Hukum Pertandingan Menampar Muka - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Pertandingan Menampar Muka


SOALAN:
Apa hukum pertandingan menampar muka?

JAWAPAN:
Kami terlihat di dalam Facebook satu pertandingan menampar pipi kepada lawan masing-masing. Setelah dilihat dan diamati, kami berpendapat hukumnya adalah haram. Ini kerana:

1. Boleh membinasakan seperti cedera bahkan membawa kepada patah atau mati. Hal ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
“...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” [Surah Al-Baqarah (195)]


2. Boleh memudaratkan kedua-dua belah pihak. Ia selaras dengan hadis, di mana Nabi SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
“Tidak boleh seseorang itu memberi kemudaratan atau membalas kemudaratan dengan kemudaratan.” [Riwayat Ahmad (2865) dan Ibnu Majah (2340)]


3. Perbuatan tersebut menghina diri sedangkan Islam menyuruh menjaga maruah diri dan juga tubuh badan manusia.

4. Menyalahi sunnah di mana Rasulullah SAW menyuruh kita memuliakan muka. Sabda Nabi SAW:

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ
“Apabila seseorang kamu memukul maka jauhilah muka.” [Riwayat Ahmad (7323)]


Manakala dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبْ الْوَجْهَ
“Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka.” [Riwayat al-Bukhari (2559) dan Muslim (6817)]


Imam Nawawi menyebut: “Hadis ini menyebut secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana ia sesuatu yang lembut yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mengurangkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi. Apabila ia dipukul maka biasanya tidak selamat dari berlakunya kecacatan.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 8/437)

Imam al-Son’ani pula menyebut: “Hadis ini merupakan dalil haram memukul muka dan ia (muka) dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad).” (Lihat Subul al-Salam, 7/161)

Semoga jawapan ringkas ini memberi satu pencerahan serta mudah-mudahan ia tidak menjadi amalan atau sukan yang dibawa ke Malaysia. Di sana terlalu banyak sukan yang lebih baik untuk membina fizikal, akal dan kecekapan.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.