Amalan Perlindungan ‘Memagar Rumah’ - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Amalan Perlindungan ‘Memagar Rumah’


SOALAN:
Saya ingin bertanya tentang amalan perlindungan seperti ‘memagar’ rumah. Adakah ia dibenarkan atau tidak?

JAWAPAN:
Dalam hal melindungi diri dan rumah daripada gangguan makhluk halus ini, Nabi SAW telah mengajar kita beberapa panduan yang boleh diamalkan. Antaranya adalah dengan membacakan surah al-Baqarah dan ayat al-Kursi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” [Riwayat Muslim (780) dan al-Nasa’ie (10735)]

Menurut Ibnu Mas’ud R.A pula, kata beliau:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ
“Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.” [Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir (8642) dan al-Darimi (3422)]

Dalam sebuah hadis riwayat daripada Ubai ibn Ka'ab, bahawa beliau mempunyai tempat pengeringan kurma yang di dalamnya berisi kurma yang sedang dijaganya. Beliau kemudian mendapati kurma tersebut berkurangan. Tiba-tiba terdapat seekor binatang sebesar anak yang baru baligh. Dia berkata padanya: “Apakah engkau jin atau manusia?” Dia menjawab: “Aku adalah jin.”

Dalam riwayat ini jin tersebut mengatakan padanya: “Telah sampai berita kepada kami bahawa engkau suka bersedekah. Maka aku ingin mendapat sebahagian daripada makanan yang engkau hendak sedekahkan itu.” Lalu Ubai bin Ka’ab bertanya:

فَمَا الَّذِي يُجِيرُنَا مِنْكُمْ؟ قَالَ : هَذِهِ الآيَةُ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ، ثُمَّ غَدَا أُبَيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَدَقَ الْخَبِيثُ
“Apakah yang dapat melindungi kami daripada gangguanmu?” Jin tersebut berkata: “Ayat ini, iaitu ayat Kursi.” Keesokan harinya, Ubai menceritakan apa yang dikatakan oleh jin tersebut kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW bersabda: “Jin itu benar.” [Riwayat al-Nasa’ie (10796)]

Nabi SAW juga mengajar kita untuk membaca doa ketika ingin masuk ke dalam rumah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ
“Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia mengingati Allah ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kamu memperoleh tempat menginap’.” [Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765)]

Almarhum Dato' Dr. Haron Din ketika mengulas berkenaan isu memagar rumah dan kediaman, menyebut: “Sebaik-baik cara bagi memagar rumah adalah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran dalam rumah itu.” (Lihat Kaedah Merawat Susuk, hlm. 48)

Selain itu, ibadah-ibadah seperti solat sunat juga perlu dilakukan juga di rumah selain daripada di masjid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا
“Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu. Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur.” [Riwayat al-Bukhari (432) dan Muslim (777)]

Apa yang dimaksudkan dengan solat di sini ialah solat sunat yang dilakukan secara sendiri. Ini sepertimana disebut dalam hadis daripada Zaid bin Thabit R.A, Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ
“Sesungguhnya sebaik-baik solat bagi seseorang adalah di rumahnya, kecuali solat fardhu.” [Riwayat al-Bukhari (7290) dan Muslim (1861)]

Oleh itu, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dan tempat tinggal dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: “Iaitu kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

Penutup

Sebagai kesimpulan, Islam membenarkan memagar rumah selagi mana dengan dibacakan ayat-ayat ruqyah daripada al-Quran dan sebagainya yang boleh menjadi pendinding daripada gangguan syaitan.

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas bahawa perlindungan diri dan tempat tinggal boleh dilakukan dengan mengamalkan ayat-ayat seperti surah al-Baqarah dan ayat Kursi sepertimana disebut dalam hadis Nabi SAW.

Oleh itu ajaklah ahli keluarga untuk melazimi membaca al-Quran setiap hari serta mengamalkan zikir-zikir yang ma’thur seperti himpunan zikir al-Ma’thurat, Hisnul Muslim dan sebagainya. Mudah-mudahan ia dapat menjadi pelindung diri kita dan ahli keluarga kita daripada sebarang gangguan.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.