Modified Dan Custom Made Motokar Dengan Spare Part Curi - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Modified Dan Custom Made Motokar Dengan Spare Part Curi


SOALAN:
Saya adalah penggemar kepada aktiviti permotoran. Saya telah memiliki beberapa buah kereta dan motosikal yang telah diubahsuai dan yang di custom made (buat sendiri). Sebagai satu aktiviti yang dianggap sebagai hobi sejak dahulu lagi, sememangnya saya telah mengetahui dan menjumpai lubuk-lubuk spare part (alat ganti) yang murah yang terdiri daripada barangan yang dicuri. Persoalan saya adakah dibolehkan untuk saya membeli spare part (alat ganti) daripada penjual barangan curi seperti berikut? Mohon penjelasan.

JAWAPAN:
Tuntutan agama terhadap aspek penjagaan harta sememangnya dititiberatkan sehingga dinyatakan sebagai maqasid syariah yang lima. Perkara tersebut disebutkan dengan jelas oleh Nabi SAW semasa menyampaikan khutbah wada’ seperti berikut:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا
“Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu, serta maruah di antara kamu haram (terpelihara) seperti kemuliaan hari kamu ini.” [Riwayat al-Bukhari (67)]

Imam al-Ghazali menyebut: “Matlamat syarak kepada makhluk ada lima, menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Setiap satunya mempunyai pemeliharaan asas yang lima, iaitu maslahat. Dengan luputnya satu daripadanya, maka ia akan membawa kepada mafsadah. (Lihat al-Mustasfa, 1/483)

Mencegah kemungkaran yang berlaku daripada terus berlaku adalah satu tuntutan agama Islam kepada semua. Kepentingan terhadap amalan ini disebutkan oleh Allah SWT dan Nabi SAW sendiri sehinggakan dinyatakan azab bagi mereka yang meninggalkan nahi mungkar. Adapun begitu, kewajipan terhadap amalan tersebut adalah berpandukan kepada kemampuan yang ada pada diri sendiri. Ini berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” [Riwayat Muslim (78)]

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Hudzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلاَ يُسْتَجَابُ لَكُمْ
“Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, lakukanlah amal ma’ruf dan cegahlah kemungkaran, atau Allah akan mengirimkan seksa kepada kamu semua dari sisinya, kemudian engkau memanjatkan doa kepada-Nya tetapi tidak akan diperkenankan lagi.” [Riwayat al-Tirmidzi (2169), Imam al-Tirmidzi menghukumkan hadith ini sebagai hasan sahih]

Demikian juga Firman Allah SWT berikut:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran: 104)

Imam al-Maraghi menyebut bahawa perlu ada di kalangan kamu satu kelompok yang melaksanakan dakwah. Menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran. Perintah ini ditujukan kepada orang Mukmin. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/869)

Menjawab kepada persoalan yang diajukan, hukum membeli barang yang diketahui statusnya dicuri adalah haram dan berdosa. Sekiranya pembeli mengetahui status curian tersebut dan masih membelinya, dia dikira telah bersubahat dan bekerjasama dalam aktiviti tersebut.

Ini berpandukan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

مَنِ اشْتَرَى سَرِقَةً وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهَا سَرِقَةٌ فَقَدْ أُشْرِكَ فِي عَارِهَا وَإثْمِهَا
“Barangsiapa yang membeli barang yang dicuri, sedangkan dia tahu bahawa barang itu adalah barang yang dicuri, maka dia telah berkongsi kesalahan dalam dosa pencurian tersebut.” [Riwayat al-Baihaqi (10826) dalam al-Sunan al-Kubra]

Imam al-Sayuti menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih. [Lihat: al-Jami’ al-Soghir, 2/313]

Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut: “Islam tidak membenarkan seorang Muslim membeli sesuatu barang yang dicuri. Jika seseorang itu melakukan perkara tersebut, samalah dia membantu pencuri itu dan seolah-olah dia menggalakkan jenayah berlaku. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 300-301)

Begitu juga dengan akad jual beli yang dilakukan tersebut adalah batil dan tidak sah. Ini kerana, antara syarat dalam rukun jual beli ialah penjual menjual barang yang menjadi miliknya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 18/6)

Sebaliknya dalam situasi di atas jual beli yang dilakukan tidak memenuhi syarat-syarat dalam rukun akad jual beli. Daripada ‘Abdullah ibn Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

وَلاَ بَيْعَ إِلاَّ فِيمَا تَمْلِكُ
“Tidak berlaku jual beli melainkan pada barang yang kamu miliki.” [Riwayat Abu Daud (3503)]

Syor dan nasihat

Islam tidak menghalang panganutnya daripada mempunyai hobi atau kegemaran. Sememangnya, ia adalah satu lumrah yang terdapat dalam diri setiap manusia. Adapun begitu, nasihat kami adalah:

  • Hobi yang dilakukan perlulah berfaedah untuk diri, masyarakat dan agama Islam itu sendiri. Hobi yang dilakukan perlulah mengikut kemampuan diri sendiri dan jangan sampai membebankan diri. Susun aktiviti tersebut dalam ruangan yang membataskan diri daripada berlaku pembaziran masa dan wang ringgit.
  • Sulamilah hobi tersebut dengan taqwa kepada Allah SWT supaya kita tidak melampaui had yang sepatutnya seperti mengabaikan tanggungjawab keluarga dan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Kesimpulan

Kami cenderung mengatakan bahawa hukum membeli barang yang diketahui statusnya adalah curi adalah haram dan berdosa. Ini kerana, pembelian tersebut adalah dikira menyokong dan bersetuju dengan jenayah curi yang dilakukan tersebut. Dari sudut akad jual beli yang dilakukan tersebut adalah terbatal dan sia-sia kerana tidak mencukupi syarat dalam rukun jual beli. Menjadi tanggungjawab kita semua dalam membanteras jenayah curi dan jangan sekali-kali berdiam diri terhadap perkara tersebut.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Bakar R.A, bahawa bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوُا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ
“Sesungguhnya manusia itu, jika mereka melihat orang zalim, lalu mereka tidak menidakkannya (kezaliman tersebut), maka Allah akan menimpakan azab-Nya kepada mereka secara umum.” [Riwayat al-Tirmidzi (2168) dan Abi Daud (4338), Syeikh Syuaib al-Arnaout menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih]

Semoga penjelasan yang diberikan ini menyedarkan kita semua seterusnya berusaha dalam membendung gejala jenayah sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.