Impian Termakbul, Wajibkah Tunai Dua Nazar Yang Dilafazkan? - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Impian Termakbul, Wajibkah Tunai Dua Nazar Yang Dilafazkan?


SOALAN:
8 tahun yang lalu, isteri saya bernazar jika sekiranya dia mengandung, maka dia akan mengadakan kenduri kesyukuran. Pada tahun lepas beliau bernazar pula jika mengandung dan dapat anak, dia akan membawa anaknya untuk menunaikan umrah. Alhamdulillah, pada tahun ini dia disahkan mengandung dan bakal melahirkan anak pada bulan Disember selepas hampir 11 tahun menunggu cahaya mata. Adakah isteri saya wajib menunaikan kedua-dua nazar tersebut atau menunaikan nazar yang terakhirnya sahaja? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:
Nazar dari sudut istilah ialah apa yang disebutkan oleh para ulama’ iaitu:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء
“Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.” (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2:501)

Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk menunaikan nazar yang telah dilafazkan sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ
“Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.” (Surah al-Hajj: 29)

Begitu juga, jika sekiranya seorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
“Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.” [Riwayat al-Bukhari (6696)]

Berbalik kepada soalan di atas, nazar tersebut merupakan satu ibadat ketaaatan kepada Allah SWT. Justeru apabila seseorang menyatakan bahawa jika sekiranya dia melahirkan anak, dia bernazar untuk melakukan pelbagai ketaatan yang ditentukannya sendiri seperti mengadakan kenduri dan membawa anaknya tersebut menunaikan umrah yang dinyatakan di atas, maka wajibnya menunaikan kesemua nazarnya tersebut.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya dia tidak berkemampuan untuk menunaikan nazar yang telah dilakukannya tersebut selepas dia berusaha melakukannya, maka dia hendaklah membayar kaffarah nazarnya itu. Allah SWT berfirman:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah -peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah: 89)

Justeru itu, hendaklah orang yang tidak mampu untuk menunaikan nazarnya untuk melaksanakan kaffarah dengan memilih sama ada memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin atau memerdekakan hamba (sekiranya ada). Pembayaran kaffarah juga boleh dibayar kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam Negeri. Jika ketiga-tiga perkara di atas tidak mampu untuk ditunaikan, maka perlu untuk berpuasa selama tiga hari berdasarkan firman Allah SWT di atas.

Di samping itu, kami mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ
“Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.” [Riwayat Muslim (1640)]

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa nazar yang pelbagai dan berlainan bagi satu perkara yang sama hendaklah ditunaikan kesemuanya, jika sekiranya ia merupakan satu ketaatan kepada Allah SWT. Hal ini berdasarkan kepada keumuman dalil yang disebutkan di atas.

Walau bagaimanapun, ia boleh ditunaikan dalam keadaan waktu yang dirasakan bersesuaian. Ini kerana nazar tersebut menjadi hutang dan hak kepada Allah SWT sehinggalah dia menunaikannya. Sesungguhnya menunaikan hak dan janji yang telah dilakukan merupakan satu kewajipan yang akan dipersoal di akhirat kelak berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُوْلاً
“Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti akan dipersoalkan kelak.” (Surah Al-Isra’: 34)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman terhadapnya serta memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.