Benarkah Ada Tuntutan Syarak Untuk Membela Kucing? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Benarkah Ada Tuntutan Syarak Untuk Membela Kucing?


SOALAN:
Adakah dalam mana-mana surah Al-Quran menyatakan tentang keperluan membela kucing atau pun tentang kucing? Kedua, salahkah jika saya tidak suka pada kucing kerana bulu-bulu yang akan menjejaskan kawasan dalam rumah dan menghalaunya keluar dari rumah tanpa menyakiti mahupun mengasari? Namun saya tetap memberinya makan di luar dari kawasan rumah.

JAWAPAN:
Secara umumnya, hukum asal memelihara atau membela kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fekah yang masyhur:

الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة
“Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.”

Oleh yang demikian, sesiapa yang meneliti akan maksud keharusan hukum, maka dia akan jelas bahawa syarak tidaklah menuntutnya untuk melakukan atau melarangnya dari melakukan, namun syarak memberinya pilihan sama ada untuk buat ataupun meninggalkannya.

Justeru, dalam isu membela kucing ini tidak terdapat nas daripada syarak yang menyuruh seseorang itu membelanya, begitu juga tidak terdapat larangan syarak ke atas perbuatan tersebut. Maka ia kembali kepada hukum asal iaitu keharusan.

Meskipun begitu, jika dilihat kepada sirah para sahabat maka kita dapat melihat bahawa ada seorang sahabat yang terkenal memelihara dan menjaga kucing iaitu Abu Hurairah R.A. Bahkan terdapat sebuah riwayat daripada ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’ beliau berkata:

قلتُ لأبِي هُريرَةَ: لِمَ كنيتَ بِأبِي هُرَيرَة؟ قال: كنْتُ أرْعَى غَنَمَ أهْلِي، وكَانَتْ لِي هرة صَغِيرَة، فكنتُ أضَعها بِالليلِ فِي شَجَرة، وَإذَا كَانَ النَّهَار ذهَبْتُ بِهَا مَعِي، فلعبتُ بِهَا فكنوني أبَا هُرَيرَة
Aku bertanya kepada Abu Hurairah: “Mengapakah kamu berkuniyah dengan Abu Hurairah?” Lalu beliau menjawab: “Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah.” [Rujuk: Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar (7/349)]

Maka riwayat di atas jelas menunjukkan bahawa Abu Hurairah memiliki dan membela kucing, yang terbina di atas keharusan melakukan perkara tersebut. Meskipun hukum membela dan memelihara kucing adalah harus, namun perlu diketahui bahawa hukum berbuat ihsan kepada haiwan termasuk dalam perkara yang wajib. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.” [Riwayat Muslim (1955)]


Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa dalam satu riwayat yang lain, hadith ini datang dengan sebutan عَلَى كُلِّ خَلْقٍyang membawa maksud wajib berbuat ihsan kepada kesemua makhluk. Maka tuntutan ini meliputi berbuat ihsan kepada manusia, tumbuhan, serta haiwan.

Justeru apabila kita menyatakan bahawa hukum berbuat ihsan dengan haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
“Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.”


Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
“Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.” [Riwayat Al-Bukhari (2365)]


Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa secara asasnya tidak terdapat nas daripada Al-Quran yang menyuruh atau melarang membela kucing. Maka hukum membela kucing adalah harus. Berlaku ihsan kepadanya adalah wajib dan menyakitinya adalah haram. Oleh itu, seseorang bebas memilih sama ada untuk membela kucing atau tidak membelanya. Begitu juga tidak ada masalah untuk seseorang menghalau kucing dari kawasan rumahnya dengan syarat tidak menyakiti dengan menendang, melempar, atau apa-apa cara yang memudaratkan haiwan tersebut.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.