Hukum Menempatkan Isteri-Isteri Dalam Satu Rumah - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Menempatkan Isteri-Isteri Dalam Satu Rumah


SOALAN:
Bolehkah menempatkan isteri-isteri di dalam sebuah rumah?

JAWAPAN:
Pada asasnya, jika seseorang isteri meletakkan syarat agar tidak ditempatkan bersama madunya yang lain, maka suami wajib memenuhi syarat tersebut. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir, Nabi SAW bersabda:

أَحَقُّ الشُّرُوطِ أَنْ تُوفُوا به ما اسْتَحْلَلْتُمْ به الفُرُوجَ
“Syarat-syarat yang paling berhak untuk kamu semua penuhi adalah syarat yang menghalalkan faraj (iaitu dalam perkahwinan).” [Riwayat al-Bukhari (2721) dan Muslim (3537)]


Berkenaan menghimpunkan isteri-isteri di dalam sebuah rumah, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Wasit menyatakan: “Adapun daripada sudut tempat tinggal, tidak boleh mengumpulkan dua orang isteri dalam satu tempat tinggal kecuali jika tempat tinggal itu terpisah (kelengkapan keperluan dan sebagainya). Sesungguhnya hal itu jelas kemudaratannya.” (Lihat al-Wasit fi al-Mazhab, 5/290)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari pula menyebut: “Yang dimaksudkan dengan tempat tinggal iaitulah yang bersesuaian dengan wanita (isteri) terdiri dari rumah dan bilik, rumah yang bersesuaian bagi setiap isteri adalah yang tidak dihimpunkan mereka dalam satu rumah. Bilik yang bersesuaian dengan mereka iaitu bilik yang tidak dihimpunkan semua mereka di dalamnya dan demikianlah, jika dihimpunkan semua mereka di dalam satu bilik, maka mestilah setiap orang memiliki kelengkapan-kelengkapannya yang tersendiri.” (Lihat Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 15/233)

Begitu juga beliau menyatakan: “Menghimpunkan dua orang isteri dalam satu rumah yang bersesuaian dengan mereka berdua, (hendaklah) memiliki kelengkapan keperluan yang berasingan seperti tandas, bilik air, dinding laluan masuknya sehingga seolah-olah menjadi dua rumah. Jika tidak dipisahkan kelengkapan-kelengkapan keperluan rumah, tidak boleh dihimpunkan mereka, sekalipun untuk satu malam melainkan dengan kerelaan mereka.” (Lihat Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 15/233)

Ibn Qudamah al-Maqdisi pula menyebut: “Tidak boleh seorang suami mengumpulkan dua orang isterinya dalam satu tempat tinggal tanpa keredhaan mereka berdua, tidak kira sama ada tempat tinggal itu kecil atau besar. Ini kerana hal itu akan menimbulkan kemudharatan kepada mereka berdua disebabkan permusuhan dan rasa cemburu kedua-dua isteri itu.

Mengumpulkan mereka berdua dalam satu tempat tinggal akan menimbulkan permusuhan dan pergaduhan. Setiap isteri itu akan dapat mendengar apabila si suami mendatangi isteri yang lain, atau dia akan melihat hal itu. Seandainya kedua-dua isteri itu redha, maka menempatkan mereka dalam satu tempat tinggal adalah dibenarkan kerana itu adalah hak mereka berdua.” (Lihat al-Mughni, 7/300)

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, pada asalnya menjadi tanggungjawab suami untuk mengasingkan tempat tinggal bagi isterinya. Malah isteri berhak meletakkan syarat supaya tidak ditempatkan bersama madunya yang lain kerana tempat tinggal termasuk dalam hak isteri.

Walau bagaimanapun, dibolehkan menempatkan isteri-isteri di dalam sebuah rumah dengan syarat ia hendaklah mempunyai kelengkapan-kelengkapan tersendiri bagi setiap isteri seperti bilik tidur, bilik mandi dan yang seumpamanya yang terpisah antara mereka. Dan sebaiknya ini dilakukan dengan kerelaan semua isteri.

Namun begitu, kami syorkan hendaklah kita jadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah di mana baginda SAW mengasingkan antara isteri-isteri Baginda seperti yang disebut surah al-Hujurat yang memberi maksud bilik-bilik atau rumah-rumah yang berasingan untuk Ummahat al-Mukminin.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.