Hukum Solat Jumaat Di Masjid Kariah Lain - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Solat Jumaat Di Masjid Kariah Lain


SOALAN:
Saya tinggal dan bermastautin di Subang Jaya tetapi bekerja di Putrajaya. Adakah dibolehkan untuk saya solat Jumaat di masjid kariah lain?

JAWAPAN:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumuah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji (1/198)]

Hal ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah R.A, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ
“Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari Kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.” [HR. al-Bukhari (836) dan Muslim (855)]

Syarat wajib solat Jumaat

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut:

  • Beragama Islam.
  • Baligh.
  • Berakal.
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki.
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji (1/200-201) dan Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/159)]

Syarat sah solat Jumaat

Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut tidak sah melainkan setelah dia memenuhi empat syarat yang berikut:

  • Solat Jumaat hendaklah didirikan di dalam kawasan binaan, sama ada di bandar atau di kariah yang mempunyai penduduk yang bermustautin tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang cukup syarat-syarat wajib mendirikan Jumaat.
  • Bilangan Jemaah bagi solat Jumaat ialah tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.
  • Solat Jumaat hendaklah didirikan dalam waktu Zohor.
  • Jangan didirikan lebih daripada satu solat Jumaat pada satu tempat selagi ia boleh dilakukan demikian. Malahan mereka wajib berhimpun pada satu tempat. Namun harus berbuat lebih daripada satu tempat jika tempat tersebut tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai.

[Lihat: al-Fiqh al-Manhaji (1/202-203)]

Sebahagian ulama' telah menyebutkan beberapa lagi syarat sah solat Jumaat selain daripada empat syarat di atas iaitu:

  • Tidak boleh mendahului atau serentak takbiratul ihram antara satu Jumaat dengan Jumaat yang lain dalam satu tempat kerana ditegah berbilang-bilang Jumaat pada satu tempat, kecuali ahli Jumaatnya ramai sukar untuk berhimpun di satu tempat.
  • Ditunaikan secara berjemaah hanya pada rakaat yang pertama dan berkekalan jemaahnya hingga selesai sujud kedua walaupun sekalian makmumnya mufaraqah daripada imamnya selepas sujud kedua pada rakaat pertama. Tetapi bilangan 40 orang adalah adalah disyaratkannya berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. Ahli Jemaah yang mendapat satu rakaat bersama Imam dianggap sebagai mendapat Jumaat.
  • Hendaklah didahului dengan dua khutbah.

[Lihat: Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/160-163), al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 327-328, dan Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hal. 156-158]

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, titik perbincangan adalah pada salah satu syarat sah solat Jumaat iaitu jemaahnya cukup sekurang-kurangnya 40 orang dan orang yang bermastautin.

Orang yang bermastautin ialah orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain. [Lihat: Kamus Pelajar Edisi Kedua]

Manakala Syeikh Ahmad bin Umar al-Syatiri mendefinisikan mastautin sebagai orang yang tidak bermusafir dari tempat yang mereka menetap (bermukim) pada musim panas atau sejuk melainkan ada keperluan seperti berniaga atau ziarah. [Lihat: Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hal. 157]

Dr. Muhammad al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitab beliau bahawa mereka yang solat Jumaat boleh dibahagikan kepada enam kategori. Salah satunya adalah orang yang wajib menunaikan solat Jumaat dan solat Jumaat tersebut boleh dilaksanakan dengan sebab kehadirannya (memenuhi syarat wajib Jumaat) iaitu dia adalah seorang lelaki yang merdeka, baligh, berakal dan mastautin serta tiada sebarang keuzuran… Manakala orang yang bermukim tanpa mastautin termasuk dalam kategori orang yang wajib menunaikan solat Jumaat serta sah solat tersebut. Akan tetapi kehadiran mereka tidak diambil kira sebagai orang yang memenuhi syarat wajib Jumaat… Tidak sah solat Jumaat kecuali dengan bilangan jemaah 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة). Dan mereka ialah orang-orang lelaki yang baligh serta bermastautin pada tempat tersebut. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/501-503)]

Justeru, kita ketahui bahawa salah satu syarat supaya diambil kira sebagai jemaah Jumaat yang mencukupkan bilangan 40 orang di sesuatu tempat atau kariah ialah orang yang bermastautin di tempat tersebut.

Syeikh Daud al-Fatani menyebutkan di dalam kitabnya mengenai syarat sah solat Jumaat iaitu dikerjakan di dalam kawasan perumahan. Bangunan rumah-rumah yang ada di kawasan itu sama ada diperbuat daripada batu atau kayu atau sebagainya, yang mana penghuni-penghuninya mempunyai bilangan untuk mengerjakan solat Jumaat dan menetap (bermukim) di situ dengan tidak musafir pada musim sejuk atau panas kecuali kerana hajat (keperluan). [Lihat: Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/160]

Begitu juga Syeikh al-Baijuri menyatakan bahawa orang mastautin yang diambil kira padanya bilangan jemaah yang berkumpul, tidak musafir daripada tempat menetapnya pada musim sejuk atau panas melainkan ada keperluan. [Lihat: Hasyiah al-Baijuri ‘ala Fathi al-Qarib al-Mujib (1/407)]

Maka kita fahami daripada kenyataan di atas, seseorang yang bermastautin perlu menunaikan solat Jumaat di kariahnya (tempatnya) melainkan ada keuzuran yang diizinkan oleh syarak.

Abu al-Hasan al-Mawardi ada menyatakan bahawa orang yang berada di luar kawasan (خَارِجَ الْمِصْرِ) terbahagi kepada 3 kategori:

  • Orang yang wajib solat Jumaat dengan sebab diri mereka sendiri iaitu ahli kariah yang bermastautin, yang menjadi pelengkap kepada bilangan jemaah 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة). Mereka wajib menunaikannya di tempat mereka (kariah), sama ada tempat tersebut jauh atau dekat, mereka mendengar azan ataupun tidak kerana syarat-syarat solat Jumaat menjadi cukup disebabkan oleh kehadiran mereka. Namun, sekiranya mereka tidak menunaikan solat Jumaat di tempat mereka, mereka berdosa tetapi solat tersebut sah (diterima) kerana mereka telah menunaikan kewajipan solat wajib tersebut.
  • Orang yang tidak wajib solat Jumaat dengan sebab diri mereka sendiri dan tidak juga dengan sebab yang lain iaitu meraka daripada kawasan yang tidak cukup bilangan jemaah 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة), dan berada di luar kawasan pada jarak yang jauh sehingga tidak sampai azan kepada mereka (tidak mendengar azan).
  • Orang yang tidak wajib solat Jumaat dengan sebab diri mereka sendiri tetapi wajib dengan sebab yang lain iaitu meraka daripada kawasan yang tidak cukup bilangan jemaah 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة). Akan tetapi mereka mendengar azan. Maka, mereka wajib pergi menunaikan solat Jumaat (di tempat yang mereka dengar azan itu).

[Lihat: al-Hawi al-Kabir (2/404-405)]

Kesimpulan

Setelah kami melihat kepada pandangan para ulama' serta hujah-hujah mereka kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

1. Seseorang yang bermastautin di dalam satu kariah dan dia sedang berada di dalam kariah tersebut terbahagi kepada dua keadaan:

  • Sekiranya dia menjadi pelengkap kepada bilangan 40 orang di kariahnya, maka dia tidak boleh solat Jumaat di tempat lain melainkan ada keuzuran yang diizinkan syarak. Sekiranya dia sengaja tidak solat di kariahnya, dia berdosa tetapi solatnya sah.
  • Jemaah Jumaat di kariahnya ramai dan melebihi bilangan 40 orang. Dalam situasi ini, dia boleh memilih untuk solat di masjid kariahnya atau tempat lain.

2. Seseorang yang bermastautin tetapi sedang berada di luar kawasan kariahnya kerana ada keperluan seperti ziarah, bekerja atau lain-lain. Bagi situasi ini, kami cenderung kepada pendapat bahawa mereka boleh solat Jumaat di mana-mana tempat selain kariah mereka. Hal ini kerana mengambil kira kesukaran dan kesulitan yang dialami oleh mereka sekiranya hendak pulang segera ke kariah masing-masing bagi menunaikan solat Jumaat.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agama-Nya serta mengamalkan syariat-Nya dengan sebaik mungkin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.