Header Ads

Ebby Yus Rasa Bersyukur Masih Mampu Berpuasa


Lebih setahun menderita sakit buah pinggang tahap tiga dan menghidap gastrik kronik, pelakon dan pelawak, Ebby Yus rasa bersyukur kerana tidak berdepan masalah untuk menjalani ibadah puasa. Beliau berkata pada mulanya dia agak sukar untuk menunaikan Rukun Islam ketiga itu memandangkan perlu menjamah makanan setiap tiga jam.

“Sakit gastrik kronik ini sudah saya alami sejak beberapa tahun lalu. Sebelum ini, saya tiada masalah untuk berpuasa penuh, cuma tahun ini, saya agak risau kerana perlu menjamah makanan setiap tiga jam. Pada hari pertama Ramadan, saya bimbang tidak dapat bertahan, tetapi saya mencuba juga. Alhamdulillah, sampai hari ini saya masih mampu bertahan dan tiada masalah sepanjang berpuasa,” katanya.

Beliau juga rasa bersyukur tahap kesihatannya semakin stabil namun masih perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya turut mendapatkan rawatan alternatif dan Alhamdulillah, mula menampakkan perubahan. Saya juga semakin bertenaga. Sebelum ini, saya tidak larat untuk berdiri lama, apatah lagi jika terpaksa mendaki tangga. Sekarang, saya sudah mampu melakukannya. Saya baru membuat pemeriksaan kesihatan pada 2 Mei lalu dan doktor memaklumkan, keadaan buah pinggang saya bertambah baik dan tidak perlu melalui rawatan dialisis,” katanya yang turut mengalami masalah lemah jantung.

Beliau berkata perkembangan positif itu membuatkan dia berani menerima tawaran berlakon dan terbaru, menjayakan sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) Raya.

“Diikutkan, sejak enam tahun lalu, saya tidak menerima tawaran berlakon pada bulan puasa. Alhamdulillah, rezeki saya bertambah tahun ini, tetapi saya hanya memilih tawaran yang bersesuaian dengan kudrat. Selain JKK Raya, ada beberapa lagi tawaran lakonan yang saya sudah selesaikan, tetapi semuanya membabitkan penggambaran dalam studio. Ada juga beberapa tawaran yang memerlukan penggambaran di luar, tetapi sudah tidak sebanyak dahulu,” katanya.

Powered by Blogger.