Anjuran Membasahkan Badan Ketika Hujan Turun? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Anjuran Membasahkan Badan Ketika Hujan Turun?


SOALAN:
Betulkah kita dianjurkan untuk membasahkan badan dengan air hujan sebaik sahaja hujan turun. Adakah terdapat dalil dalam isu ini dan apakah sebabnya?

JAWAPAN:
Antara sunnah yang jarang dilakukan dalam pengamalan masyarakat pada hari ini adalah membasahkan sedikit dari bahagian badan dengan air hujan yang turun daripada langit. Perbuatan ini tsabit daripada Nabi SAW berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

“Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah SAW. Lalu baginda SAW menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda.” Kemudian kami bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini?” Maka jawab baginda SAW:

لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى
“Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi.” [Riwayat Muslim (898)]

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: “Sesungguhnya hujan ini adalah rahmat, dan ia baru sahaja tempoh penciptaannya oleh Allah Taala lalu dilakukan tabarruk (mengambil berkat) dengannya.” [Rujuk: Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/195)]

Syeikh Zakariya bin Muhammad Al-Ansari berhujah menggunakan hadith ini dengan kata beliau: “Dan disunatkan untuk seseorang itu keluar ke arah hujan yang turun dan menyelak pakaiannya (selain auratnya) supaya hujan menimpa badannya.” [Rujuk Asna Al-Mathalib (1/293)]

Kemudian dalam menjelaskan sebab dilakukan perbuatan tersebut, Syeikh Zakariya menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau ditanyakan akan sebab perbuatan tersebut, maka jawab Ibn Abbas: Apakah kamu tidak membaca firman Allah SWT:

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا
“Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.” [Surah Qaf (9)]

Lalu kata Ibn Abbas: “Maka aku suka untuk memperoleh sedikit dari keberkatannya.” [Rujuk: Asna Al-Mathalib (1/293)]

Imam Al-Baghawi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata: “Iaitu (air yang berkat) dari sudut padanya kebaikan yang begitu banyak serta padanya juga kehidupan setiap sesuatu, dan ia adalah air hujan.” [Rujuk: Ma’alim al-Tanzil, Al-Baghawi (4/271)]

Sebahagian ulama' menyatakan bahawa bahagian yang dikenakan padanya air hujan adalah kepala. Inilah pendapat yang dipegang oleh Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari. Manakala Al-Thibi menyatakan bahawa ia merujuk kepada badan.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Hakim pula, menyebutkan bahawa Rasulullah SAW membuka baju dari bahagian belakang badan baginda. [Rujuk: Mirqat al-Mafatiih, Mulla ‘Ali Al-Qari (3/1108)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum membasahkan bahagian badan yang bukan dalam kategori aurat dengan air hujan adalah disunatkan. Zahir nas tidak menunjukkan bahagian hujan yang mana sama ada pada awal turunnya, di pertengahan, atau di penghujung. Meskipun begitu, ia lebih dituntut pada awal-awal turunnya hujan memandangkan hikmahnya kerana ia disifatkan sebagai nikmat yang baru turun, serta disifatkan sebagai air yang berkat diturunkan oleh Allah SWT.

Akhir kalam semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.