Adab-Adab Ketika Bersin - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Adab-Adab Ketika Bersin


SOALAN:
Betulkah kita tidak boleh mengucapkan “Alhamdulillah” apabila kita bersin melebihi tiga kali. Bukankah Sunnah Nabi SAW apabila bersin mestilah menyebut “Alhamdulillah”. Mohon penjelasan. Dan bolehkah jelaskan adab orang yang bersin. Terima kasih.

JAWAPAN:
Islam merupakan agama yang sangat menitik berat kehidupan umatnya dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara. Berdasarkan persoalan yang diajukan di atas, bersin merupakan nikmat semula jadi yang diberikan Allah SWT kepada setiap insan.

Selain itu, Allah SWT menyukai orang yang bersin kerana dengan bersin itu dapat mengeluarkan penyakit dari tubuh badannya. Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ
“Sesungguhnya Allah SWT menyukai bersin dan membenci menguap.” [Riwayat al-Bukhari (6226)]

Imam Ibnu Hajar menaqalkan pandangan Khattabi dengan menyebut bahawa maksud Allah SWT menyukai orang yang bersin kerana bersin dapat meringankan badan dan membuka liang-liang roma. (Lihat: Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 10/607)

Selain itu, galakan Baginda Nabi SAW kepada seseorang itu apabila bersin mengucapkan kalimah Tasymit dan Tahmid sebagai tanda syukur kepada Allah SWT. Begitu juga sebaliknya, kepada sahabatnya yang mendengari ucapan itu disarankan agar bertasymit dan mendoakan kebaikan kepada sahabatnya yang bersin.

Ini sepertimana saranan hadith daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ‏.‏ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏.‏ فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏.‏ فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
“Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah dia menyebut Alhamdulillah. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya Yarhamkallah. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) Yarhamkallah maka hendaklah menyebut Yahdikumullah wa Yuslih baalakum.” [Riwayat al-Bukhari (6224)]

Selain itu, di dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub, sabda Nabi SAW:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَلْيَقُلِ الَّذِي يَرُدُّ عَلَيْهِ يَرْحَمُكَ اللَّهُ وَلْيَقُلْ هُوَ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُم
“Apabila bersin salah seorang daripada kamu, maka sebutlah Alhamdulillahi ala kulli hal. Dan kemudian jawablah saudara yang mendengarinya Yarhamukaallah. Dan hendaklah dia (orang yang bersin) membalas Yahdikumullah wa yuslih baalkum.” [Riwayat al-Tirmidzi (2960)]

Ini jelas bahawa saranan Baginda Nabi SAW kepada umatnya berkenaan dengan adab ketika bersin supaya menyebut kalimah Tahmid dan kepada yang mendengarnya mengucapkan kalimah Tasymit iaitu mendoakan kepada sahabat yang bersin itu dengan doa kebaikan ke atasnya.

Imam Ibnu Hajar menaqalkan pandangan Imam Nawawi dengan menyatakan bahawa para ulama' bersepakat ke atas sunnatnya menyebut lafaz Tahmid iaitu seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Battal dan yang lain tanpa menambah kalimah Alhamdulillah seperti hadith yang disampaikan oleh Abu Hurairah R.A. (Lihat: Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 10/600)

Di dalam hadith yang lain, Baginda mengajar bertashmit sekiranya seseorang itu bersin tidak melebihi tiga kali. Dan sekiranya melebihi tiga kali Baginda Nabi SAW menganjurkan supaya mendoakannya kesembuhan daripada penyakit. Hadith yang diriwayatkan oleh Ilyas bin Salamah daripada bapanya menyebut, sabda Nabi SAW:

يُشَمَّتُ الْعَاطِسُ ثَلاَثًا فَمَا زَادَ فَهُوَ مَزْكُومٌ
“Yusyammit (menyebut Yarhamkallah) kepada orang yang bersin sebanyak tiga kali. Dan sekiranya ia lebih daripada itu, maka ia selsema.” [Riwayat Ibnu Majah (3714)]

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut Tasymit dari segi bahasa bermaksud doa dengan kebaikan dan barakah. Dan setiap doa seseorang itu dengan kebaikan maka ia adalah Tasymit.

Ibnu Daqiq al-A’id menyebut daripada sebahagian ulama' Syafi’eyyah menyatakan diulangi kalimah al-Tasymit apabila bersin seseorang itu berulang kali, melainkan mengetahui bahawa dia mengidap selsema maka doakan dia akan kesembuhan penyakit itu. Dan ini difahamkan bahawa gugurlah saranan untuk bertasymit sekiranya mengetahui akan seseorang itu bersin disebabkan selsema. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 12/25-32; Fath al-Bari, 10/606)

Begitu juga, saranan Baginda Nabi SAW kepada umatnya supaya menutup muka dengan tangan atau kain serta mengalihkan muka ke arah yang tidak mempunyai orang ramai atau makanan. Hal ini bertujuan mengelak jangkitan kuman kepada orang lain. Begitu juga, saranan merendahkan suara ketika bersin supaya tidak mengganggu sahabat yang berdekatan dengannya.

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا عَطَسَ غَطَّى وَجْهَهُ بِيَدِهِ أَوْ بِثَوْبِهِ وَغَضَّ بِهَا صَوْتَهُ
“Bahawasanya apabila Nabi SAW bersin, baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suaranya.” [Riwayat al-Tirmidzi (2745)]

Dalam kitab Faid al-Qadir menaqalkan pandangan al-Turibishti menyebut ini merupakan sebahagian daripada adab di antara orang yang duduk di sampingnya. Apabila seseorang itu bersin ia akan menyebabkan ketidakselesaan manusia mendengarnya dan melihatnya. (Lihat: Faid al-Qadir, 5/149)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan perbahasan yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa bersin merupakan anugerah Allah SWT kepada sekalian makhluknya. Justeru Islam datang mengajar umatnya etika dan adab ketika bersin dengan apa yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW. Justeru, secara ringkasnya bagi seseorang yang bersin disarankan agar melakukan perkara seperti berikut:

  • Seseorang yang bersin hendaklah mengucapkan kalimah Tahmid iaitu Alhamdulillah atau Alhamdulillahi ala kulli hal.
  • Seseorang yang mendengar orang yang bersin dan menyebut kalimah Tahmid hendaklah menjawab Yarhamukaallah.
  • Kemudian orang yang bersin itu membalas dengan Yahdikumullah wa yuslih baalkum.
  • Sekiranya orang yang bersin itu melebihi tiga kali, maka yang mendengarnya hendaklak mendoakan kesembuhan ke atasnya.
  • Seseorang yang bersin itu sebaiknya menutup mukanya dan tidak menghalakan mukanya ke arah orang ramai dan juga makanan..

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.