Header Ads

Tersalah Beri Zakat Kepada Orang Kaya


Soalan:
Seorang telah memberi zakat kepada seseorang yang kemudian ternyata orang tersebut adalah orang kaya. Maka adakah dia kena ulangi bayar zakat yang lain?

Jawapan:
Setengah dari syarat sah menunaikan zakat harta apabila cukup nisab dan sampai setahun bahawa diberikan kepada asnafnya yang lapan yang Allah sebutkan dalam ayat :

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
“Hanyasanya segala harta zakat itu untuk segala fakir dan miskin dan amil zakat dan para muallaf dan hamba dan yang berhutang dan sabilillah dan musafir sebagai kewajipan dari Allah. Dan Allah itu Maha Tahu lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah : 60)


Maka apabila diberikan zakat pada selain asnaf ini seperti diberikan kepada kepada orang kaya atas asnaf fakir miskin kemudian ternyata bahawa dia kaya maka tidak memadai zakat yang telah diberikan itu dan wajib atasnya mengeluarkan gantinya.

Dan adapun dari pihak yang mengeluarkan zakat itu pada hukum meminta kembali apa yang telah diberikan itu ada dua keadaan:

Pertama: Apabila menerangkan oleh yang mengeluarkan zakat itu kepada yang menerima tersebut bahawa ia adalah harta zakat maka berhaklah yang mengelurkan zakat itu meminta kembali harta tersebut jika ada lagi padanya atau gantinya ketika itu. Maka jika uzur atasnya meminta kembali apa yang telah dia berikan itu maka wajib yang membayar zakat itu ganti dari hartanya yang lain.

Kedua: Apabila yang mengeluarkan zakat tidak menerangkan kepada yang menerima bahawa itu adalah harta zakat maka tidak berhak dia menuntut kembali. Maka jadilah pemberian itu pada ketika ini sebagai hibah atau hadiah kepada orang kaya yang telah sempurna penerimaannya. Maka tidak ia memilik hak meminta kembali.

Tersebut pada kitab Al-Majmu' bagi Imam Nawawi:

" فلو فرّق رب المال فبان المدفوع إليه غنيا لم يجز عن الفرض، فإن لم يكن بيّن أنها زكاة لم يرجع، وإن بيّن رجع في عينها، فإن تلفت ففي بدلها، فإذا قبضه صرفه إلى فقير آخر، فإن تعذر الاسترجاع فهل يجب الضمان والإخراج ثانياً على المالك؟ فيه قولان مشهوران ذكرهما المصنف بدليلهما: أصحهما وهو الجديد: يجب، والقديم: لا يجب" انتهى.
“Maka jika membahagikan oleh tuan harta kemudian nyata orang yang menerimanya itu orang kaya maka tidak memadai dari zakat yang fardhu. Maka jika dia tidak menyebut bahawa pemberian itu adalah zakat maka tidak boleh dia meminta kembali. Dan jika dia terangkan bahawa ia harta zakat maka dia boleh meminta kembali harta tersebut. Maka jika telah binasa harta itu maka jika dapat gantinya maka berikan kepada orang miskin. Dan jika uzur ia dari meminta kembali maka adakah wajib ia keluarkan harta yang lain? Ada dua pendapat yang masyhur yang telah menyebut oleh pengarang dengan dalil keduanya; yang paling sahih iaitu qaul jadid ialah wajib ia ganti manakala pada qaul lama tidak wajib.”

Maka atas yang mengeluarkan zakat hendaklah bercermat dan bersungguh pada menyampaikan zakat itu pada yang berhaknya. Maka tidak harus atasnya memberikan zakat melainkan kepada orang-orang yang memang berhak baginya.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan

Dikuasakan oleh Blogger.