Benarkah Bidadari Syurga Seusia Dengan Ahli Syurga? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Benarkah Bidadari Syurga Seusia Dengan Ahli Syurga?


SOALAN:
Adakah bidadari dalam syurga berada dalam usia yang sama, yang tidak berubah dan tidak tua?

JAWAPAN:
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada kitab Jinan al-Khuldi oleh Syeikh Mahir Ahmad al-Sufi (hlm. 294) antara lain menyebut: “Bahkan bidadari sentiasa dalam keadaan yang sama tanpa menjadi tua, dan setiap masa amat menarik.”

Firman Allah SWT:

وَعِندَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ أَتْرَابٌ
“Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya.” [Surah Sad (52)]

Al-Baghawi berkata: “Usia mereka sama iaitu 33 tahun.” (Lihat: Tafsir al-Baghawi yang dikenali sebagai Ma’alim al-Tanzil, 4/66)

Ibn Kathir menjelaskan: “أَتْرَابٌ (yang sebaya umurnya), yakni sama dalam usia dan umur.” (Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/72)

Firman Allah SWT lagi:

إِنَّا أَنشَأْنَاهُنَّ إِنشَاءً ﴿٣٥﴾ فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا ﴿٣٦﴾ عُرُبًا أَتْرَابًا
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” [Surah al-Waqi’ah (35-37)]

Imam Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT: “أَتْرَابًا” (yang sebaya umurnya), beliau menukilkan bahawa al-Dahhak menceritakan daripada Ibn Abbas: “Yakni umurnya sama, 33 tahun.” Mujahid menyatakan “أَتْرَابًا” bermaksud seimbang. Dan dalam sebuah riwayat darinya: “أَتْرَابًا” bermaksud setara. (Lihat: Tafsir al-Quran al-'Azim, 8/6)

Syeikh al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menyediakan bidadari-bidadari itu dari kalangan gadis-gadis perawan yang dicintai oleh suami mereka, kerana mereka melayani suami mereka dengan baik. Semuanya sebaya umurnya, yang satu tidak berbeza dari yang lain. Kami berikan bidadari-bidadari itu untuk golongan kanan (Ashab al-Yamin).” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/6797)

Justeru, kalimah atrab (أَتْرَاب) dalam dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa usia mereka adalah sama dan satu, bersifat kepemudaan tanpa tua.

Semoga Allah kurniakan kita syurga-Nya. Kami menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالْجَنَّةَ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ وَالنَّارِ
“Ya Allah, kami mohon kepadamu keredhaan-Mu dan syurga. Dan kami berlindung dengan-Mu dari kemurkaan-Mu dan neraka.”

Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.