Dibentangkan Selawat Kepada Rasulullah ‎SAW Pada Setiap Hari Jumaat - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Dibentangkan Selawat Kepada Rasulullah ‎SAW Pada Setiap Hari Jumaat


SOALAN:
Apakah benar selawat yang kita baca akan dibentangkan kepada Rasulullah SAW pada setiap hari Jumaat?

JAWAPAN:
Selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama ini. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
“Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]


Berdasarkan soalan di atas, terdapat satu riwayat di dalam al-Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi bahawa akan dibentangkan setiap selawat daripada umat Nabi Muhammad SAW kepada Baginda SAW pada setiap hari Jumaat.

Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
“Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]


Berikut adalah teks hadith yang menceritakan berkaitan selawat yang dibaca akan dibentangkan kepada Nabi SAW pada setiap hari Jumaat. Adapun berkaitan penilaian riwayat atau hadith ini, para ulama’ berbeza pandangan. Di sini kami nukilkan beberapa penilaian para ulama’ berkaitan hadith ini:

• Imam al-Baihaqi mengatakan hadith ini diriwayatkan dengan lafaz-lafaz yang berbeza-beza daripada Anas bin Malik RA. Akan tetapi, kesemuanya membawa kepada galakan (memberi semangat) untuk berselawat ke atas Nabi SAW malam Jumaat dan hari Jumaat. Tambahan pula, sebahagian sanadnya adalah dhaif dan apa yang telah kami sebutkan telah cukup. [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 3/353]

• Imam al-Sakhawi menilai sanad hadith ini adalah hasan walaupun jumhur ulama’ menyatakan bahawa Makhul tidak pernah bertemu Abu Umamah R.A. [Lihat: al-Qaul al-Badi’, 233]

• Imam al-Suyuthi menilai sanad hadith daripada riwayat yang dinukilkan oleh al-Baihaqi adalah hasan. [Lihat: al-Khasais al-Kubra, 2/457]

• Imam al-‘Ajlouni menghukum sanad hadith ini adalah jayyid (baik). [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 1/190]

• Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan. [Lihat: Tuhfah al-Zakirin, 50]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada hadith ini adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh para ulama’ di atas. Selain itu, Imam al-Syaukani hadith ini menjadi dalil bahawa setiap selawat yang dibaca oleh hamba-hamba Allah akan dibentang di hadapan Nabi SAW pada setiap hari Jumaat. [Lihat: Tuhfah al-Zakirin, 50]

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah hasan dan ia merupakan dalil yang jelas bahawa setiap selawat yang dibaca oleh umat Nabi Muhammad SAW akan dibentang di hadapan Baginda SAW pada setiap hari Jumaat. Justeru, marilah kita memperbanyakkan berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzab: 56)


Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu.” [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511]

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan pencinta Nabi SAW serta menghimpunkan kita bersama Nabi SAW di dalam Syurga kelak. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.