Hukum Mengebumikan Jenazah Bukan Di Tempat Dia Meninggal Dunia - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Mengebumikan Jenazah Bukan Di Tempat Dia Meninggal Dunia


SOALAN:
Anak bongsu saya telah meninggal dunia di Medan, Indonesia akibat demam dan jangkitan kuman. Arwah merupakan pelajar perubatan di universiti di sana. Arwah meninggal pada jam 2.30 pagi waktu Medan. Saya dan suami ada bersama arwah ketika itu. Alhamdulillah, anak saya dikebumikan pada pukul 8.30 malam hari yang sama dan semuanya berjalan lancar.

Setelah hampir dua bulan, saya menjadi sedih memikirkan bahawa saya telah menyeksa anak saya kerana tidak mempercepatkan proses pengebumian. Saya terbaca di group Whatapps mengatakan bahawa satu tindakan yang jahil sekiranya tidak mengebumikan jenazah yang meninggal dunia di luar negara di tempat dia meninggal. Ketika di Medan, kami tidak terfikir untuk mengebumikan arwah di sana. Soalan saya, adakah saya berdosa terhadap jenazah anak saya tersebut?

JAWAPAN
Terlebih dahulu kami mengucapkan takziah kepada puan yang bertanya di atas kematian anak bongsu beliau ketika sedang berjihad menuntut ilmu yang bermanfaat iaitu ilmu perubatan di Medan, Indonesia. Semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan soleh. Sesungguhnya ia merupakan satu kematian yang baik (husnul khatimah) kerana mati di jalan Allah SWT, sepertimana diriwayatkan di dalam satu hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن خرَج في طلبِ العلمِ كان في سبيلِ اللهِ حتى يَرجِعَ
“Barangsiapa yang keluar bagi menuntut ilmu, sesungguhnya dia keluar berjihad pada jalan Allah SWT sehinggalah dia kembali semula ke rumahnya.” [Riwayat al-Tirmidzi: (2347)]


Bagi menjawab persoalan di atas, kami menukilkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW menyuruh supaya disegerakan urusan berkaitan pengebumian jenazah dengan bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ ، فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا إِلَيْهِ ، وَإِنْ تَكُ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
“Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan dia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.” [Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)]


Syeikh ‘Ilisy al-Maliki menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan, namun tanpa tergopoh-gapah. Bahkan, makruh hukumnya jika dengan kelajuan yang menyukarkan untuk orang lain untuk mengikutinya. (Rujuk Fatawa Syeikh Ilisy, 1:155)

Walau bagaimanapun, diharuskan dan dibolehkan untuk menangguhnya jika mempunyai sebab yang kuat dan maslahah yang lebih besar, antaranya ialah:

1. Jika sekiranya terdapat syak tentang kematiannya seperti seseorang mati disebabkan oleh lemas, penyakit berkaitan perut, kematian mengejut dan seumpamanya, yang masih berkemungkinan untuk hidup. Hal ini seperti disebut di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

اتَّفَقَ الفقهاء عَلَى أَنَّهُ إِن تَيَقَّن المَوْتَ يبادر إِلَى التَجْهِيز وَلَا يُؤَخَّر... فَإِنْ مَاتَ فَجْأَةً تَرَكَ حَتَّى يتيقن مَوْتَه
“Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa jika sekiranya diyakini kematian seseorang tersebut, maka hendaklah bersegera untuk menyiapkan pengebumiannya dan tidak boleh sengaja dilambat-lambatkan. Jika sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan mengejut, maka hendaklah dibiarkan terlebih dahulu sehinggalah diyakini kematiannya.” (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16:7)

2. Menunggu supaya dapat disembahyangkan oleh jemaah yang lebih ramai. Dibolehkan untuk menangguhkan pengebumian seperti contohnya seseorang yang mati di awal pagi jumaat ditangguhkan sehingga selepas solat Jumaat untuk mendapatkan jumlah jemaah yang ramai. Hal ini kerana jenazah yang disembahyangkan oleh jemaah yang ramai akan dapat memberikan syafaat kepada si mati, lebih-lebih lagi jika disertai oleh ramai orang-orang yang soleh dan beriman. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ أَنْ يَكُونُوا مِائَةً يَشْفَعُونَ إِلَّا شُفِّعُوا فِيهِ
“Tidak ada seorang Muslim yang meninggal dunia kemudian disembahyangkan oleh seratus orang dalam kalangan orang Islam dengan meminta supaya diberikan syafaat kepada si mati kecuali pasti akan diberikan syafaat kepadanya.” [Riwayat Muslim: (947)]


3. Menunggu kedatangan ahli waris untuk melihat jenazah buat kali terakhir selama mana tidak terlalu lama. Hal ini seperti disebutkan di dalam kitab Faydh al-Qadir:

يَنْبَغِي انْتِظَارِ الوَلِيِّ إِنْ لَمْ يَخَفْ تَغَيًّرُهُ
“Hendaklah menunggu walinya (untuk melihat jenazah) selagimana tidak dikhuatiri perubahan berlaku pada mayat.” (Rujuk Faydh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 3:377)

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa menangguh pengebumian adalah diharuskan jika sekiranya terdapat sebab yang munasabah dan bahkan dituntut jika terdapat maslahah yang lebih besar apabila menangguhnya pada kadar yang tidak terlalu lama.

Disamping itu, para ulama’ juga menyatakan bahawa adalah disunatkan untuk mengebumikan jenazah di tempat dia meninggal dunia. Antaranya ialah apa yang disebut oleh Syeikh Abu Bakr al-Mundzir al-Naisabur:

يُستحبُّ أن يُدفنَ الْميِّتُ في البلدِ الذي تُوفِّيَ فيه، على هذا كانَ الأمرُ على عهدِ رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم، وعليه عَوامُّ أهلِ العلمِ، وكذلكَ تفعلُ العامَّةُ في عامَّةِ البلدانِ
“Disunatkan untuk dikebumikan jenazah di negeri yang dia meninggal dunia padanya. Dan begitulah hal keadaannya pada zaman Rasulullah SAW, dalam kalangan ahli ilmu dan juga kebiasaan orang awam.” (Rujuk al-Awsat fi al-Sunan, al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 5:464)

Walau bagaimanapun, diharuskan untuk memindahkan jenazah untuk dikebumikan di tempat lain selagimana mempunyai sebab dan maslahah yang kuat dan tidak mengambil masa yang lama sehingga menjangkau waktu yang lama, seperti dua atau tiga hari sebagai contoh. Jika mengambil masa terlalu lama, maka hukumnya adalah makruh. Ini sepertimana disebutkan Imam Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari dengan berkata:

اختلف فِي جَوَازِ نَقْلِ المَيِّتِ مِن بَلَدٍ إِلَى بَلَد فَقِيلَ يُكْرَه، لِمَا فِيهِ مِن تَأْخِيرِ دَفْنِهِ وتعريضه لهتك حرمته وَقِيلَ يُسْتَحَبُّ كَمَا نَصَّ الشافعي على استحباب نقل المَيِّتِ إِلَى الأرْضِ الفَاضِلَةِ كَمَكَّة وَغَيْرِهَا
“Para ulama’ berbeza pendapat berkaitan keharusan memindahkan urusan pengebumian jenazah daripada stu tempat ke satu tempat yang lain. Ada yang mengatakan hukumnya makruh kerana ia melambatkan proses pengebumiannya dan mendedahkan jenazah kepada perkara yang mungkin mencemarkan kehormatannya. Ada pula yang mengatakan ia disunatkan.. sepertimana dinukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa sunat memindahkan jenazah ke tempat yang mulia seperti Mekah dan seumpamanya.” (Rujuk Fath al-Bari, 4:117)

Begitu juga, disebut di dalam kitabnya ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud:

قَالَ العيني: وَأَمَّا نَقْلُ المَيِّتِ مِن مَوْضِعٍ إِلَى مَوْضِعٍ فَكَرِهَهُ جَمَاعَةٌ وَجَوَّزَهُ آخَرُونَ, وقال المازري: ظَاهِرُ مَذْهَبنَا جَوَازُ نَقْلِ المَيِّتِ مِن بَلَدٍ إِلَى بَلَدٍ، وقد مات سعد بن أبي وقاص وسعيد بن زيد بالعقيق ودُفِنَا بِالمَدِينَةِ
Berkata Imam al-Aini: “Adapun memindahkan jenazah daripada satu tempat ke tempat yang lain, sebahagian ulama’ mengatakan ia makruh dan sebahagian lagi mengatakan ianya diharuskan.” Al-Maziriy berkata: “Apa yang zahir bagi mazhab kami ialah harus untuk memindahkan jenazah daripada satu negeri ke negeri yang lain. Contohnya Saad Ibn Abi Waqas dan Sa’id Ibn Zaid telah meninggal dunia di al-‘Aqiq, namun kemudiannya mereka disemadikan di Madinah.” (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 5:59)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan situasi di dalam soalan di atas, kami menyimpulkan bahawa dibolehkan dan harus hukumnya untuk mengebumikan jenazah bukan di tempat dia meninggal dunia dan melewatkan sedikit urusan pengebumian jenazah selagimana mempunyai sebab yang kuat, mashlahah yang lebih besar dan tidak mengambil masa terlalu lama sehingga memudaratkan jenazah.

Justeru itu, apa yang telah dilakukan puan yang bertanya bukanlah satu perbuatan yang berdosa dan ia tidak menyakiti si mati, bahkan ia demi kebaikan si mati dan para warisnya juga. Apatah lagi, proses tersebut tidak mengambil masa yang begitu lama untuk mengebumikan jenazah di tanah air, maka ia tidak makruh dan tidak pula berdosa.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Ameen.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.