OM Leaderboard Ad

Berniat I’tikaf Di Dalam Solat


SOALAN:
Adakah dibolehkan bagi orang yang terlupa untuk berniat i’tikaf ketika masuk ke masjid untuk berniat ketika di dalam solat?

JAWAPAN:
Sebelum kami menjawab persoalan di atas, i’tikaf dari sudut bahasa ialah tetap dan tenteram dengan sesuatu. Manakala menurut syarak, i’tikaf ialah berada di dalam masjid dengan niat yang tertentu. [Lihat: Fiqh al-Manhaji, 210]

Menurut Imam al-Ramli (1004H) pula, i’tikaf bermaksud menetap (duduk) di dalam masjid dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah, yang mana ia dilakukan oleh seorang Muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid serta nifas dan dia juga menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan. [Lihat: Nihayah al-Muhtaj, 3/213]

Adapun dalil berkaitan i’tikaf yang menunjukkan bahawa ia merupakan salah satu ibadah yang disyariatkan berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ
“Dan janganlah kamu bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kamu dalam keadaan kamu sedang beri’tikaf di dalam masjid.” (al-Baqarah: 187)


Tambahan pula, kita disunatkan untuk beri’tikaf pada setiap masa dan ia sangat digalakkan untuk dilakukan di dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada sepuluh akhir bulan tersebut. [Lihat: Fiqh al-Manhaji, 210]

Berbalik kepada soalan di atas, suka bagi kami untuk menukilkan jawapan daripada Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf di dalam kitabnya berkaitan orang yang memasuki masjid lalu terlupa untuk berniat i’tikaf, adakah dibolehkan untuk dia berniat i’tikaf ketika sedang solat?

“Ya, dibolehkan untuk dia berniat i’tikaf di dalam hatinya ketika sedang solat dan tidak dibenarkan untuk dia melafazkan niat tersebut kerana ia (lafaz tersebut) merupakan percakapan yang asing (bukan daripada bacaan solat) yang boleh menyebabkan solat itu terbatal.” [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 464]

Penutup

Kesimpulannya, dibenarkan untuk berniat i’tikaf ketika di dalam solat bagi orang yang terlupa untuk berniat ketika masuk ke dalam masjid. Akan tetapi, niat tersebut perlulah dilakukan di dalam hati. Ini kerana, dengan perbuatan melafazkan niat tersebut akan menyebabkan solat terbatal disebabkan telah melakukan salah satu daripada perkara-perkara yang membatalkan solat iaitu berkata-kata atau bercakap dengan sengaja.

Akhirnya, semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberikan sedikit kefahaman kita di dalam agama. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.