Hukum Sujud Atas Tanah Atau Lantai Tanpa Alas - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Sujud Atas Tanah Atau Lantai Tanpa Alas


SOALAN:
Bolehkah seseorang mendirikan solat di atas tanah atau lantai tanpa beralaskan sejadah? Mohon penjelasan.

JAWAPAN
Allah SWT telah menjadikan manusia daripada bahan-bahan di bumi dan memerintahkan mereka supaya memakmurkannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
“Dia lah yang menjadikan kamu dari (bahan-bahan) bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.” (Surah Hud: 61)


Selain daripada itu, Allah SWT memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan kemuliaan yang tidak diberikan kepada Nabi-Nabi yang lain, antaranya ialah Allah SWT menjadikan di setiap permukaan bumi sebagai tempat sujud (untuk mendirikan solat) di atasnya dan menjadikan tanahnya suci untuk bertayammum jika sekiranya ketiadaan air bagi umat Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي.. وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ
“Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun sebelum aku.. (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, dimana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” [Riwayat al-Bukhari (438)]


Oleh itu secara asasnya, harus hukumnya untuk mendirikan solat di mana sahaja tanah atau lantai tanpa menggunakan alas atau sejadah kerana ia merupakan satu kemuliaan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tempat yang dikecualikan daripada diharuskan sujud di atasnya, seperti di atas kuburan dan tandas. Di dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلّا المَقْبَرَةَ وَالحَمَّامَ
“Setiap jengkal di bumi ini merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali di atas kuburan dan tandas.” [Riwayat al-Tirmidzi (236), Ibn Majah (737) dan Abu Daud (415)]


Begitu juga, jika sekiranya sesuatu tempat tersebut terdapat najis, maka tidak boleh didirikan solat di atasnya. Hal ini kerana para fuqaha’ telah menetapkan bahawa antara syarat sah solat adalah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat (طهارة عن النجاسة في الثوب و البدن و المكان). Apa yang dimaksudkan dengan tempat solat tersebut ialah:

الذِي يُلَاقِيه أَثْناء صَلَاتِهِ أي: الذي يبَاشِرُ ثَوْبَهُ وَ بَدَنَهُ
“(Apa-apa tempat) yang bersentuhan dengan seseorang ketika mendirikan solat, iaitu yang menyentuh pakaian dan badannya ketika solat.” (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 202)

Justeru itu, jika terdapat najis pada tempat solat yang bersentuhan dengan baju atau badan seseorang, maka tidak boleh didirikan solat di atas tempat tersebut dan tidak sah solatnya.

Namun, jika sekiranya najis tersebut tidak bersentuhan dengan badan atau pakaian tetapi kedudukannya berdekatan dengan tempat solat, maka hukumnya adalah makruh. Hal ini seperti yang disebutkan Syeikh Hasan al-Kaff bahawa:

لَا يَضُرُّ وُجُودُ نَجِسٍ مُحَاذٍ لِبَدَنِ المُصَلِّى أو ملبوسه أو محموله بدون مماسَّة له و لكن مع الكراهة إن قرب عرفا
“Tidak menjejaskan sahnya solat jika terdapat najis yang bertentangan dengan badan, pakaian atau barangan yang ditanggung oleh orang yang mendirikan solat sekiranya tidak bersentuhan dengannya. Namun, makruh hukumnya jika najis tersebut terlalu dekat secara urufnya.” (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 203)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum sujud di atas tanah atau lantai tanpa beralaskan sejadah adalah sah dan hukumnya adalah harus. Hal ini kerana ia merupakan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW, yang menjadikan seluruh muka bumi ini sebagai tempat sujud untuk mendirikan solat di atasnya kecuali kuburan dan tandas.

Selain itu, dikecualikan juga jika sekiranya tempat tersebut mempunyai najis yang bersentuhan dengan badan, pakaian atau barang yang ditanggung oleh yang mendirikan solat, maka tidak boleh didirikan solat di atasnya kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada tempat solat (طهارة المكان). Jika najis tersebut tidak bersentuhan namun berdekatan secara urufnya, maka hukumnya adalah makruh dan seeloknya dielakkan.

Disamping itu, suka untuk kami ingatkan bahawa sujud tanpa alas atau sejadah ini hendaklah diamalkan pada ketika ketiadaan atau kesukaran untuk mendapatkannya sahaja. Namun, jika sekiranya sejadah atau alas sudah tersedia dan senang didapati, maka hendaklah kita menggunakannya dan janganlah malas untuk membentangnya untuk solat di atasnya. Hal ini adalah lebih baik kerana ia menjamin kesucian dan menghilangkan rasa was-was di dalam diri. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.