Status Hadith: Beriman Dengan Rasulullah SAW Tanpa Melihat Baginda - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Status Hadith: Beriman Dengan Rasulullah SAW Tanpa Melihat Baginda


SOALAN:
Apakah status hadith ini? Nabi SAW telah bersabda:

طُوبَى لِمَنْ رَآنِي وَآمَنَ بِي، ثُمَّ طُوبَى، ثُمَّ طُوبَى، ثُمَّ طُوبَى لِمَنْ آمَنَ بِي وَلَمْ يَرَنِي
“Beruntunglah bagi orang yang melihatku dan beriman denganku. Beruntung lagi beruntung dan lagi beruntung bagi orang yang beriman denganku tetapi dia tidak melihatku.”

JAWAPAN:
Rasulullah SAW merupakan seorang insan yang terpuji dan paling mulia di antara makhluk-makhluk Allah SWT yang ada di atas muka bumi ini. Di samping itu, setiap orang yang beriman bercita-cita untuk berada bersama dengan Nabi SAW sebagaimana yang dirasai oleh para sahabat Nabi SAW. Tambahan pula, Allah SWT menyifatkan kita sebagai umat yang terbaik disebabkan kita mendapat Rasul yang terbaik daripada kalangan Rasul yang ada.

Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Ali Imran: 110)

Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kenaikan dan mencegah kepada kemungkaran. [Lihat: Taysir al-Karim al-Rahman, 143]

Sebelum kami sertakan pandangan ulama' berkaitan hadith ini, suka bagi kami untuk menyebutkan terlebih dahulu sumber hadith ini bahawa ia diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi SAW. Antaranya Abu Sa’id al-Khudri RA, Ibn Umar R.A, Anas bin Malik R.A, Abu Umamah R.A, Abu Hurairah R.A dan Wa’il bin Hujur R.A. Riwayat ini terdapat di dalam Musnad Imam Ahmad. [Lihat: Musnad Ahmad, (11673) 18/211]

Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam tiga Mu’jamnya. [Lihat: Mu’jam al-Kabir, 8/259-260, Mu’jam al-Awsat, 6/171, Mu’jam al-Saghir, 2/104]

Tambahan pula, terdapat perbezaan pada pengulangan lafaz “ثُمَّ طُوبَى لِمَنْ آمَنَ بِي وَلَمْ يَرَنِي.” Adapun berkaitan hukum hadith, para ulama' berbeza pandangan dalam menentukan status hadith ini:

  • Imam Ibn Hibban (354 H) menilai hadith ini sebagai sahih di dalam sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 16/213]
  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) mengatakan hadith di atas daripada riwayat Ibn Umar adalah tidak sahih. [Lihat: ‘Ilal al-Mutanahiyah, 1/302]
  • Imam al-Iraqi (806 H) menilai hadith ini sebagai dhaif daripada riwayat Anas bin Malik R.A. [Lihat: al-Arba’un al-‘Ashariyah, 1/228]
  • Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah dhaif ketika mengtahrijkan hadith ini di dalam Musnad Imam Ahmad. [Lihat: Musnad Ahmad, 18/211]

Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, kami katakan bahawa setiap sanad hadith tersebut tidak terlepas daripada kritikan para ulama' kerana adanya perawi-perawi yang dinilai dhaif, matruk atau munkar. Justeru, kami lebih cenderung bahawa status hadith di atas adalah hasan li ghairihi disebabkan adanya syawahid pada hadith tersebut.

Selain itu, para ulama' juga berbeza dalam menentukan makna “طُوبَى” di dalam hadith tersebut. Ada yang menyatakan bahawa ia adalah sebatang pohon di dalam Syurga sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith atau yang dimaksudkan dengan “طُوبَى” adalah Syurga dan sebagainya.

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah hasan lighairih disebabkan wujudnya syawahid atau sokongan pada riwayat tersebut. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan kelebihan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang beriman dengan Baginda SAW selepas daripada kewafatan Baginda SAW. Akan tetapi, ia tidak menunjukkan bahawa keimanan umat yang muncul selepas kewafatan Nabi SAW adalah lebih hebat berbanding para sahabat Nabi SAW. Ini kerana, tiada yang dapat menandingi keimanan para sahabat sebagaimana disifatkan oleh Nabi SAW bahawa mereka iaitu para sahabat adalah kurun yang terbaik.

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan orang-orang yang mencintai Nabi SAW dengan sepenuh hati. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.