Adakah Khulu’ (Tebus Talak) Mengurangkan Bilangan Talak? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Adakah Khulu’ (Tebus Talak) Mengurangkan Bilangan Talak?


SOALAN:
Jika isteri telah ditalak dua, kemudian rujuk semula, setelah itu mereka bercerai pula dengan cara khulu’, tetapi setelah beberapa tahun mereka ingin bersama semula. Apakah hukumnya? Masihkah boleh bersama? Atau telah jatuh talak ketiga?

JAWAPAN:
Khulu’ dari segi bahasa bermaksud menanggal, mencabut atau melepaskan. Takrif khulu’ ialah perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. [Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji 4/127]

Imam al-Syafie mengatakan bahawa khulu’ ialah talak ba’in yang mengurangkan bilangan talak. Hal ini kerana, ayat yang berkaitan dengan khulu’ terletak di antara dua ayat talak. Maka ia menunjukkan bahawa khulu’ berkait dan termasuk dalam jenis talak.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ
“Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa -mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain.” (Surah al-Baqarah: 229-230)

Maka, sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 4/202]

Apabila penceraian secara khulu’ atau tebus talak berlaku, maka perkahwinan tersebut terputus sama sekali (talak ba’in sughra). Talak ba’in sughra ini tidak boleh dirujuk sama ada khulu’ berlaku sebelum atau selepas persetubuhan kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru.

Ulama’ Hanafiyah, Malikiyah, pendapat yang rajih di kalangan ulama’ Syafi’eyah, dan satu riwayat daripada Imam Ahmad berpendapat bahawa khulu’ jatuh talak bain sughra walaupun tanpa bayaran gantian atau niat talak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ
“Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa -mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).” (Surah al-Baqarah: 229)

Dan yang dimaksudkan dengan ‘menebus diri’ (الفداء) apabila isteri keluar daripada kekuasaan suami dan suami tiada hak untuk merujuk isterinya semula. Hal ini kerana isteri meminta penceraian secara khulu’ untuk mengelakkan kemudaratan yang berlaku kepada dirinya. Sekiranya khulu’ tidak jatuh talak ba’in, maka tidak tercapai tujuan khulu’ tersebut.

Namun, Imam Ahmad dalam satu riwayatnya mengatakan bahawa khulu’ adalah fasakh yang tidak mengurangkan bilangan talak. [Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 9/7035 dan al-Mughni 7/328]

Kesimpulan

Tuntasnya, khulu’ ialah talak ba’in sughra yang mengurangkan bilangan talak. Sekiranya berlaku khulu’ untuk pertama kali, maka suami itu berkurang talak satu, dan berbaki talak dua dan tiga. Isteri yang bercerai dengan suaminya secara khulu’ dianggap ajnabi (orang asing) dengan suaminya. Suami juga tidak mempunyai hak untuk merujuk isterinya seperti dalam talak raj’ie kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru.

Oleh itu, berbalik kepada persoalan, sekiranya seorang lelaki telah menceraikan isterinya dengan talak dua kemudian rujuk semula, setelah itu bercerai dengan cara khulu’, maka haram ke atas lelaki tersebut untuk merujuk isterinya. Hal ini kerana dia dianggap telah menceraikan isterinya dengan talak tiga dan tidak boleh dirujuk dengan akad dan mas kahwin yang baru sahaja, tetapi wanita tersebut perlu berkahwin dengan lelaki yang lain sebelum berkahwin semula dengan bekas suaminya yang pertama.

Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam urusan kehidupan kita. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.