Header Ads

Hukum Solat Berimamkan Orang Fasik


SOALAN:
Bagaimana hukum solat berimamkan imam yang fasik?

JAWAPAN:
Perkataan fasik adalah berasal dari perkataan ‘فسَق يَفْسِقُ ويَفْسُقُ فِسْقاً وفُسوقاً’. Ibn Manzur menyebut: Al-Fisq iaitu kederhakaan dan meninggalkan perintah Allah Azza wa Jalla dan keluar dari jalan kebenaran. (Lihat Lisan al-‘Arab, 10/308)

Fasik pada istilah bermaksud seorang yang melakukan dosa besar atau sering melakukan dosa-dosa kecil. (Lihat Hasyiyah al-Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli, 3/227)

Imam al-Syaukani menukilkan pandangan Imam al-Qurtubi yang menyebut: “Adapun kefasikan yang umumnya digunakan dalam syariat ialah; (perbuatan yang menyebabkan) keluar dari batas ketaatan kepada Allah SWT. Terkadang perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekafiran dan boleh juga dianggap sebagai kemaksiatan.” (Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 1/583)

Ini sepertimana disebut dalam hadis, Nabi SAW bersabda:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Memaki orang Muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur.” [Riwayat Bukhari (7076)]

Kata Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini, maksud dilarang mencaci orang Muslim itu, kerana maruah diri seorang Muslim adalah terpelihara (haram dicabul) sebagaimana haram darah dan hartanya. Kaedah fiqh juga menyebut:

الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ
“Asal seseorang itu adalah suci maruahnya (bebas dari tuduhan dan tanggungan).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 59)

Dalam isu di atas, kami nukilkan kenyataan dari Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ yang menyebut: “Solat Ibn Umar berimamkan Hajjaj bin Yusuf adalah tsabit di dalam Sahih al-Bukhari dan selainnya di dalam al-Sahih, dan banyak hadis yang menunjukkan kepada sahnya solat berimamkan orang yang fasik dan pemimpin yang zalim.”

Ashab kami berkata: “Solat berimamkan orang fasik adalah sah dan tidak haram. Akan tetapi ia adalah makruh. Begitu juga dimakruhkan berimamkan orang yang melakukan bid’ah yang tidak sampai tahap kufur dengan bid’ahnya. Sekiranya sampai pada tahap kufur, maka kami telah jelaskan bahawa tidak sah solat berimamkannya sepertimana orang-orang kafir yang lain.”

Imam al-Syafie telah menaskan di dalam al-Mukhtasar berkenaan makruhnya solat berimamkan orang fasiq dan mubtadi’. Namun sekiranya dilakukan, sah solatnya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/151)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami bahagikan isu fasik ini kepada dua; pertama, berdasarkan pengamatan kami, terdapat nas yang menunjukkan fasik boleh membawa kepada kufur. Jika sampai kepada tahap ini, maka solat di belakangnya adalah tidak sah sekiranya makmum mengetahui. Kedua, adapun fasik yang tidak membawa kepada kekufuran, maka ia tidaklah menjadi kesalahan untuk solat di belakangnya tetapi hukumnya adalah makruh lebih-lebih lagi dalam keadaan terdapat imam yang tidak fasik.

Dengan mengamati nas hadis Nabi, jelas menunjukkan kepada kita bahawa seorang yang hendak diimamkan hendaklah mempunyai kriteria yang terbaik, soleh lagi aslah berbanding dengan yang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Mas’ud al-Ansari, Rasulullah SAW pernah bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا وَلاَ تَؤُمَّنَّ الرَّجُلَ فِي أَهْلِهِ وَلاَ فِي سُلْطَانِهِ وَلاَ تَجْلِسْ عَلَى تَكْرِمَتِهِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَكَ أَوْ بِإِذْنِهِ
“Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.” [Riwayat Muslim (613)]

Semoga Allah menjadikan kita orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa dan selamat daripada perbuatan yang membawa kepada fasik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.