Masabih (7/363)]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa secara umumnya perbuatan mengangkat tangan semasa berdoa itu terbahagi kepada tiga kategori seperti berikut:

1. Doa Yang Dituntut Mengangkat Tangan Padanya

Dalam beberapa nas syarak menjelaskan beberapa kategori doa yang dituntut bagi seseorang itu untuk mengangkat tangan padanya. Antaranya adalah doa istisqa’ (memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan).

Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ لاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَىْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلاَّ فِي الاِسْتِسْقَاءِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ
“Sesungguhnya Nabi SAW tidak mengangkat tangan baginda pada doa-doa baginda melainkan pada istisqa’, sehingga jelas kelihatan putihnya dua ketiak baginda SAW.” [Riwayat Muslim (895)]

Imam Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith di atas beliau menukilkan pendapat yang menyebut: “Mengangkat kedua tangan semasa doa istisqa’ dan selainnya adalah mustahab (dituntut). Ini kerana ia zahir sikap rendah diri dan kehinaan serta menunduk diri kepada Allah SWT.” [Rujuk: Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Battal (3/21)]

Manakala berkenaan kenyataan Nabi SAW tidak mengangkat kedua tangan baginda ketika berdoa kecuali semasa istisqa’, Imam al-Nawawi menyatakan: “Keadaan sebenarnya tidaklah sedemikian. Kerana banyak riwayat yang sabit bahawa baginda SAW mengangkat kedua tangan dalam berdoa selain dari doa istisqa’. Maka ditakwilkan hadith ini kepada maksud Nabi SAW tidak mengangkat kedua tangan dengan begitu tinggi sehingga kelihatan putihnya ketiak baginda seperti mana yang baginda lakukan pada doa istisqa’.” [Rujuk: Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/190)]

2. Doa Yang Tidak Dituntut Mengangkat Tangan Padanya

Manakala ada juga beberapa jenis doa yang tidak dituntut untuk seseorang itu mengangkat tangan padanya. Antaranya adalah doa istiftah atau iftitah yang dibaca oleh seseorang itu pada awal solat. Demikian juga doa yang terdapat di dalam bacaan surah al-Fatihah pada ayat yang keenam. Demikian juga doa-doa yang dibaca ketika sujud. Kesemuanya ini tidak dianjurkan untuk seseorang yang berdoa itu mengangkat tangan padanya.

3. Doa Yang Tidak Terdapat Anjuran Mengangkat Tangan dan Tidak Pula Dilarang

Dalam kategori ini, ia merujuk kepada majoriti doa-doa yang lain dari sudut hanya dianjurkan berdoa namun tidak disebutkan sama ada baginda mengangkat tangan atau tidak mengangkat tangan. Termasuk dalam kategori ini adalah doa sebelum tidur. Berdoa sebelum tidur adalah dituntut di sisi syarak dan sabit dari perbuatan baginda SAW.

Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata: Nabi SAW apabila menuju ke katil (untuk tidur) baginda membaca:

‏اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ
“Ya Allah dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.” [Riwayat Al-Bukhari (7394)]

Meskipun begitu, kesemua kategori doa ini secara asasnya digalakkan untuk seseorang yang membacanya untuk mengangkat tangan. Ini kerana mengangkat tangan adalah zahir kerendahan diri dan jiwa seorang hamba kepada Allah SWT. Demikian juga ia termasuk antara sebab kemustajaban doa seseorang.

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas kami menyatakan bahawa disunatkan bagi seseorang itu untuk mengangkat tangannya semasa membaca doa sebelum tidur. Ini mengambil asas dalam berdoa adalah menzahirkan kerendahan jiwa serta menimbulkan rasa hina diri di hadapan Allah SWT. Meskipun begitu, sekiranya seseorang itu semata membaca doa sebelum tidur tanpa mengangkat kedua tangannya, maka hal ini adalah dibolehkan dan tiada masalah padanya kerana dalam isu ini terdapat padanya keluasan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.