Adakah Disyaratkan Bermimpi Sebagai Jawapan Istikharah? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Adakah Disyaratkan Bermimpi Sebagai Jawapan Istikharah?


SOALAN:
Adakah disyaratkan bermimpi pilihan tertentu sebagai jawapan kepada istikharah yang telah saya lakukan?

JAWAPAN:
Istikharah merupakan satu cara untuk memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Allah SWT menggalakkan hamba-Nya untuk memohon petunjuk kepada-Nya dalam menentukan pilihan-pilihan yang harus dipilih olehnya. Allah SWT berfirman:

وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ
“Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Baqarah: 45)

Hukum istikharah adalah sunat dengan ijma’ para ulama’, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Sayyidina Jabir R.A:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُنَا الاسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ يَقُولُ : إذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ
“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajarkan kami tentang istikharah pada semua perkara sepertimana yang Baginda SAW ajarkan kami tentang surah-surah di dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang itu berasa ragu dalam suatu urusan, maka rukuklah (solatlah) sebanyak dua rakaat yang sunat dan bukan wajib. Kemudian berdoalah dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ , وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk-Mu menurut pengetahuan-Mu, dan aku memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon dari kelebihan-Mu Yang Maha Agung, kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Berkuasa dan aku tidak berkuasa. Dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan aku tidak mengetahui. Dan Engkaulah Tuhan Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib.”

اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ : عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ
“Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa urusan ini baik untukku, pada agamaku, pada kehidupanku dan pada pengakhiran urusanku ini, maka tentukanlah ia dan mudahkanlah ia untukku, kemudian berkatilah untukku padanya.”

اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ : عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ , فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ ارْضِنِي بِهِ
“Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa urusan ini buruk untukku, pada agamaku, pada kehidupanku dan pada pengakhiran urusanku, maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku darinya, dan tentukanlah untukku kebaikan di mana sahaja ia berada, kemudian jadikanlah aku redha dengannya.” [Riwayat al-Bukhari (1166)]

Selain itu, perlu diingatkan juga bahawa istikharah dilakukan bukan untuk memilih perkara ketaatan atau maksiat, halal atau haram, afdhal atau kurang afdhal namun ia untuk memilih dua perkara yang sukar dipilih kerana sama kedudukan dan kebaikannya. Apabila seseorang telah melakukan istikharah, maka Allah SWT akan memberikan taufiq dan hidayah kepada orang yang melaksanakannya untuk menyempurnakan urusannya dengan sebaik mungkin.

Walau bagaimanapun, telah menjadi kepercayaan masyarakat kita bahawa jawapan istikharah yang dilakukan oleh seseorang mestilah datang dalam bentuk mimpi ketika dia tidur. Hal ini seperti yang didakwa banyak pihak apabila melihat salah satu pilihannya di dalam mimpi, lalu mereka memilih berdasarkan mimpinya tersebut. Namun sebenarnya perkara tersebut tiada sandaran di dalam syarak dan tidak disyaratkan jawapan tersebut melalui mimpi sahaja.

Bahkan, para ulama’ menyatakan bahawa antara petunjuk yang diberikan Allah SWT kepada orang yang melaksanakan istikharah ialah dengan apa yang dilapangkan dadanya dalam membuat keputusan. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar dengan berkata:

وَإِذَا اسْتَخَارَ مَضَى بَعْدَهَا لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ ، والله أعلم
“Dan apabila seseorang itu selesai melaksanakan istikharah, maka hendaklah dia melakukan urusannya menurut apa yang dilapangkan dadanya untuk membuat keputusan. Wallahua’lam.” (Rujuk: Al-Adzkar al-Nawawiyyah, 2:241)

Begitu juga, Imam al-Nawawi menyebutnya di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dengan berkata:

ثمَّ يَنْهَض بَعْد الاسْتِخَارَة لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ
“Kemudian hendaklah dia bangkit daripada melakukan istikharah tersebut terhadap apa yang telah dilapangkan dadanya kepadanya.” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3:546)

Walau bagaimanapun, jika masih tidak dilapangkan dada atau masih berasa ragu-ragu terhadap pilihan, maka hendaklah mengulangi istikharahnya sehingga dia merasa lapang dadanya untuk memilih. Jika sekiranya masih juga dalam keadaan yang sama, maka jika dia boleh untuk menunda membuat pilihan, maka hendaklah dia menunda, Namun, jika tidak boleh ditunda, maka hendaklah dia meneruskan urusan yang dirasakan mudah baginya. Hal ini dsebutkan oleh Ibn ‘Illan dalam kitabnya al-Futuhat al-Rabbaniyyah ‘ala al-Adzkar al-Nawawiyyah:

فَإِن لَم يَنْشَرِح صَدْرُه لشيْءٍ فَالذى يَظْهَر أَن يُكَرِّرَ الاستخارةَ بصلاتِها و دعائِها حَتَّى يَنْشَرِح صَدْره لِشَيْءٍ. وَ لَو فُرِضَ أَنَّه لَم يَنْشَرِح صَدْره لشيءٍ وَ إِن كرّر الصلاةَ فَإِن أمكنَ التأخّر أَخَّرَ و إلا شَرَعَ فِيمَا يَسَّرَ لَهُ فَإِنَّه عَلَامَةُ الإِذْن و الخَيْر إِنْ شَاءَ الله
“Jika sekiranya tidak dilapangkan dadanya untuk memilih satu pilihan, maka apa yang zahir bagi kami ialah hendaklah dia mengulangi kembali istikharahnya dengan mendirikan solat dan berdoa sehingga dilapangkan hatinya untuk membuat pilihan. Namun, jika diandaikan masih tidak dilapangkan hatinya untuk membuat pilihan walaupun selepas mengulangi solatnya, jika sekiranya dia boleh untuk menunda untuk membuat keputusan, maka hendaklah dia menundanya terlebih dahulu. Jika sekiranya tidak boleh untuk menundanya, maka hendaklah meneruskan urusan yang dipermudahkan untuknya, sesungguhnya ia merupakan tanda izin daripada Allah SWT dan kebaikan. Wallahua’lam.” (Rujuk: Al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 2:241)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa tidak disyaratkan untuk bermimpi untuk mendapat jawapan terhadap istikharah yang dilakukan, bahkan tidak memerlukan apa-apa petunjuk melainkan dengan dilapangkan dadanya dan dipermudahkan urusan.

Justeru itu, apabila seseorang telah melakukan istikharah hendaklah dia melakukan hal urusannya seperti biasa berdasarkan apa yang dilapangkan hatinya dan dimudahkan urusannya, serta tidak menunggu untuk mendapat jawapan dalam bentuk mimpi atau seumpamanya. Hal ini kerana istikharah yang dilakukan adalah untuk kita memohon pengakhiran yang baik kepada Allah SWT terhadap urusan yang kita usahakan. Sesungguhnya tidak akan menyesal dan kecewa orang yang melaksanakan istikharah dan istisyarah kepada Allah SWT berdasarkan satu hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ وَلَا نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ وَلَا عَالَ مَن اقتَصَد
“Tidak akan kecewa sesiapa yang melakukan istikharah, tidak akan menyesal orang yang meminta nasihat, dan tidak akan miskin orang yang bersederhana.” [Riwayat al-Thabrani (6:365)]

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar serta memberi taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya sebaiknya dalam kehidupan. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.