Solat Jamak Dan Qasar Di Pejabat - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Solat Jamak Dan Qasar Di Pejabat


SOALAN:
Saya bertugas di Kota Kinabalu, jika sekiranya saya bertugas outstation (menaiki kenderaan awam biasanya bas dan bertolak dari rumah awal pagi dan lewat petang atau lepas Isyak sampai semula ke Kota Kinabalu (juga dengan bas) dalam perjalan balik ke rumah, bolehkah saya singgah di pejabat saya sendiri untuk solat jamak takdim atau takhir?

JAWAPAN:
Antara syarat sah solat jamak takdim atau takhir ialah hendaklah berada dalam keadaan musafir. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (m/s 190) menyebut antara syarat sah jamak taqdim seperti berikut: “Masih dalam musafir sehingga memulakan solat yang kedua. Oleh itu, tidak menjadi masalah sekiranya sampai semula ke tempat asalnya ketika solat yang kedua masih belum selesai.”

Manakala antara syarat sah jamak takhir ialah: “Masih dalam musafir hingga selesai mengerjakan kedua-dua solat. Oleh itu, sekiranya telah sampai sebelum kedua-dua solat berkenaan selesai maka solat yang terkemudian menjadi solat qadha.”

Justeru, isu pertama, perlu ditentukan dahulu sama ada perjalanan outstation itu menepati ciri musafir yang mengharuskan solat jamak. Ciri penting bagi musafir itu mestilah melebihi 2 marhalah atau seperti yang ditakrifkan secara taqriban dalam al-Fiqh al-Manhaji, ialah lebih 81 kilometer.
Berdasarkan soalan, tidak disebutkan destinasi outstation supaya diketahui jarak yang membolehkan solat musafir. Namun, kami andaikan destinasi itu adalah di luar tempat bermastautin dengan jarak lebih 81 kilometer memandangkan masa yang diperuntukkan pergi dan pulang mengambil masa separuh hari dengan menaiki bas.

Jika begitu keadaannya, maka hendaklah ditentukan pula lokasi pejabat yang dimaksudkan di atas. Ini kerana solat jamak tidak sah sekiranya lokasi pejabat berada dalam lingkungan kawasan mastautin. Syarat ini disebutkan oleh para pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/187) seperti berikut: “Perjalanannya telah melepasi pagar sempadan kariahnya atau kawasan bangunannya jika kariah tersebut tidak berpagar. Orang yang masih berada di dalam kawasan pagar kariahnya atau kawasan bangunan kariahnya tidak dinamakan musafir. Ini kerana perjalanan tersebut hanya bermula ketika melepasinya dan akan berakhir apabila sampai semula ke kawasan itu. Oleh itu, tidak harus mengqasarkan solat kecuali solat yang wajib atasnya dan melakukannya dalam lingkungan tempoh musafir tersebut. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Anas RA, katanya:

صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا، وَالعَصْر ِبِذِى الْحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ
“Aku menunaikan solat Zohor bersama-sama Nabi SAW di Madinah 4 rakaat dan solat Asar di Zulhulaifah 2 rakaat.” [Riwayat al-Bukhari (1039) dan Muslim (690)]

Zulhulaifah terletak di luar kawasan bangunan Madinah.

Justeru, isu kedua yang perlu dipastikan ialah lokasi pejabat mestilah berada di luar kawasan kampung kediaman untuk mengharuskan solat jamak taqdim dan takhir. Jika lokasi pejabat berada di luar kawasan mastautin, maka hukum solat musafir adalah diharuskan. Jika masih berada di dalam kawasan mastautin, maka hukum solat musafir adalah tidak sah.

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, boleh kita simpulkan hukum bagi situasi yang berbeza mengikut destinasi dan lokasi pejabat seperti berikut:

  • Jika jarak destinasi outstation dengan rumah mastautin ialah sejauh 2 marhalah, dan lokasi pejabat berada di luar kawasan kampung mastautin maka hukum solat jamak takdim atau takhir di pejabat adalah sah.
  • Jika jarak destinasi outstation dengan rumah mastautin ialah kurang dari 2 marhalah, dan lokasi pejabat berada di luar kawasan kampung mastautin maka hukum solat jamak takdim atau takhir di pejabat adalah tidak sah.
  • Jika jarak destinasi outstation dengan rumah mastautin ialah sejauh 2 marhalah, dan lokasi pejabat berada di dalam kawasan kampung mastautin maka hukum solat jamak takdim atau takhir di pejabat adalah tidak sah.
  • Jika jarak destinasi outstation dengan rumah mastautin ialah kurang dari 2 marhalah, dan lokasi pejabat berada di dalam kawasan kampung mastautin maka hukum solat jamak takdim atau takhir di pejabat adalah tidak sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman untuk mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna dan diterima oleh-Nya.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.