Ragu-Ragu Minyak Khinzir Terlekat Pada Tangan Atau Tidak - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Ragu-Ragu Minyak Khinzir Terlekat Pada Tangan Atau Tidak


SOALAN:
Saya telah melancong ke luar negara dan ingin makan tengahari. Saya telah pergi ke sebuah kedai yang disangkakan 'Muslim-Friendly' untuk makan, saya ingat mereka tidak menjual daging khinzir. Saya ingin mengambil makanan dan kedai tersebut jenis 'buffet'. Saya mengambil sudu untuk mengambil makanan dan terbaca notis dekat makanan tersebut yang mengatakan bahawa makanan tersebut dimasak dengan minyak khinzir. Saya cepat-cepat letakkan sudu tersebut semula. Saya sedang was was kerana saya tidak pasti terdapat kesan bau minyak dekat tangan saya atau tidak selepas menyentuh sudu tersebut. Sedangkan tidak terdapat kesan minyak khinzir tersebut di tangan saya.

Adakah saya perlu sertu barang-barang yang saya telah sentuh selepas menyentuh sudu tersebut? Dan adakah saya dimaafkan kerana tidak sertu disebabkan tidak pasti adakah minyak khinzir di tangan saya? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Umum diketahui bahawa khinzir adalah di antara haiwan yang diharamkan bukan sahaja makan bahkan mengambil manfaat daripada bahan-bahan yang diperbuat daripada khinzir pun tidak dibenarkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُۥٓ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُۥ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّـهِ بِهِ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi -kerana sesungguhnya ia adalah kotor- atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah…” (Surah Al-‘An’am: 145)

Bahkan ayat yang mengharamkan khinzir telah diulang lagi di dalam 3 tempat di dalam Al-Quran. Iaitu di dalam Surah Al-Baqarah ayat 173, Surah Al-Maidah ayat 3 dan Surah Al-Nahl ayat 115.

Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur mengulas ayat tersebut dengan begitu baik sekali. Beliau menyebut bahawa Allah menyifatkan bahawa khinzir sebagai sesuatu yang kotor. Bukan sahaja diharamkan malah ianya disifatkan sebagai sesuatu yang jijik agar ianya dijauhi oleh umat Islam. Ia juga adalah satu tegahan yang menghalang kemudaratan yang akan diperoleh jika tetap memakannya, khususnya kepada tubuh badan. Allah sebagai Maha Mengetahui apa yang buruk bagi manusia keran Dialah yang menciptakan kesemuanya. (Rujuk Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aqli Al-Jadid Min Tafsir Al-Kitab Al-Majid, 5/173)

Di antara kesalahfahaman yang berlaku adalah mengatakan bahawa Allah hanya mengharamkan daging khinzir sahaja. Adapun bahagian-bahagian yang lain maka ianya dihalalkan. Ini jelas satu kefahaman yang salah tentang ayat Allah SWT. Fakhruddin Al-Razi menyatakan bahawa apa yang diharamkan Allah itu bukan hanya daging akan tetapi termasuk juga yang diharamkan adalah keseluruhan bahagian khinzir. Di dalam ayat tersebut disebutkan daging secara khusus adalah kerana berkaitan dengan makan. (Rujuk Mafatih Al-Ghaib, 5/192)

Abu Bakar Al-Kasani, seorang ulama' bermazhab Hanafi menyebut bahawa khinzir adalah disebabkan zat khinzir itu sendiri yang disifatkan sebagai kotor dan jijik. Maka tidak boleh digunakan bulunya mahupun bahagian lain haiwan tersebut. (Rujuk Bada’i Al-Sana’i Fi Tartib Al-Syara’i, 1/63)

Ini juga adalah pandangan Ibnu Al-Qudamah Al-Maqdisi, ulama' yang bermazhab Al-Hanbali (Rujuk Al-Syarh Al-Kabir, 1/285) dan Imam Al-Nawawi, ulama yang masyhur bermazhab Syafi’i. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/446)

Ini bermakna bahawa apa sahaja bahan makanan yang diperbuat daripada mana-mana bahagian khinzir maka ianya diharamkan untuk digunakan dan dimanfaatkan termasuklah minyak khinzir yang disebut juga sebagai lard yang dibuat daripada lemak haiwan tersebut.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika ragu-ragu sama ada tangan terkena minyak tersebut ataupun tidak, ditambah pula tiada bau atau kesan yang menunjukkan minyak haiwan tersebut terkena di tangan, maka ia tidak perlu disertu. Ini adalah berdasarkan kaedah:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
“Asal (bagi suatu hukum) adalah kekalkan hukum tersebut sepertimana dia sebelumnya.”

Berdasarkan kaedah ini, jika tiada apa-apa kesan pada tangan maka ianya tidak perlu disertu.

Kami juga menasihati agar berhati-hati dan tidak gopoh dalam memilih restoran khususnya ketika di luar negara kerana seorang Muslim dituntut untuk mencari yang halal lagi suci. Telitilah dalam segala hal khususnya apabila melibatkan makanan dan minuman.

Semoga Allah memberikan kefahaman di dalam agama-Nya kepada kita semua. Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.