Hukum Menanam Bangkai Haiwan - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Menanam Bangkai Haiwan


SOALAN:
Apakah hukum menanam bangkai haiwan? Adakah hukum pengurusannya sama seperti jenazah manusia atau bagaimana? Mohon penjelasan.

JAWAPAN:
Pada dasarnya, tiada hukum khas dalam menguruskan bangkai haiwan sebagaimana hal ehwal mengurus jenazah manusia sama ada dalam urusan mandi, pengkafanan mahupun pengkebumian.

Tidak terdapat sebarang nas di dalam al-Quran ataupun hadith Rasulullah SAW yang menyatakan dengan jelas mengenainya. Akan tetapi, perkara ini boleh dikaitkan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW, Ibn ‘Abbas berkata:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: تُصُدِّقَ عَلَى مَوْلَاةٍ لِمَيْمُونَةَ بِشَاةٍ فَمَاتَتْ فَمَرَّ بِهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «هَلَّا أَخَذْتُمْ إِهَابَهَا فَدَبَغْتُمُوهُ فَانْتَفَعْتُمْ بِهِ؟» فَقَالُوا: إِنَّهَا مَيْتَةٌ فَقَالَ: «إِنَّمَا حَرُمَ أَكْلُهَا»
“Hamba milik Maimunah R.A pernah diberi sedekah seekor kambing, kemudian kambing tersebut mati. Ketika Rasulullah SAW melintasi dan melihatnya, beliau bersabda: “Kenapa tidak engkau ambil kulitnya kemudian engkau samak sehingga dapat memanfaatkannya?” Mereka berkata: “Ia telah menjadi bangkai.” Beliau menjawab: “Sesungguhnya yang dilarang adalah memakannya.” [Riwayat al-Bukhari (1492), Muslim (363)]


Melalui hadith ini, dapat kita fahami bahawa Baginda SAW tidak mengarahkan agar ditanam terus bangkai binatang tersebut namun Baginda SAW menyuruh dan menyarankan para sahabat agar mengambil faedah atau manfaat dari bangkai binatang tersebut. Lantas, pengajaran yang boleh diambil dari kisah dan juga hadis ini adalah tidak disyariatkan bangkai haiwan tersebut ditanam, kerana jika ia disyariatkan, maka sudah semestinya Baginda SAW akan mengarahkan atau menyuruh para sahabat Baginda SAW menanam bangkai tersebut dengan segera, kerana sifat seorang Rasul ialah menyampaikan dan tidak akan berdiam diri jika ada kebatilan atau kemungkaran yang berlaku di hadapan matanya.

Firman Allah SWT:

﴾يَاأَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ﴿
“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu.” (Surah al-Ma’idah: 67)


Tuntasnya, Islam tidak mensyariatkan kewajipan ke atas perbuatan menanam bangkai haiwan, bahkan ia hanyalah bersifat harus dan boleh dibiarkan begitu sahaja bangkai tersebut tanpa ditanam.

Namun begitu, kepentingan dalam perkara ini turut berbalik kepada manfaat ke atas manusia jua iaitu jika bangkai haiwan tersebut dibiarkan dan tidak ditanam, maka akan mendatangkan kemudharatan terhadap manusia dan juga makhluk-makhluk lain di sekelilingnya. Seperti sedia maklum, bangkai haiwan yang tidak ditanam akan mereput dan menyebarkan kuman-kuman seperti bakteria ataupun virus yang boleh memberikan pelbagai jenis penyakit kepada manusia, selain ia juga mendatangkan bau dan pemandangan yang kurang menyenangkan, apatah lagi jika ia dibiarkan di kawasan orang ramai seperti di masjid, taman perumahan dan sebagainya. Maka, perkara-perkara ini adalah kemudharatan yang mestilah diangkat dan dijauhkan dari diri manusia.

Sehubungan dengan itu, hukum menanam bangkai haiwan tersebut jatuh kepada hukum wajib. Maka, perlulah ditanam haiwan tersebut atau dikebumikannya dengan baik. Perkara ini turut berkait dengan salah satu kaedah usul Fiqh iaitu سد الذرائع (menutup jalan yang membawa kepada kemudharatan atau kerosakan). [Lihat: al-Furuq; 2/32]

Maka, disyariatkan agar ditanam bangkai haiwan atas sebab menghilangkan kemudharatan ke atas manusia dan bukannya semata-mata kerana kematiannya.

Menurut Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, apabila ditanya berkenaan haiwan yang telah menjadi bangkai, adakah perlu dikebumikan atau dibiarkan sahaja di atas muka bumi. Mereka menjawab:

"الأمر في ذلك واسع؛ لأنه لم يرد في الشرع نص يدل على مشروعية دفنها، ولا على النهي عن ذلك، والأولى دفنها لئلا يتأذى بها أحد".
“Urusan berkenaan perkara tersebut (menanam bangkai haiwan) adalah luas, kerana tidak terdapat dalam nas sebarang dalil yang menunjukkan pensyariatan mengebumikannya (bangkai haiwan), dan juga tiada sebarang tegahan mahupun larangan terhadapnya, namun yang lebih utama ialah kebumikannya supaya ia tidak memberikan kemudharatan kepada sesiapa.” [Lihat: Fatawa al-Lajnah al-Da’imah; 8/443,444 (5409)]

Penutup

Kesimpulannya, hukum menanam binatang adalah wajib sekiranya mengganggu umat manusia atau memberikan kemudharatan terhadap manusia, dan tidak wajib berbuat demikian jika ianya tidak memberikan kemudharatan. Akan tetapi, yang lebih baik di sini adalah ditanam bangkai haiwan tersebut agar boleh mengangkat segala jenis kemudharatan darinya dan juga menyenangkan pandangan dan juga laluan orang lain yang melalui kawasan bangkai tersebut. Dari Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

"الإِيمانُ بضْعٌ وسَبْعُونَ، أوْ بضْعٌ وسِتُّونَ، شُعْبَةً، فأفْضَلُها قَوْلُ لا إلَهَ إلّا اللَّهُ، وأَدْناها إماطَةُ الأذى عَنِ الطَّرِيقِ، والْحَياءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإيمانِ"
“Iman itu ada tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama adalah perkataan لاَ إِلَهَ إِلا اللَّهُ (Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan-ganguan yang menyakitkan di jalanan. Sifat malu adalah sebahagian daripada iman.” [Riwayat al-Bukhari (9), Muslim (35)]


Akhir kalam, moga Allah SWT menetapkan keimanan dalam diri kita dengan taufik dan hidayah-Nya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam menuntut ilmu serta memberikan kita kemudahan dalam segala urusan. Moga Allah SWT menerima segala amal kebajikan kita.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.