Hukum Membaca Al-Fatihah Ketika Mengangkat Jenazah - Oh! Media

OM Leaderboard Ad

Hukum Membaca Al-Fatihah Ketika Mengangkat Jenazah


SOALAN:
Saya ingin memohon penjelasan tentang hukum membaca al-Fatihah ketika mengangkat atau membawa jenazah ke kenderaan dan tanah perkuburan.

JAWAPAN:
Telah menjadi adat kebiasaan orang Melayu ketika mengangkat atau membawa jenazah, maka dibacakan surah al-Fatihah ke atas jenazah tersebut dengan beberapa kali bilangan sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Hal ini telah menjadi persoalan bagi sesetengah pihak sama ada ia dibolehkan ataupun tidak.

Pada asasnya, sesuatu ibadah tersebut hendaklah mempunyai sandaran daripada nas-nas wahyu sama ada daripada al-Quran ataupun hadith. Dalam hal ini, terdapat banyak hadith yang menganjurkan kita supaya membacakan al-Fatihah kepada si mati, antaranya ialah:

1. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Talhah Ibn ‘Abdullah, bahawa beliau RA berkata:

صَلَّيْتُ مَعَ ابْنِ عَبَّاسٍ عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، وَقَالَ: إِنَّهَا مِنَ السُّنَّةِ
Aku telah bersembahyang bersama Ibn Abbas ke atas seorang jenazah, lalu beliau R.A membacakan surah al-Fatihah. Beliau RA berkata: “Sesungguhnya ini merupakan sunnah Rasulullah SAW.” [Riwayat al-Bukhari (1335)]

2. Dalam riwayat yang lain oleh al-Zahabi, diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Abbas bahawa beliau R.A berkata:

أنَّ النبيَّ ﷺ قرأَ على الجنازَةِ بالفاتحةِ
“Sesungguhnya Nabi SAW membaca ke atas jenazah surah al-Fatihah.” [Riwayat al-Zahabi dalam Tanqih al-Tahqiq (1:315)]

3. Diriwayatkan juga daripada al-Tirmidzi dalam bab berkaitan Umm Syarik R.A, bahawasanya beliau berkata:

أَمَرَنَا رَسُول الله صلى الله عليه وسلم أن نقرأ على الجنازة بفاتحة الكتاب
“Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya membacakan ke atas jenazah dengan surah al-Fatihah.” [Riwayat al-Tirmidzi (1032)]

Berdasarkan kepada nas-nas di atas kami berpendapat bahawa adalah diharuskan untuk dibaca al-Fatihah ketika diangkat mayat atau ditanggung untuk menuju ke van jenazah atau tanah perkuburan. Namun begitu, memadai hanya dibaca sekali sahaja dan tidak memanjangkan tempohnya. Hal ini kerana berasaskan kepada galakkan untuk disegerakan pengebumian jenazah. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بالجِنازَةِ، فإنْ تَكُ صالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَها، وإنْ يَكُ سِوى ذلكَ، فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عن رِقابِكُمْ
“Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya ia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan dia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.” [Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)]

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: “Pada hadith ini terdapatnya arahan untuk menyegerakan (pengurusan jenazah) disebabkan hikmah yang telah disebut oleh Rasulullah SAW.”

Kata beliau lagi: “Telah berkata para ashab kami: Disunatkan untuk bersegera dengan membawanya (jenazah) selama mana tidak tamat tempoh yang ditakuti buruknya jenazah.” (Rujuk al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi, 7:13)

Adapun semasa sudah berada di dalam van, mereka yang mengiringi jenazah boleh terus membaca surah-surah di dalam al-Quran seperti al-Fatihah, al-Ikhlas dan lain-lain. Hal ini tidaklah menjadi kesalahan kerana membaca surah-surah tersebut sebahagiannya terdapat atsar dan tidak menjejaskan tempoh perjalanan ke tanah perkuburan.

Kesimpulan

Dalam menyelesaikan isu seperti di atas, sikap meraikan kehendak semua pihak selama mana perkara tersebut khilaf adalah amat baik dan wajar untuk diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia ini. Sesungguhnya menjaga keharmonian serta ukhuwwah Islamiah yang dipupuk sedari dulu wajar menjadi keutamaan dalam kamus kehidupan kita semua. Kami tegaskan bahawa apa yang penting dalam isu ini ialah, perlu untuk disegerakan urusan jenazah hingga ke perkuburan dan apa jua tindakan yang dilakukan mestilah tidak bercanggah dengan nas yang zahir lagi jelas.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa berbaik sangka sesama kita dalam memelihara hubungan silaturrahim seupaya mungkin. Kami akhiri dengan berpesan kepada rakan taulan dan sahabat handai sepertimana pesanan Nabi SAW ketika mula menjejak kaki ke kota Madinah al-Munawwarah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ
“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, jamukanlah makan kepada orang lain, solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” [Riwayat Ibn Majah (2648)]

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube

Dikuasakan oleh Blogger.