Adakah Isteri Dianggap Nusyuz Apabila Memohon Fasakh, Kerana Pada Suami Terdapat Aib? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Adakah Isteri Dianggap Nusyuz Apabila Memohon Fasakh, Kerana Pada Suami Terdapat Aib?


SOALAN:
Adakah isteri dianggap nusyuz jika memohon fasakh dalam keadaan suami yang terdapat aib?

JAWAPAN:
Kami akan bahaskan konsep nusyuz seorang isteri serta perkara yang membolehkan fasakh bagi merungkaikan persoalan berkaitan tanggapan nusyuz sekiranya memohon fasakh dalam keadaan suami terdapat aib.

Definisi nusyuz ialah isteri yang menderhakai suami dengan mengingkari ketaatan terhadap suami yang diwajibkan Allah SWT. Ulama' empat mazhab berpendapat isteri nusyuz ialah isteri keluar daripada mentaati perintah suaminya.

Antara sebab berlaku nusyuz ialah isteri keluar rumah mahupun musafir tanpa izin suami, tidak membuka pintu untuk suaminya masuk dan tidak membenarkan suaminya menyetubuhi tanpa sebab keuzuran [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji (2/102-103)]

Walau bagaimanapun sabitan nusyuz seseorang isteri tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan ia memerlukan prosedur dan pembuktian di Mahkamah Syariah.

Sementara maksud fasakh adalah jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak. Secara asasnya, para fuqaha’ telah menyenaraikan beberapa aib-aib yang dibolehkan untuk membawa kepada tuntutan fasakh. Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, iaitu gila, kusta, sopak, faraj tersumbat dengan daging, faraj terhalang dengan tulang, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong. [Lihat: al-Mu’tamad (4/96)]

Aib yang berlaku pada pasangan suami isteri terbahagi kepada dua:

  • Aib menghalang persetubuhan seperti zakar terputus, mati pucuk, faraj tersumbat oleh tulang atau daging.
  • Aib yang tidak menghalang persetubuhan seperti penyakit yang menjijikkan atau mengundang bahaya seperti sopak, kusta dan gila.

Aib tersebut jelas menunjukkan telah menghalang tujuan perkahwinan. Walau bagaimanapun sekiranya aib yang dialami oleh suami boleh dirawat dengan kaedah perubatan, maka sebab yang membolehkan fasakh telah gugur. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji (2/ 109)]

Kes tuntutan fasakh memerlukan prosedur dan pembuktian di Mahkamah Syariah kerana hakim mempunyai kuasa untuk membubarkan perkahwinan.

Kesimpulan

Tuntasnya, berdasarkan hujah yang dikemukakan, seorang isteri tidak dikatakan nusyuz bahkan mempunyai hak untuk menuntut fasakh sekiranya terdapat aib pada suami seperti yang telah ditentukan oleh syarak. Bagi kes tersebut, isteri perlu mengemukakan bukti perubatan kepada pihak Mahkamah Syariah. Namun, sekiranya sakit suami tersebut tidak termasuk dalam perkara-perkara aib yang membolehkan fasakh dan boleh dirawat, maka amatlah wajar seorang isteri berdamping menjaga suaminya ketika sakit dan mencari alternatif untuk mendapatkan rawatan. Akhir kalam, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman yang mendalam dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.