Header Ads

Isteri Keluar Dari Rumah Dan Menghilangkan Diri


Soalan:
Isteri saya telah keluar rumah hampir lima bulan dan menyewa asing serta tidak mahu bercakap dengan saya. Dia pernah menyatakan hasrat mahu berpisah tapi saya enggan kerana tiada alasan yang kukuh, apatahlagi kami telah ada dua orang anak, seorang berumur 6 tahun dan seorang lagi berumur 3 tahun. Saya masih sayangkan dia kerana Allah SWT dan demi anak-anak juga. Saya masih berharap dia dapat balik kepangkuan saya dan tinggal bersama-sama. Apa yang perlu saya buat untuk memperbetulkan keadaan?

Jawapan:
Islam mensyariatkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan bagi masing-masing dapat menjalani kehidupan dengan harmoni dan bahagia. Ini kerana Allah SWT menjadikan fitrah manusia itu ingin mencintai dan dicintai, dan ia dicapai kehidupan berumahtangga. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah al-Rum: 21)

Imam al-Qurtubi meriwayatkan dalam tafsirnya, bahawa Ibn ‘Abbas RA pernah menyebut bahawa makna mawaddah ialah rasa cinta seorang suami kepada isterinya manakala rahmah pula ialah rasa belas kasihannya terhadap isterinya daripada ditimpakan kesusahan keatasnya. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 30:21)

Justeru itu, perasaan kasih-sayang dan belas-kasihan yang timbul merupakan satu fitrah semulajadi yang Allah SWT jadikan pada manusia dan merupakan tanda kebesaran-Nya bagi sesiapa yang berfikir.

Allah SWT telah menetapkan tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh suami terhadap isterinya. Antaranya termasuklah tanggungjawab memberi nafkah, memberi panduan dan didikan agama, serta menjaganya dengan penuh kasih sayang. Firman Allah SWT:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah al-Nisa’: 34)

Apabila suami melaksanakan tanggungjawabnya mengikut kemampuan yang ada padanya, hendaklah isteri mentaati suaminya pada setiap perintahnya selagimana tidak bercanggah dengan syariat Islam. Jika isteri enggan menuruti perintah suaminya, maka isteri tersebut telah melakukan perbuatan nusyuz.

Maksud nusyuz daripada sudut bahasa bermaksud melakukan maksiat atau penentangan. Asalnya daripada perkataan nasyz (نَشْز) dan nasyaza (نَشَزَ) yang bermaksud kedudukan yang tinggi. Manakala daripada sudut istilah syarak ialah keluarnya isteri daripada ketaatan kepada suaminya, seperti keluar daripada rumah tanpa keizinan suaminya atau memasamkan muka ketika berhadapan dengan suaminya atau berbicara dengan suami dengan perkataan yang kasar. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 605)


Suami hendaklah menasihati dan menegur isterinya jika berlaku nusyuz berlaku. Islam telah mengajarkan cara-cara bagi suami untuk menegur isteri yang nusyuz. Allah SWT berfirman:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah al-Nisa’: 34)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara langkah suami menasihati dan menegur isteri yang nusyuz ialah:

  • Menasihatinya secara berhikmah dengan tutur kata yang baik, kasih sayang dan berniat untuk dia menjadi lebih baik.
  • Jika masih tidak berhasil, suami boleh memukul isteri dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakan dengan niat untuk memberi pengajaran sahaja.
  • Jika masih juga tidak berhasil, suami boleh untuk mengasingkan tempat tidur daripada isterinya tersebut.

Namun, jika sekiranya nusyuz itu berlanjutan maka hendaklah difikirkan cara yang lebih sesuai untuk mengendalikannya iaitu melalui perundangan dengan mengikut prosedur undang-undang yang betul. Firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah 'orang tengah' (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua 'orang tengah' itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Nisa’: 35)

Jika sekiranya masih menemui jalan buntu dan tiada pilihan yang lebih baik untuk dipilih, maka sebaiknya hendaklah melepaskannya dengan keadaan yang baik. Firman Allah SWT:

وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
“Dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ahzab: 49)

Imam al-Baghawi menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa ia bermaksud: “Lepaskanlah mereka (isteri-isteri) untuk memilih jalan hidup mereka dalam keadaan yang baik tanpa meninggalkan sebarang kemudaratan terhadapnya.” (Rujuk Tafsir al-Baghawi: 424)

Kesimpulan

Oleh itu, kami menasihati supaya permasalahan yang dihadapi oleh saudara yang bertanya dirujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti dalam menyelesaikan masalah ini seperti Mahkamah Syariah.

Di samping itu, kami juga ingin menasihati bahawa pemilihan calon isteri hendaklah mengikut kepada pedoman yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ : لِمَالِهَا ، وَلِحَسَبِهَا ، وَلِجَمَالِهَا ، وَلِدِينِهَا ، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” [Riwayat al-Bukhari (4802) dan Muslim (1466)]

Semoga Allah SWT menganugerahkan saudara dengan isteri yang solehah dan memberi kebahagiaan buat saudara di dunia dan di akhirat kelak. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.