Header Ads

Antara Perbuatan Hamba Dan Takdir Allah


Soalan:
Setiap apa yang berlaku adalah kehendak dan takdir Allah. Katakan A membunuh B. Sebanyak mana kehendak A membunuh B dan sebanyak mana ia berlaku kerana kehendak Allah? Sekiranya Allah telah menetapkan pembunuhan itu tetap berlaku sejak azali lagi?

Jawapan:
Secara prinsipnya segala yang berlaku di alam ini tidak ada yang terlepas dari Qadha dan Qadar Allah SWT. Ia berlaku sebagaimana yang telah ditetapkan terlebih dahulu di azali. Allah SWT berfirman:

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّـهِ يَسِيرٌ 
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah SWT.” (Surah Al-Hadid:22)

Di sini ada baiknya kami bawakan hadis berhubung dengan Qadha dan Qadar.

عن عبدالله بن عباس: كنتُ خلفَ رسولِ اللهِ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ يومًا قال يا غلامُ، إني أعلِّمُك كلماتٍ: احفَظِ اللهَ يحفَظْك، احفَظِ اللهَ تجِدْه تُجاهَك، إذا سألتَ فاسألِ اللهَ، وإذا استعنْتَ فاستعِنْ باللهِ، واعلمْ أنَّ الأمةَ لو اجتمعتْ على أن ينفعوك بشيءٍ، لم ينفعوك إلا بشيءٍ قد كتبه اللهُ لك، وإنِ اجتمعوا على أن يضُرُّوك بشيءٍ لم يضُروك إلا بشيءٍ قد كتبه اللهُ عليك
Daripada Abdullah bin Abbas RA, katanya: “Suatu hari aku menunggang di belakang Nabi SAW (membonceng).” Kata Baginda: “Wahai anak muda, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimah; peliharalah Allah, nescaya dia akan memeliharamu, peliharalah Allah, nescaya kau akan dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau meminta sesuatu, maka mintalah kepada-Nya. Jika engkau memohon pertolongan, mohonlah dari-Nya. Ketahuilah, sekiranya umat ini berhimpun untuk memberikan manfaat kepadamu, mereka tidak dapat memberi manfaat kepadamu melainkan perkara itu telah tertulis untukmu. Dan jika mereka berhimpun untuk mendatangkan kemudharatan kepadamu, kemudharatan itu tidak akan menimpa ke atasmu, melainkan ianya sememangnya telah tertulis terdahulu akan berlaku ke atasmu. Telah terangkat Qalam dari catitan dan telah kering suhuf (lembaran).” [Riwayat Imam Tirmizi (2516)]

Imam Nawawi dalam syarah Sahih Muslim membawakan komentar berikut:

Al-Khatthabi berkata: “Ramai orang menyangka bahawa makna Qadha dan Qadar adalah paksaan Allah SWT terhadap hamba-Nya ke atas apa yang telah ditentukan dan ditakdirkan oleh-Nya. Perkara ini tidak seperti yang mereka sangkakan. Tetapi makna Qadar ialah, Allah SWT memberitahu tentang ilmu-Nya mendahului apa yang akan diusahakan oleh seseorang hamba dan berlakunya perbuatan tersebut seperti yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dan menjadikan perbuatan-perbuatan manusia itu baik ataupun buruk.” (Rujuk: Syarah al-Nawawi ala  Muslim, 1/155)

Ini adalah pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Berbeza dengan pegangan Jabariah yang mengatakan semua perbuatan manusia sama ada yang diusahakannya atau di luar usahanya, semuanya dengan ketentuan dan takdir Allah SWT, manusia tidak campur tangan langsung dalam hal ini, sebagaimana yang disebut oleh Al-Syahristani:

“Segala perbuatan manusia berlaku mengikut ketentuan dan kehendak Allah SWT, kerana yang melakukan segala perbuatan manusia pada hakikatnya ialah Allah SWT. Manusia sedikit pun tidak ada kuasa di atas perbuatannya sendiri, sehinggakan iman seseorang dan kufurnya pun ketentuan dan kehendak Allah.” (Rujuk: Al-Milal Wa Al-Nihal, 1/87)

Di samping itu perlu kita memhami sifat ‘Iradah Takwiniyah dan ‘Iradah Tasyri’iyah’ bagi Allah SWT.

Yang dimaksudkan dengan Iradah Takwiniyah (kehendak Allah dalam menjadikan sesuatu) ialah, Allah SWT menentukan sesuatu terlebih dahulu dengan Iradah-Nya sebelum ianya berlaku dan Allah SWT telah mengetahuinya terlebih dahulu. Berbeza dengan pandangan sebahagian ahli falasafah yang mengatakan Allah mengetahui sesuatu itu hanya apabila telah berlaku.

إِنَّمَا قَوْلُنَا لِشَيْءٍ إِذَا أَرَدْنَاهُ أَن نَّقُولَ لَهُ كُن فَيَكُون 
“Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: 'Jadilah engkau!', maka menjadilah ia.” (Surah Al-Nahl: 38)

Segala kejadian yang berlaku di alam ini tertakluk di bawah Iradah Takwiniyah. Tidak mungkin Allah SWT menentukan sesuatu kalau Dia tidak mengetahuinya terlebih dahulu.

Sementara yang dimaksudkan dengan Iradah Tasyri’iyah ialah, kehendak Allah SWT dalam menentukan dengan kehendak-Nya hukum-hukum syara’ yang wajib dipatuhi oleh setiap mukallaf. Oleh kerana itu, setiap muslim wajib menundukkan dirinya kepada Iradah Tasyri’iyah Allah SWT ini untuk mendapat balasan yang baik dari-Nya dan mendapat keredhaan-Nya, sebagaimana firman-Nya:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ 
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Surah Al-Zalzalah: 7)

Daripada beberapa dalil al-Quran dan hadis, jelaslah bagi kita bahawa perbuatan manusia itu disandarkan kepadanya apabila kita lihat dari aspek ikhtiar dan usaha manusia itu sendiri dengan kuasa yang ada padanya. Dalam hal ini manusia akan dipertanggungjawabkan ke atas perbuatannya. Akan tetapi bila dilihat dari aspek keberhasilan berlakuknya perbuatan itu, maka itu adalah takdir dan ketentuan Allah SWT.

Kesimpulan

Kesimpulan dari persoalan ini ialah, manusia tidak boleh menyandarkan segala perbuatannya kepada Allah SWT secara semata-mata, kerana terdapat perbezaan antara perbuatan yang boleh diusaha dan dikhtiarkan oleh manausia yang disebut ‘Ikhtiari’(اختياري) dan manusia dipertanggungjawabkan ke atasnya, seperti membunuh, minum arak berjudi dan lain-lain.

Satu lagi perbuatan manusia yang tidak dapat diusahakan oleh manusia dan tidak dipertanggungjawabkan ke atasnya yang disebut ‘Ijbari’(إجباري), seperti bersin, menguap, mengantuk dan lain-lain. Tetapi rahmat Allah SWT begitu luas telah mengurniakan akal kepada manusia untuk mengetahui mana yang hak dan mana yang bathil serta dapat menerima suruhan-Nya lalu mematuhi-Nya dan Allah SWT memberinya pahala. Begitu juga manusia dengan akalnya dapat mengetahui larangan-larangan Allah SWT kemudian meninggalkannya dan Allah SWT memberinya pahala.

Semoga kita dapat menggunakan akal kita untuk menerima kebenaran dan mengikutinya dengan penuh kepatuhan.

Wallahu a'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Dikuasakan oleh Blogger.