Terkena Percikan Air Yang Diragui Kesuciannya - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Terkena Percikan Air Yang Diragui Kesuciannya


SOALAN:
Saya suka berjalan kaki untuk ke surau taman perumahan saya yang jaraknya tidaklah terlalu jauh dari rumah saya. Ada satu hari semasa saya sedang berjalan menuju ke surau, ada satu motor terlanggar lopak air dan tidak semena-mena percikan air tu terkena baju dan seluar saya. Saya ragu-ragu sama ada air yang terpercik itu suci atau tidak. Kalau saya balik tukar baju takut terlewat nanti. Jadinya saya terus ke surau dan terus solat. Bagaimana dengan situasi saya ini ustaz? Perlukah saya ulang semula solat sebab ragu-ragu dengan kesucian air lopak yang terpercik ke pakaian saya? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Di antara syarat sah solat adalah pakaian, tempat dan badan mestilah bersih daripada najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah Al-Muddathir: 4)

Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat itu bermaksud jagalah pakaian daripada najis dan kotoran. (Rujuk Al-Tafsir Al-Munir, 29/210).

Begitu juga di dalam sebuah hadis yang diriwayatakan daripada Abu Hurairah. Beliau berkata:

أَنَّ خَوْلَةَ بِنْتَ يَسَارٍ أَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ : يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ . فَقَالَتْ : فَإِنْ لَمْ يَخْرُجِ الدَّمُ ؟ قَالَ : يَكْفِيكِ غَسْلُ الدَّمِ وَلاَ يَضُرُّكِ أَثَرُه
Khaulah binti Yasar datang bertemu dengan Nabi SAW. Beliau berkata: “Wahai Rasulullah aku tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan ada kesan haid pada pakaian tersebut. Bagaimana perlu aku lakukan?” Baginda SAW menjawab: “Jika engkau telah suci, bersihkanlah pakaian tersebut kemudian solatlah menggunakan pakaian itu.” Khaulah berkata lagi: “Jika tiada darah yang keluar?” Nabi SAW menjawab: “Cukuplah sekadar basuh darah haid dan kesannya tidak memudaratkan engkau (boleh digunakan untuk solat dan sebagainya).” [Riwayat Abu Daud (365)]

Ini menunjukkan darah tersebut jika terkena pada pakaian maka wajib untuk dibasuh dan dihilangkan najis tersebut. Jika ianya bukan najis sudah pasti Nabi SAW tidak memerintahkan sedemikian rupa.

Air yang bertakung boleh menjadi najis dan tidak suci jika terdapat di dalamnya najis dan mengubah warna, rasa dan baunya. Namun jika air yang najis tadi berubah maka ia dianggap sebagai suci. (Rujuk Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i , 1/41)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika air tersebut tidak dapat dipastikan sama ada ianya bernajis atau tidak, maka air yang terkena baju saudara dianggap sebagai suci. Ini berdasarkan kaedah:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
“Asal bagi satu hukum adalah kekal seperti mana hukum sebelumnya.”

Tambahan pula kenajisan air lopak tersebut tidak dapat dipastikan secara yakin melalui bukti-bukti. Namun, jika saudara meyakini bahawa air lopak tersebut adalah najis disebabkan ada bukti-bukti yang meyakinkan seperti melihat anjing membuang air di situ dan air tersebut terkena pada pakaian saudara, maka wajib untuk diulangi semula solat yang telah dilakukan. Ini kerana di antara syarat sah solat adalah wajib memastikan pakaian yang dipakai dan digunakan di dalam solat bersih dan suci daripada najis.

Kesimpulannya, jika tidak dapat dipastikan bahawa air lopak tersebut suci ataupun tidak, maka air yang terpercik ke pakaian saudara itu dianggap sebagai suci. Adapun jika saudara melihat secara jelas air lopak menjadi najis disebabkan beberapa faktor seperti melihat anjing kencing di situ, maka wajib untuk menggantikan solat yang telah dilakukan. Ini kerana di antara syarat sah solat adalah memastikan pakaian bersih daripada najis.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.