Tidak Perasan Tompokan Darah Di Pakaian Ketika Solat - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Tidak Perasan Tompokan Darah Di Pakaian Ketika Solat


SOALAN:
Satu hari selesai sahaja saya solat, saya baru perasan pada baju saya ada tompok darah. Kemudian baru saya teringat yang sebelum tu saya ada tolong seseorang yang kemalangan. Macam mana dengan solat saya ustaz. Sah ke tidak? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Syarat sah solat ada tujuh. Sah atau batalnya solat adalah bergantung kepada tujuh syarat tersebut. Jika kesemua syarat tersebut dipenuhi maka solat yang ditunaikan adalah sah. Jika sebaliknya, ia menyebabkan solat tidak sah atau kata lainnya batal.

Di antara syarat tersebut ialah memastikan badan, pakaian dan tempat solat bersih daripada najis. Jika ada najis pada mana-mana 3 bahagian yang disebutkan maka solat yang ditunaikan adalah tidak sah dan perlu diulangi semula.

Najis ada dua jenis iaitu darah dan juga selain dari darah. Jika ianya selain dari darah dan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa alat bantuan seperti najis anjing maka ianya adalah najis yang tidak dimaafkan. Ini kerana ianya mudah untuk dielakkan. Jika ianya benda yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar seperti habuk rokok. Maka ianya adalah najis yang dimaafkan kerana sukar untuk mengelak daripadanya.

Adapun darah, maka perlu dilihat dan dibezakan. Jika ianya darah nyamuk atau serangga maka ianya adalah najis yang dimaafkan sama ada banyak atau sedikit. Jika tidak ianya akan menyebabkan kesukaran dan menyebabkan orang ramai susah. Adapun darah haiwan seperti lembu, anjing dan lain-lain atau darah yang keluar dari tubuh manusia itu sendiri, jika sedikit maka ianya dimaafkan. Jika ianya banyak maka ia dikira sebagai najis yang tidak dimaafkan. (Rujuk: Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, 1/200)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika saudara perasan ada tompok darah sejurus selepas menunaikan solat ditambah pula ianya adalah najis yang tidak dimaafkan seperti darah, maka solat yang dilakukannya itu tidak sah dan perlu untuk diulangi semula. Ini kerana sudah menjadi satu kewajipan untuk memeriksa terlebih dahulu kebersihan pakaiannya sebelum menunaikan solat. Ianya juga merupakan syarat sah solat yang mana jika diabaikan boleh membawa kepada batalnya solat.

Imam Al-Ramli menyebut jika seseorang itu solat dalam keadaan tubuh pakaian atau tempat solatnya bernajis dan tidak mengetahuinya ketika permulaan solat kemudian setelah selesai baru dia tahu yang pada pakaian, di tubuh atau tempatnya itu ada najis, maka dia wajib mengganti mengulangi semula solatnya menurut Al-Qaul Al-Jadid. Ini kerana bersuci adalah perkara yang wajib ianya tidak gugur dengan memberi alasan tidak tahu. Beliau menyebut lagi sekiranya dia tahu ada najis pada pakainnya kemudian terlupa maka wajib baginya untuk mengulangi semula solatnya disebabkan dia telah cuai untuk bersuci. (Rujuk: Nihayah Al-Muhtaj Ila Syarh Al-Minhaj, 5/24).

Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan bahawa sekiranya dia tahu pada pakaiannya ada najis, kemudian dia terlupa. Kemudian dia teringat sama ada semasa solat atau selepas, maka batal lah solatnya dan perlu diulangi semula. (Rujuk: Mughni Al-Muhtaj Fi Ma’rifati Ma’ani Alfaz Al-Minhaj, 1/194)

Adapun jika seseorang perasan ada najis pada pakaian dalam tempoh masa yang lama maka dia tidak perlu mengulangi solatnya. Ini berdasarkan kaedah:

الأصل في كل حادث تقديره بأقرب زمن
“Asal bagi (menetapkan) setiap perkara adalah dengan ditakdirkan dengan waktu yang terdekat.”

Berdasarkan kaedah ini, ianya membawa maksud bahawa jika najis itu didapati dalam tempoh masa yang lama selepas menunaikan solat, maka dia tidak perlu mengulangi solatnya kerana ada kemungkinan najis yang ada pada pakaiannya itu melekat dalam tempoh masa selepas menunaikan solat. Akan tetapi, jika dalam tempoh masa yang lama dia yakin bahawa najis yang ada padanya itu adalah najis yang ada sebelum dari itu dan dibawa ke dalam solat, maka wajib untuk dia ulanginya. (Rujuk: Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, 1/203)

Kesimpulannya, jika saudara perasan ada darah sejurus selepas menunaikan solat, maka solat yang dilakukan adalah tidak sah dan perlu diulangi semula. Namun jika baru perasan selepas tempoh masa yang lama maka tidak perlu mengulanginya. Sunat untuk ulang semula solatnya. Akan tetapi, jika telah berlalu tempoh masa yang lama dan saudara yakin bahawa najis yang ada pada baju itu ada sebelum saudara menunaikan solat lagi, maka wajib untuk mengulangi semula solat yang telah dilakukan.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.