Header Ads

Syurga Di Bawah Kaki Ibu


Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersyukur. Sikap syukur bukan sahaja ketika mendapat nikmat dan pemberian semata- mata, akan tetapi kita perlu sedar bahawa memiliki seorang ibu di dunia ini adalah nikmat yang besar diberikan oleh Allah kepada kita semua. Insan yang besar jasanya kepada kita ialah seorang insan yang bergelar ibu.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Luqman, ayat 14 maksudnya:

“Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Ibu lah yang mengorbankan tenaga, disaat kesusahannya ketika mengandungkan kita, sehingga menanggung kesakitan dan kesukaran disaat kita dilahirkan ke dunia. Maka tidak hairanlah kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah, kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu kerana ibu menjadi teman setia yang mendengar luahan hati kita, sehingga jika kita terbaring sakit pun, apabila tangan ibu yang
mengusapkan kepala kita, maka kelegaan dirasai di hati. Kalau hendak makan, kita lebih suka masakan ibu. Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan kasih sayang dan pengorbanannya melebihi segalanya.

Walaupun kita sedar ibu yang melahirkan kita ke dunia ini, tetapi kita kesal kerana masih ada segelintir masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap ibunya. Kita mendengar kisah ibu bapa yang diabaikan oleh anak-anak, termasuk yang dihantar ke rumah penjagaan orang-orang tua kerana untuk mengelak daripada memelihara dan menjaga mereka.

Menurut satu Laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tahun 2017, terdapat seramai 598 orang warga emas perempuan Islam menjadi penghuni Rumah Kebajikan Masyarakat di seluruh negara, sedangkan itu menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menjaga mereka sebaik-baiknya. Walau bagaimanapun tiada halangan jika ibu bapa bersetuju dan memohon untuk dihantar ke pondok-pondok pengajian dengan tujuan supaya dapat bermesra dan berkenal-kenalan serta beramal ibadah di hujung usia mereka dengan tidak memutuskan hubungan serta kunjungan daripada anak-anak. Namun yang terbaik adalah menjaga dan menguruskan mereka di rumahnya sendiri dengan pengurusan yang lebih sempurna.

Sesungguhnya berkhidmat dan menguruskan ibubapa yang telah tua akan dikurniakan ganjaran dan fadhilat yang besar di sisi Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Muawiyah bin Jahimah al-Sulami meriwayatkan bahawa Jahimah telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata yang bermaksud:

“Wahai Rasulullah! Aku ingin turut serta berperang dan aku datang meminta nasihatmu.” Baginda SAW bertanya: “Adakah ibumu masih ada?” Dia menjawab: “Ada.” Lalu sabda baginda SAW: “Berkhidmatlah dan jaga urusannya, kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Riwayat al-Nasa’i)

Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya seseorang anak itu berkhidmat dan menguruskan keperluan ibunya. Ia menjadi lebih utama dari jihad berperang. Rasulullah SAW telah meletakkan keutamaan menjaga ibu, lebih besar dari keperluan jihad. Ini kerana tuntutan jihad boleh dipenuhi oleh ramai orang, sedangkan tugas berkhidmat untuk ibu hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna oleh anaknya sendiri. Semua ini perlu dilaksanakan demi memenuhi perintah Allah SWT. Dia telah menjadikan kunci syurga bagi seorang anak pada ibunya. Semakin baik khidmatnya pada ibu dan semakin bersungguh usahanya memenuhi keperluan ibunya, semakin cerahlah peluangnya untuk memasuki syurga Allah di akhirat nanti.

Dalam sebuah hadis riwayat daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW mengingatkan betapa hina dan malangnya seorang manusia yang tidak mengambil peluang untuk berbuat baik kepada ibubapanya yang telah tua dengan sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa yang sempat dengan kedua-dua ibu bapanya masih hidup atau salah seorang atau kedua-duanya ketika sudah tua, lalu tetap dia tidak masuk ke dalam syurga.” (Riwayat Muslim)

Perlu juga diingatkan bahawa kita hendaklah sentiasa dan terus bersabar menghadapi sebarang masalah dan kerenah yang timbul semasa berkhidmat untuk kedua ibu bapa. Dalam menanggung cabaran ini, ingatlah pesanan orang-orang tua kita dahulu yang amat dalam maksudnya. Seorang ibu boleh memelihara 10 orang anak. Tetapi, 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.

Bagi mereka yang ibunya sudah meninggal dunia, maka sentiasalah mendoakan keampunan untuk ibu, perbanyakkanlah amalan bersedekah untuk diniatkan pahalanya kepada arwah ibu. Hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat, apakah bermanfaat kepadanya sekiranya aku bersedekah daripada hartanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya.” (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, ada hadis yang menjelaskan bahawa anak masih berpeluang untuk berbakti kepada ibunya yang telah meninggal dunia dengan menziarahi kakak kepada ibunya, atau adik perempuan ibunya, atau kenalan yang sering diziarahi oleh arwah ibu. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawasanya seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW, maka dia berkata:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah. Aku telah melakukan satu dosa yang besar. Adakah aku boleh bertaubat?” Baginda bertanya: “Adakah kau masih ada ibu?” Dia menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya lagi: “Adakah kau ada ibu saudara sebelah ibu?” Dia menjawab: “Ya.” Sabda baginda: “Buat baiklah kepadanya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” (Ibrahim: 41)

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan

Dikuasakan oleh Blogger.