Header Ads

Datuk Lee Chong Wei Umum Keputusan Paling Sukar Dalam Hidupnya - Perlu Utamakan Kesihatan


Selepas 19 tahun berjuang dalam arena sukan bulu tangkis, jagus badminton negara Datuk Lee Chong Wei telah mengumumkan satu berita sedih apabila bersara pada usia 37 tahun dengan menegaskan dirinya perlu mengutamakan kesihatan.

Pengumuman untuk menggantungkan raket itu dilakukan sebentar tadi dalam sidang media khas di pejabat Kementerian Belia dan Sukan.

Sungguh sayu melihat wajah Lee Chong Wei apabila dilihat mengalirkan air mata ketika membuat pengumuman. Jelas bekas pemain nombor satu dunia itu, ia adalah keputusan paling sukar pernah dibuatnya, namun selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan pandangan isterinya Datin Wong Mew Choo.

"Saya ada ke Taiwan pada April lalu dan doktor yang merawat saya merasakan tidak sesuai lagi untuk saya meneruskan latihan dengan intensiti tinggi.

"Jadi selepas pulang saya mengambil masa selama sebulan untuk memikirkan mengenainya sebelum saya membuat keputusan untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) bagi meminta pandangan mereka.

"Saya akhirnya membuat keputusan untuk menggantung raket selepas sambutan Aidilfitri tempoh hari, ia adalah keputusan berat untuk saya tetapi apa yang paling penting adalah isu kesihatan saya," katanya.

Selain daripada menghimpun koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), Chong Wei juga muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

Terima kasih Datuk Lee Chong Wei dan kami sebagai rakyat Malaysia sentiasa menyokong penuh kejayaan atlet sukan negara dan diharapkan dapat meneruskan perjuangan untuk melatih bakal juara-juara dunia.

Berikut merupakan LIVE sidang media yang dibawakan media:



+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Powered by Blogger.