Hukum Nikah Batin - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Nikah Batin


SOALAN:
Saya ingin mendapatkan penjelasan yang mendalam tentang pelaksanaan nikah batin. Apakah hukumnya?

JAWAPAN:
Nikah bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat]

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

{فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ}
“…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…” (Surah Al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 16/125]

Ia juga dapat dilihat pada sabda Rasulullah SAW:

يا مَعْشَرَ الشَّبابِ، مَنِ اسْتَطاعَ مِنكُمُ الباءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فإنَّه أغَضُّ لِلْبَصَرِ وأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ فإنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ.
“…Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kalian yang mampu untuk berkeluarga, maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya ia dapat menahan pandangan (dari melihat sesuatu yang terlarang) dan memelihara kemaluan dan barangsiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi penawar baginya.” [Riwayat al-Bukhari (5066) dan Muslim (1400)]

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah: 41/325]

Berbalik kepada soalan yang diajukan mengenai nikah batin. Sesungguhnya tiada istilah nikah batin di dalam Islam. Adapun konsep nikah batin yang sering diuar-uarkan dalam kalangan masyarakat ialah sebuah kepercayaan dan ajaran yang dibawa dan diamalkan oleh puak pengamal ajaran sesat. Ajaran ini diamalkan oleh pengamal ajaran sesat (kebiasaannya guru) yang mendakwa mendapat ilham rabbani untuk melaksanakan pernikahan secara langsung melalui Allah. Kononnya, seorang perempuan telah dinikahkan oleh Allah SWT dengannya tanpa perlu kepada wali, akad, saksi dan juga mahar. Si mangsa (perempuan itu) dalam keadaan terpaksa menyerahkan diri kepada guru mereka sama ada kerana rasa hormat terhadap guru mereka yang berselindung atas nama guru tarikat, atau dipukau untuk melakukan sedemikian.

Ajaran ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk tujuan nafsu mereka semata-mata bahkan untuk menghalalkan zina dalam kalangan mereka. Bahkan perbuatan ini sebenarnya lebih sesat dari nikah mut’ah yang dahulunya pernah dibenarkan dalam Islam sebelum dimansuhkan oleh Rasulullah SAW. Sayyidina Ali R.A berkata kepada Ibn Abbas:

"إن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن المتعة، وعن لحوم الحمر الأهلية، زمن خيبر"
“Sesungguhnya Nabi SAW melarang nikah mut’ah, memakan daging keldai domestik, ketika peperangan Khaibar.” [Riwayat al-Bukhari (5115)]

Wujud juga sebahagian puak pengamal ajaran sesat yang menggunakan kisah pernikahan Rasulullah SAW bersama Zainab Binti Jahsyi yang dinikahkan oleh Allah secara langsung sebagai dalil mereka untuk menghalalkan perbuatan ini. Allah SWT berfirman:

{وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَاهُ فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا}
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” (Surah al-Ahzab: 37)

Ayat ini menceritakan bahawa Allah SWT mewahyukan kepada Rasul-Nya untuk menikahi Zainab tanpa wali, tanpa akad, tanpa mas kawin dan tanpa kehadiran saksi-saksi dari kalangan manusia. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir: 6/425]

Segelintir pengamal ajaran sesat menjadikan ayat ini sebagai penyokong kepada kepercayaan songsang mereka untuk membolehkan dan menghalalkan amalan nikah batin. Walhal pernikahan langsung sepertimana dalam ayat di atas adalah khusus kepada Rasulullah SAW sahaja, tidak umum kepada umat Islam yang lain. [Lihat: al-Khasais al-Kubra li al-Suyuti: 2/428]

Konsep lain mengenai nikah batin seperti yang diajarkan dalam ajaran Ilmu Hakikat oleh Ahmad Laksamana, melalui buku mereka Hakikat Insan. Mereka mengaitkan ayat al-Quran dengan anggota seks manusia seperti contoh pada lafaz “Abismillahi al-Rahman al-Rahim”. Penafsiran sebegini adalah sebagai salah satu cara bagi mereka mengaitkannya dengan konsep nikah batin iaitu sebagai satu alasan mudah bagi menghalalkan pertemuan antara lambang zakar ‘ا’ dan lambang faraj ‘ه’. Perkara yang sama juga wujud dalam konsep nikah batin dalam ajaran Taslim. Pada lafaz yang sama ada kalimah “اهـ’ yang digelarnya zikir Zat yang bermaksud zikir pertemuan makrifat di antara faraj dan zakar.” [Lihat: Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia: m/s 70, 92. 93]

Di sini, kami senaraikan beberapa ajaran sesat yang dikenalpasti ada mengamalkan konsep nikah batin dalam ajaran mereka:

  • Ajaran Ilmu Hakikat oleh Haji Ahmad Laksamana bin Haji Omar.
  • Ajaran Taslim oleh Haji Muhammad Syafie atau dikenali dengan nama Haji Muhammad Matahari, di Pulau Pinang.
  • Ajaran Sesat Ustaz Zul (Zulkifli Ismail), di Selangor.
  • Ajaran Haji Ghazali, di Selangor.
  • Ajaran Ayah Pin, di Kelantan.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-81 pada 19 April 2012 telah memutuskan bahawa ciri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan (antaranya nikah batin) adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan. [Rujuk juga: Fatwa Negeri Sembilan: Penyelewengan Ajaran Taslim]

Penutup

Kesimpulannya, nikah batin tergolong dalam pernikahan-pernikahan yang dilarang dalam Islam, bahkan ia merupakan ajaran sesat yang sama sekali bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Justeru, kami menasihatkan kepada semua umat Islam agar dapat menjauhkan diri dari mempelajari dan mengikuti ajaran-ajaran yang menyeleweng dari aqidah yang boleh membawa manusia ke lembah kemaksiatan dan kesyirikan. Akhirnya, semoga kita dipelihara oleh Allah SWT dan ditetapkan iman kita dengan hidayah-Nya.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.