Adakah Dosa Meninggalkan Solat Terhapus Dengan Menggantikannya? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Adakah Dosa Meninggalkan Solat Terhapus Dengan Menggantikannya?


SOALAN:
Jika kita tinggal solat, kemudian kita qadha solat tersebut, adakah dosa solat itu terhapus ataupun tidak? Terima kasih.

JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” [Surah al-Nisa’ (103)]


Ayat ini merupakan salah satu dalil kefardhuan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Solat menjadi zimmah (beban) ke atas orang Muslim sehinggalah dia menunaikannya melainkan wujudnya uzur Syar’ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya, maka barangsiapa yang meninggalkannya disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

«مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ»
“Sesiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya. Tidak ada kaffarah untuknya melainkan hal tersebut.” [Riwayat al-Bukhari (597), Muslim (684)]


Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka kafirlah dia dan terkeluar daripada agama Islam. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia mendapat dosa dan hendaklah dia mengqadhakannya (menggantikannya) semula. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 1/103-104]

Perkara berkenaan hukum qadha bagi seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja, kami mentarjihkan pandangan bahawa wajib qadha bagi orang yang sengaja meninggalkannya.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan adakah dosa meninggalkan solat akan terangkat ataupun terhapus dengan perbuatan mengqadhakan solat. Seperti yang diketahui bahawa perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja termasuk dalam dosa-dosa besar. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/160]

Maka, dosa-dosa besar tidak akan terampun atau terangkat hanya dengan menggantikan solat fardhu namun perlu disertai dengan taubat kepada Allah SWT. Sebaliknya solat-solat fardhu hanya boleh mengangkat dosa-dosa yang kecil sepertimana hadith Rasulullah SAW:

«الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ»
“Solat lima waktu, dari (solat) Jumaat ke (solat) Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadhan ke (puasa) Ramadhan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar.” [Riwayat Muslim (233)]


Imam Ibn Rejab menyatakan dalam kitabnya bahawa sebahagian ulama’ berkata bahawa sesungguhnya solat menghapus dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar, tetapi jumhur ulama’ berkata bahawa solat tidak akan terhapus sekadar dengan menggantikan solat namun perlulah bersama-sama dengan taubat. [Lihat: Fath al-Bari; 4/221]

Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلاً كَرِيماً
“Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).” [Surah al-Nisa’ (31)]


Imam Ibn Kathir berkata di dalam tafsirnya bahawa jika seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar (yang telah dilarang daripadanya), maka Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya dan memasukkannya ke dalam syurga. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 2/271]

Jelas di sini bahawa dengan menjauhi dosa besar atau secara mafhum mukhalafahnya (tidak meninggalkan solat) maka dapatlah ia menghapuskan dosa-dosa kecil.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah ada berkata:

"والذين أمروه بالقضاء من العلماء لا يقولون إنه بمجرد القضاء يسقط عنه الإثم ، بل يقولون بالقضاء يخف عنه الإثم ، وأما إثم التفويت وتأخير الصلاة عن وقتها فهو كسائر الذنوب التي تحتاج إما إلى توبة وإما إلى حسنات ماحية ، وإما غير ذلك مما يسقط به العقاب".
“Ulama’ tidak mengatakan bahawa qadha semata-mata boleh menggugurkan dosa, tapi mereka katakan ia boleh mengurangkan dosa, namun dosa melewatkan atau meninggalkan solat maka ia adalah seperti dosa-dosa yang memerlukan kepada taubat atau kebaikan-kebaikan yang besar atau apa-apa yang boleh menggugurkan pembalasan.” [Lihat: Minhaj al-Sunnah; 5/233]

Penutup

Kesimpulannya, kami mengatakan bahawa dosa meninggalkan solat tidak akan terhapus hanya dengan menggantikannya sebaliknya perlu disertai dengan taubat, kembali kepada Allah SWT dengan menjauhinya, menyesal terhadap dosa yang dilakukan serta berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah memberikan kepada kita kefahaman dalam memahami agama, diberikan keringanan dan keikhlasan dalam beribadah, ditetapkan keimanan kita serta diberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.