Adakah Talak Penyelesaian Kepada Nusyuz (Derhaka)? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Adakah Talak Penyelesaian Kepada Nusyuz (Derhaka)?


SOALAN:
Adakah talak penyelesaian kepada isteri yang didakwa nusyuz oleh suaminya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

JAWAPAN:
Nusyuz dari sudut bahasa berasal dari perkataan nasyz (نشز) bermaksud tempat tinggi. Definisi nusyuz dari sudut istilah syarak, kebiasaannya disifatkan kepada isteri, yang mana dia telah berkelakuan meninggi diri kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan kepada suami yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” (Surah al-Nisaa’: 34)

Perbuatan nusyuz seorang isteri adalah haram dan termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar, dan akan dikenakan hukuman bagi sesiapa yang melakukannya. Dan antara perbuatan nusyuz isteri ialah keengganan isteri melayani suami di tempat tidur. [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 4/90-92]

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
“Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka Malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi.” [Riwayat Muslim (1436)]

Dalam menangani isu nusyuz isteri, Islam meletakkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh seorang suami. Bahkan semua langkah-langkah tersebut lebih bersifat untuk mengelakkan penceraian. Dengan erti kata lain, nusyuz tidak boleh dijadikan alasan untuk suami menceraikan isteri secara semberono, kecuali setelah mengambil semua langkah yang dipandukan oleh syarak.

Hak mendidik isteri yang nusyuz

Secara prinsipnya, seorang suami memiliki tanggungjawab untuk mendidik isterinya (ولاية التأديب) sekiranya isterinya tidak mentaatinya pada sesuatu perkara yang wajib ke atas isteri untuk taat, seperti meninggalkan rumah tanpa izin suami, atau enggan membenarkan suami menyetubuhinya tanpa keuzuran syar’ie yang membenarkannya dan keadaan-keadaan lain apabila isteri tidak mentaati dan memartabatkan kedudukan suami.

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa langkah-langkah mendidik isteri ini perlu dilakukan secara berurutan seperti dalam firman Allah dalam surah al-Nisaa’ ayat 34.

فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
“Hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

Hal ini kerana yang dimaksudkan dengan huruf ‘wau’ (و) digunakan untuk menghubungkan keadaan yang berperingkat dari yang paling ringan sehingga yang paling berat mengikut tertib. Maka, ini menunjukkan bahawa langkah-langkah tersebut, iaitu nasihat, berpisah tempat tidur, dan pukulan, harus dilakukan secara bertahap mengikut keadaan perilaku isteri tersebut sama ada perbuatan nusyuznya hanya memerlukan nasihat untuk menyedarkannya atau sudah keterlaluan yang perlu kepada pukulan yang tidak mencederakan. Malah tidak wajar sekiranya kesalahan yang kecil dikenakan hukuman yang berat. [Rujuk: Tafsir al-Munir 3/81 dan al-Haawi al-Kabir 9/595]

Langkah-langkah dan adab mendidik isteri

1. Menasihati isteri dan memberi bimbingan (فَعِظُوهُنَّ)

Apabila tanda-tanda nusyuz mula kelihatan daripada seorang isteri, maka suami hendaklah memberi nasihat kepada isteri dengan lemah lembut dan berhikmah tentang tanggungjawabnya yang diwajibkan oleh Allah SWT dalam menjaga hubungan yang baik antara suami isteri serta mengiktiraf martabat suami. Di samping itu, mengingatkan isteri tentang kemurkaan Allah SWT dan akibat daripada perbuatan nusyuz yang dilakukan yang tidak diwajibkan ke atas suami untuk memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz. Semoga dengan nasihat dan peringatan tersebut, isteri dapat kembali melaksanakan kewajipannya terhadap suaminya.

2. Meninggalkan isteri bersendirian di tempat tidur (وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ)

Sekiranya masih tidak berhasil dan isteri mula berkelakuan nusyuz, maka suami hendaklah memisahkan mereka di tempat tidur atau tidak menyetubuhi isteri. Ini adalah cara yang lebih berkesan dan tegas untuk menyedarkan isteri supaya dia memahami bahawa apa yang dilakukannya itu adalah salah. Namun begitu, suami tidak boleh meminggirkan isterinya tanpa bercakap dengannya hingga melebihi tiga hari. Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansori, Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ
“Tidak harus bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih daripada tiga malam.” [Riwayat Muslim (2560)]

Sekiranya isteri sudah kembali mentaati suami dengan cara berpisah tempat tidur, maka suami tidak boleh memukul isterinya itu.

3. Memukul isteri dengan pukulan yang tidak bersangatan (وَاضْرِبُوهُنَّ)

Jika isteri benar-benar tidak mentaati suaminya dan terus nusyuz, suami boleh memukulnya dengan pukulan yang tidak melukakan atau tidak membahayakan tubuh badan isteri.

Syarat pukulan dengan tujuan mendidik:

  • Tidak memukul bahagian wajah dan kepala untuk menjaga kemuliaannya, serta kawasan yang lemah atau kawasan yang berkaitan dengan kecantikan seperti perut atau dada kerana dikhuatiri akan menyebabkan kecacatan atau kematian.
  • Tidak memukul mengunakan alatan yang keras dan berbahaya seperti tongkat.
  • Mengetahui bahawa pukulan itu akan menyedarkan isteri tentang kesalahannya. Sekiranya dengan pukulan menambahkan lagi kebencian isteri, maka suami tidak sepatutnya melakukannya. Maka, lebih baik suami memberi ugutan sahaja.

Suami perlu berusaha untuk memukul seringan mungkin kerana tujuan memukul ialah untuk menasihati dan memberi pengajaran. Menurut Imam al-Shafi’e, jika isteri cedera atau meninggal dunia disebabkan pukulan tersebut, maka suami perlu membayar ganti rugi kerana seseorang boleh menggunakan haknya (hak mendidik) dengan syarat terjamin keselamatan orang lain. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah. Hal ini kerana tujuan memukul ialah mendidik, bukan menyakiti atau membahayakan. [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’e 4/93, Badaai’ al-Sonaai’ 7/305]

4. Saranan mengirim dua orang pendamai (hakim)

Firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِنْ أَهْلِهَا إِنْ يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik.” (Surah al-Nisaa’: 35)

Sekiranya dengan memukul isteri dengan pukulan yang ringan tidak menyedarkan isteri malah bertambah perselisihan antara suami dan isteri, maka perkara ini hendaklah dibawa kepada qadhi untuk diadakan dua orang wakil pendamai kepada mereka berdua. Disyaratkan pendamai tersebut seorang Muslim, mukallaf (baligh dan berakal), adil dan mengetahui cara-cara untuk memeperbaiki hubungan suami dan isteri. Lebih afdhal sekiranya seorang pendamai daripada ahli keluarga suami, dan seorang lagi daripada ahli keluarga isteri. Kedua-dua pendamai tersebut akan menjadi wakil kepada suami dan isteri, serta menyelidiki sebab-sebab perselisihan dan berusaha untuk menyelesaikannya sama ada dengan perdamaian atau perpisahan. [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’e 4/93 dan al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 9/6854-6857]

Berdasarkan Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 48 (Timbang tara oleh Hakam) telah menyebutkan:

(1) “Jika mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, mahkamah boleh melantik, mengikut hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

(2) Dalam melantik Hakam di bawah subseksyen (1) mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang mengetahui akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberi arahan kepada Hakam mengenai penjalanan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan itu dan hukum Syarak.”

Tatacara pensabitan nusyuz

Berdasarkan nas serta pandangan para ulama’, maka kami berpendapat bahawa sabitan nusyuz hendaklah diputuskan oleh mahkamah dan bukan sewenang-wenangnya oleh suami serta mengikut pemerhatiannya sahaja. Hal ini kerana dibimbangi berlaku ketidakadilan dan bermudah-mudahan dalam mensabitkan nusyuz isteri tanpa asas yang kuat dan kukuh. Sebaiknya aduan dikemukakan kepada mahkamah berserta bukti kerana sifat mahkamah adalah ilzam dan menolak sebarang khilaf. Benarlah kenyataan kaedah:

حكم الحاكم يرفع الخلاف
“Keputusan hakim dapat menolak sebarang kekhilafan.”

Suami hendaklah merujuk permasalahan nusyuz isteri di mahkamah syariah dengan mengikut prosedur undang-undang yang betul. Walau bagaimanapun, suami juga perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna kepada isterinya seperti menyediakan keperluan isteri selagi mana isteri tidak disabitkan nusyuz oleh mahkamah.

Berdasarkan Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 59 (Kuasa mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan kesan nusyuz) telah menyebutkan:

(1) “Tertakluk kepada hukum Syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

(2) Tertakluk kepada hukum Syarak dan pengesahan mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain-
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum Syarak.

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Selain itu, antara tindakan lain yang boleh diambil oleh suami ialah mendapatkan sesi rundingcara atau nasihat daripada Jabatan Agama Islam di negeri atau wilayah masing-masing, seperti di Unit Rundingcara Keluarga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Penutup

Tuntasnya, Islam telah menggariskan pelbagai hukum dan adab dalam kehidupan berumah tangga untuk mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian di antara suami dan isteri. Dalam isu permasalahan nusyuz ini, Allah telah mensyariatkan kepada suami untuk mendidik isterinya dengan adab-adab dan cara-cara yang dibenarkan oleh syarak. Malahan, suami juga perlu jelas dan faham bahawa untuk mensabitkan nusyuz kepada isteri bukanlah boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan ia memerlukan prosedur dan pembuktian di mahkamah. Hal ini bertujuan untuk menghalang daripada sebarang penganiayaan dan kezaliman terhadap isteri.

Dan apabila isteri telah kembali melaksanakan kewajipannya dengan mentati suami seperti mana yang diwajibkan serta menjaga tingkah-laku sebagai isteri bertepatan dengan syarak, suami tidak boleh menzalimi isterinya atau mendatangkan sebarang mudharat ke atasnya.

Firman Allah SWT:

فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا
“Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” (Surah al-Nisaa’: 34)

Namun sekiranya jalan perpisahan itu yang terbaik, maka hendaklah perpisahan tersebut dilakukan dengan ihsan (cara yang baik) mengikut garis panduan yang betul dalam menjaga maslahah dan mengelak berlakunya mudharat kepada pasangan masing-masing seperti firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
“Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.” (Surah al-Baqarah: 229)

Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita kebaikan dan kefahaman serta jalan penyelesaian yang terbaik dalam urusan kehidupan kita. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.