Status Solat Seseorang Jika Kucing Bermain Di Kaki - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Status Solat Seseorang Jika Kucing Bermain Di Kaki


SOALAN:
Saya memelihara seekor kucing. Namun, saya ada kemusykilan berkenaan ibadah solat saya kerana ketika saya sedang solat, kucing peliharaan saya selalu mengganggu saya. Contohnya, bermain-main di kaki dan melintasi sejadah tempat saya solat. Adakah solat saya sah? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

يَقْطَعُ الصَّلَاةَ الْمَرْأَةُ وَالْحِمَارُ وَالْكَلْبُ
“Yang memutuskan solat (seseorang) adalah perempuan, keldai dan anjing.” [HR. Muslim (511)]

Sebahagian riwayat datang dengan lafaz anjing hitam. Kemudian, Nabi SAW ditanya berkenaan apakah yang membezakan anjing hitam dengan anjing-anjing lain? Baginda SAW menjawab:

الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ شَيْطَانٌ
“Anjing hitam adalah syaitan.” [HR. Muslim (510)]

Syeikh Fuad al-Baqi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa anjing hitam disebut sebagai syaitan kerana ia adalah anjing yang paling buas, paling jahat (mengganggu), paling sikit manfaatnya dan paling banyak berehat (pemalas). [Lihat: Sahih Muslim (1/365)]

Hukum solat seseorang jika ada sesuatu melintas di hadapannya

Jumhur ulama' berpendapat tidak batal solat seseorang itu disebabkan oleh sesuatu yang melintas di hadapannya. Dan makna terputusnya solat sebagaimana di dalam hadis ialah kurangnya pahala solat kerana (fokus) hatinya telah terganggu dengan perkara-perkara tersebut. [Lihat: al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim (2/193)]

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa:

أن المراد بالقطع القطع عن الخشوع والذكر للشغل بها والالتفات إليها لا أنها تفسد الصلاة
“Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan memutus di sini, ialah memutuskannya daripada kekhusyukkan (solat) dan zikir kerana dia telah disibukkan dengannya serta telah berpaling kepadanya. Bukan kerana perkara tersebut telah merosakkan (membatalkan) solatnya.” [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/251)]

Maka, kita fahami perkara-perkara tersebut tidaklah sampai membatalkan solatnya, tetapi telah menyebabkan kekhusyukkan dan perhatiannya ketika solat terganggu. Akhirnya, ia telah membawa kepada kurangnya ganjaran pahala solatnya.

Oleh sebab itu, ketika solat kita hendaklah berusaha semampu mungkin dalam menjaga kekhusyukkan solat kita dan menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan hati kita hilang fokus ketika solat. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

لا يَقطَعُ الصَّلاةَ شيءٌ، وادرَؤوا ما استطَعْتُم؛ فإنَّما هو شيطانٌ
“Tidak ada sesuatu yang dapat memutuskan solat kamu, dan hendaklah kamu mencegahnya semampu mungkin kerana sesungguhnya ia adalah syaitan.” [HR. Abu Daud (719)]

Kucing melintasi dan bermain-main di kaki

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami cenderung menyatakan bahawa solat seseorang itu tetap sah dan tidak batal sekiranya kucing melintasi atau bermain-main di kakinya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat Abdullah Bin Umar dan Ali bin Abi Talib R.Anhum sebagaimana yang telah direkodkan oleh Imam Malik di dalam kitabnya bahawa mereka telah berkata:

لا يَقطَعُ الصَّلاةَ شَيءٌ ممّا يَمُرُّ بيْنَ يَدَيِ المُصَلِّي
“Tidak ada sesuatupun yang boleh memutuskan solat seseorang, daripada apa-apa yang melintasi di hadapan seseorang yang sedang solat itu.” [Lihat: al-Muwatta’ (1/156)]

Kucing adalah haiwan yang suci

Selain itu, kucing juga adalah merupakan haiwan yang suci dan selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabshah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wudhu'. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu, Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
“Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.” [HR. al-Tirmidzi (92)]

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia adalah haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Al-Son‘ani telah menyebut di dalam kitabnya bahawa:

خَفَّفَ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى عِبَادِهِ بِجَعْلِهَا غَيْرَ نَجَسٍ رَفْعًا لِلْحَرَجِ… وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى طَهَارَةِ الْهِرَّةِ وَسُؤْرِهَا
“Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan (atas diri kamu)… dan hadith ini adalah merupakan dalil bahawa kucing itu suci, termasuk juga bekas minumannya (air yang telah diminum).” [Lihat: Subul al-Salam (1/33)]

Selain itu, dalam mazhab Imam al-Syafie, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/172)]

Ibnu Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis. [Lihat: al-Mughni (1/39)]

Manakala al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa:

وَالْجُزْءُ الْمُنْفَصِلُ مِنْ الْحَيَوَانِ الْحَيِّ ...كَمَيْتَتِهِ أَيْ ذَلِكَ الْحَيِّ : إنْ طَاهِرًا فَطَاهِرٌ، وَإِنْ نَجِسًا فَنَجِسٌ... فَالْمُنْفَصِلُ مِنْ الْآدَمِيِّ أَوْ السَّمَكِ أَوْ الْجَرَادِ طَاهِرٌ، وَمِنْ غَيْرِهَا نَجِسٌ... أَمَّا الْمُنْفَصِلُ مِنْهُ بَعْدَ مَوْتِهِ فَحُكْمُهُ حُكْمُ مَيْتَتِهِ بِلَا شَكٍّ إلَّا شَعْرَ... الْمَأْكُولِ فَطَاهِرٌ بِالْإِجْمَاعِ
“Bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup… (hukumnya) adalah seperti bangkainya. Iaitu haiwan yang hidup tersebut, sekiranya ia suci (iaitu bangkainya) maka bahagian yang terpisah itu juga adalah suci, sekiranya ia adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah najis… Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia atau ikan atau belalang adalah suci, manakala selainnya (manusia, ikan dan belalang) adalah najis… Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijma’ (para ulama).” [Lihat: Mughni al-Muhtaj (1/235)]

Oleh itu, menurut mazhab Syafie bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup adalah najis kerana kucing termasuk haiwan yang tidak boleh dimakan. Akan tetapi, bulu kucing termasuk di dalam kategori najis yang dimaafkan kerana kucing adalah haiwan peliharaan serta sukar untuk dikawal. Oleh kerana itu, jika badan, pakaian atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.

Kesimpulan

Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama' serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  • Kucing yang melintasi atau bermain-main di kaki ketika solat tidak membatalkan solat seseorang itu. Namun, kami ingin menasihati sekiranya dapat meletakkan sebentar kucing peliharaan tersebut di dalam ruangan yang lain (bukan di ruangan solat) atau mengurungnya sebentar di dalam sangkar adalah lebih baik. Mudah-mudahan, kekhusyukkan kita di dalam solat tidak terganggu sehingga boleh menyebabkan pahala solat kita berkurangan.
  • Bulu kucing termasuk di dalam kategori najis yang dimaafkan kerana kucing adalah haiwan peliharaan serta sukar untuk dikawal. Ia adalah apa yang kita sebutkan sebagai Umum al-Balwa (sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku). Oleh kerana itu, jika badan, pakaian atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agama-Nya serta mengamalkan syariat-Nya dengan sebaik mungkin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.