Hukum Tangkap Haiwan Ternakan Yang Berkeliaran Dan Menyaman Pemiliknya - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Tangkap Haiwan Ternakan Yang Berkeliaran Dan Menyaman Pemiliknya


SOALAN:
Sejak akhir-akhir ini, terdapat berita yang melaporkan tentang kewujudan haiwan ternakan di atas jalan raya lebih-lebih lagi di atas lebuhraya utama. Persoalan saya, adakah dibolehkan untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menangkap haiwan ternakan tersebut? Adakah dibolehkan saman atau denda dikeluarkan kepada pemilik yang membiarkan ternakannya berkeliaran? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN:
Masalah berkaitan haiwan ternakan yang berkeliaran bukanlah satu isu yang baru terjadi. Ianya adalah satu masalah yang berlarutan sejak dahulu lagi. Masalah ini tidak boleh dipandang remeh oleh kita semua dan memerlukan kepada tindakan serta penyelesaian yang segera. Berita telah melaporkan bahawa telah banyak tragedi yang menimpa pengguna jalan raya disebabkan oleh ternakan yang berkeliaran. Antaranya ialah:

  1. 61 kes kemalangan akibat haiwan berkeliaran, Sinar Harian, 8 Julai 2019: https://www.sinarharian.com.my/article/36552/EDISI/Terengganu/61-kes-kemalangan-akibat-haiwan-berkeliaran
  2. Maut Elak Lembu, Berita Harian Online, 8 Mei 2019: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/05/561617/maut-elak-lembu
  3. Patah Bahu Akibat Langgar Lembu, Berita Harian Online, 20 Februari 2018: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/390786/patah-bahu-akibat-langgar-lembu
  4. Dua Cedera Van Langgar Lembu, Harian Metro, 24 Januari 2018: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/01/306742/dua-cedera-van-langgar-lembu

Berdasarkan kepada laporan berita di atas, kita dapat melihat bahawa ternakan yang berkeliaran di atas jalan raya adalah antara penyebab berlakunya kemalangan yang mengakibatkan hilangnya nyawa insan dan akal serta merosakkan pada harta benda. Penjagaan terhadap setiap aspek yang dinyatakan di atas adalah termasuk dalam maqasid syariah yang utama. Ini bertepatan dangan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)

Begitu juga dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW telah bersabda:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
“Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat.” [Riwayat Ibn Majah (2341)]

Demikian juga satu kaedah fiqh yang masyhur menyebut:

الضَّرَرُ يُزَال
“Kemudharatan itu dielakkan.”

Begitu juga terdapat kaedah lain yang menyebut:

دَرْءُ المَفَاسِدِ أَولَى مِنْ جَلْبِ المَصَالِح
“Menolak kerosakan itu lebih utama berbanding mendatangkan maslahah.”

Menjawab kepada persoalan di atas, pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah badan yang berkuasa dalam menyelesaikan sesuatu masalah di sesebuah tempat. Menjadi tanggungjawab mereka untuk mengkaji dan mencari solusi bagi menyelesaikan setiap masalah yang berlaku. Oleh sebab itu, di atas dasar maslahah dan kuasa yang diberikan, maka PBT adalah dibolehkan untuk menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran, menyaman atau mendenda pemilik haiwan yang membiarkan haiwan ternakannya berkeliaran. Hal ini adalah dibenarkan oleh syarak di atas dasar maslahah kepada rakyat secara umumnya dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat itu sendiri. Hal ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْأِمَاِم عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
“Tindakan (perlaksanaan) pemerintah ke atas rakyat adalah mesti berkait (terikat) dengan maslahah.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazhair, Ibn Nujaim, 1/104)

Imam al-Ghazali Rahimahullah mengatakan bahawa maslahah adalah perkara yang mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan. (Lihat Al-Mustashfa, al-Ghazali, 2/139)

Berdasarkan kepada pengertian ini, setiap perkara yang mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama mampu menghalang keburukan dan kemudaratan daripada menimpa ke atas diri manusia adalah dianggap sebagai maslahah. Kaedah menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran atau mendenda pemilik ternakan tersebut adalah satu tindakan pemerintah untuk kesejahteraan masyarakat secara umumnya. Ia adalah bertepatan dengan kaedah yang disebutkan seperti di atas.

Dalam satu hadith marfu’ yang diriwayatkan oleh al-Sya’bi, beliau berkata bahawa Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ وَجَدَ دَابَّةً قَدْ عَجَزَ عَنْهَا أَهْلُهَا أَنْ يَعْلِفُوهَا فَسَيَّبُوهَا فَأَخَذَهَا فَأَحْيَاهَا فَهِيَ لَهُ
“Sesiapa yang menjumpai seekor haiwan yang mana pemiliknya tidak mampu menjaganya dan membiarkan ia maka boleh untuk dia mengambilnya dan menjaganya maka haiwan tersebut akan menjadi miliknya.” [Riwayat Abu Dawud (3524), Syeikh Syuaib al-Arnaout menghukumkan sanad hadith ini adalah hasan]

Berdasarkan kepada hadith di atas, difahami bahawa sekiranya lembu yang dijumpai berkeliaran tersebut tidak mempunyai pemilik, atau pemiliknya membuang lembu tersebut kerana tidak mampu menguruskannya, dalam erti kata yang lain menyediakan makanan dan minuman untuk ternakannya, maka boleh bagi seseorang yang menjumpai lembu tersebut untuk mengambilnya, memilikinya serta mengambil manfaat daripadanya.

Syor dan Cadangan

Masalah berkaitan haiwan ternakan yang berkeliaran dan tidak ditambat oleh pemiliknya adalah satu masalah yang berpanjangan dan tidak berkesudahan sejak dahulu lagi. Melihat kepada permasalahan ini, kami terpanggil untuk menyatakan beberapa solusi yang mungkin boleh diaplikasikan. Justeru itu, disini kami nyatakan:

  • PBT dengan kerjasama kerajaan negeri boleh menyediakan sebuah ladang rumput bagi ternakan yang berkeliaran. Dengan adanya ladang tersebut, pihak kerajaan negeri boleh membuka dan menyediakan banyak peluang pekerjaan terhadap golongan yang mengangur dalam menyelia dan menjaga ladang tersebut. Pihak kerajaan negeri juga boleh mengamalkan sistem pawah terhadap ternakan yang dilepaskan di ladang tersebut.
  • PBT boleh menangkap seterusnya berunding dengan pemilik haiwan untuk menyegerakan proses sembelihan terhadap binatang tersebut sekiranya pemilik tidak lagi mahu menjaga ternakan tersebut. Dalam keadaan ini juga akan membuka peluang pekerjaan dalam bidang sembelihan dan membanyakkan lagi penjualan daging segar halal di pasaran.
  • PBT boleh menangkap dan mengenakan kompoun terhadap pemilik ternakan yang berkeliaran. Notis atau pemberitahuan awal sebaiknya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum tangkapan terhadap haiwan-haiwan tersebut dilakukan. Ini bagi mengelakkan berlakunya perselisihan faham antara pemilik haiwan dan penguasa.

Kesimpulan

Kami nyatakan bahawa keberadaan haiwan ternakan di atas jalan raya boleh mengundang malapetaka yang tidak diingini kepada setiap pengguna jalan raya. PBT adalah badan bertanggungjawab dalam menangani permasalahan haiwan ternakan yang berkeliaran di atas jalan raya. Justeru, atas dasar maslahah, PBT boleh mengambil tindakan seperti merampas dan mengenakan denda atau saman terhadap pemilik ternakan tersebut. Hal ini adalah dibolehkan di atas dasar menjaga maslahah kepada rakyat secara umumnya seperti mencegah daripada berlakunya kehilangan nyawa, akal dan harta.

Semoga huraian dan penjelasan yang diberikan di atas mampu memupuk semangat bertanggungjawab dalam diri kita semua dalam mematuhi segala undang-undang yang dikemukakan oleh pihak berkuasa. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

https://www.facebook.com/ohmedianetwork/posts/10160282395344572?__tn__=-R
Dikuasakan oleh Blogger.