Hukum Tidur Ketika Khutbah Jumaat - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Tidur Ketika Khutbah Jumaat


SOALAN:
Sekarang ini kita lihat ramai jemaah yang tidur semasa khutbah Jumaat. Adakah keadaan ini turut menjadikan pelakunya sebagai seorang yang lagha?

JAWAPAN:
Mendengar khutbah Jumaat adalah dituntut. Sekalipun para fuqaha' berbeza pendapat tentang hukumnya di antara wajib dan juga sunat, akan tetapi tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.

Secara asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat Jumaatnya. Kami nyatakan perinciannya seperti berikut:

Pertama: Perkataan

Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung, akan menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ‏ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ
“Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu “diamlah” ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha.” [Riwayat al-Bukhari (934)]

Hadis di atas ini menjadi dalil bahawa sebarang ucapan sekalipun berbentuk amar makruf (arahan kepada kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah dilarang semasa khutbah sedang berlangsung serta menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Dan pengertian lagha di sisi para ulama' membawa kepada makna yang berikut:

  • Tidak mendapat sebarang pahala.
  • Fadilat Jumaat seseorang itu terbatal.
  • Solat Jumaatnya menjadi solat Zohor sahaja.

Berdasarkan hadis di atas juga, dalalah al-muwafaqah (petunjuk yang bertepatan) membawa kepada larangan berkata-kata semasa khutbah. Sekalipun ucapan ‘diamlah’ itu suatu nahi mungkar, namun ia dianggap sebagai lagha. Maka ucapan-ucapan selain dari itu adalah lebih utama untuk dinilai sebagai lagha.

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا
“Sesiapa yang berwudhu' dan dia perelokkan wudhu'nya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.” [Riwayat Muslim (857)]

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa tidur ketika khutbah sedang berlangsung turut menafikan tumpuan dan fokus kepada mendengar khutbah yang dituntut. Oleh kerana itu, ia turut termasuk dalam perkara yang dilarang semasa khutbah.

Imam Muhammad bin Sirin berkata: “Para salaf terdahulu mereka tidak suka kepada perbuatan tidur semasa imam sedang berkhutbah dan mereka mengucapkannya dengan kenyataan yang begitu tegas. Iaitu dengan menyifatkan orang yang tidur semasa khatib sedang berkhutbah seperti tentera perang yang pulang dalam keadaan yang gagal (tidak mendapat ghanimah iaitu harta rampasan perang).” [Rujuk Al-Jamik Li Ahkam al-Quran, Al-Qurtubi (18/117)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum tidur dengan sengaja ketika khatib sedang berkhutbah adalah ditegah dan menjadikan pelakunya sebagai lagha. Namun sekiranya seseorang jemaah itu tertidur secara tidak sengaja boleh jadi disebabkan terlalu letih, maka ini tidaklah termasuk di dalam larangan tersebut.

Meskipun begitu, kami mencadangkan kepada para jemaah yang mengantuk untuk beralih kedudukan tempat duduknya ke tempat yang lain di dalam masjid. Ini sesuai dengan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ إِلَى غَيْرِهِ
“Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat) maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.” [Riwayat Abu Daud (1119)]

Hadis ini menunjukkan tidaklah semua pergerakan anggota badan itu dilarang semasa khutbah. Akan tetapi, perbuatan seperti beralih kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain itu dibolehkan bahkan disunatkan, dengan tujuan untuk mengelakkan mengantuk serta dapat terus fokus mendengar khutbah. Berikut adalah hikmah kepada perbuatan beralih kedudukan ini:

  • Pergerakan dapat menghilangkan rasa mengantuk.
  • Tempat duduknya yang menyebabkan dia tidur itu terdapat padanya syaitan.

Dua hikmah di atas ini disebutkan oleh Al-Sayyid Muhammad Siddiq Hasan di dalam kitabnya Al-Diin al-Khaalis (4/145-146).

Kami juga menyarankan para imam supaya sentiasa memperbaiki cara penyampaian dengan menjadikan ia sebagai khutbah yang menarik tumpuan dengan melontarkan intonasi suara yang lunak serta memberi kesan, serta tajuk-tajuk yang dekat dengan jiwa supaya para jemaah dapat mendengar dengan penuh teliti dan fokus.

Akhir kalam, kami berdoa supaya Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.