Header Ads

Imam Baca Perlahan Sewaktu Solat Maghrib


Soalan:
Apakah hukum imam membaca perlahan di dalam solat Maghrib?

Jawapan:
Berdasarkan soalan di atas, membaca surah al-Fatihah adalah rukun di dalam solat dan tidak sah solat jika tidak dibaca surah al-Fatihah melainkan bagi orang yang masbuq mengikut mazhab al-Syafie.

Adapun membaca surah al-Fatihah secara kuat di dalam solat yang disunatkan membaca kuat seperti solat Maghrib, Isyak dan Subuh adalah termasuk di dalam sunat-sunat hai’ah (الهيئة) [Lihat: al-Muktamad, 310]

Dan jika seseorang itu sama ada makmum atau imam tidak membaca surah al-Fatihah (atau surah-surah selepas surah al-Fatihah) dengan kuat pada solat yang disunatkan membacanya dengan kuat maka ia adalah makruh kerana telah meninggalkan perkara-perkara yang sunat tetapi ia tidaklah menjadikan solat itu batal. Selain itu juga, perbuatan tersebut dikira telah menyelisihi sunnah Nabi SAW kerana Nabi SAW mengarahkan kita agar solat sepertimana Baginda SAW solat:

Sabda Nabi SAW:

وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Dan solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.” [Riwayat al-Bukhari (6008)]

Tambahan pula, Imam al-Syirazi di dalam al-Muhazzab menyatakan dengan jelas bahawa menguatkan bacaan pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh adalah termasuk di dalam perkara yang sunat sahaja bagi imam:

وَيُسْتَحَبُّ لِلإِمَامِ أَنْ يَجْهَرَ بِالقِرَاءَةِ فِيْ الصُّبْحِ وَالْأَوَّلَيَيْنِ مِنَ المَغْرِبِ وَالْأَوَّلَيَيْنِ مِنَ العِشَاءِ وَالدَّلِيْلُ عَلَيْهِ نَقْلُ الخَلَفِ عَنِ السَّلَفِ
“Disunatkan bagi imam menguatkan bacaan pada solat Subuh, dua rakaat pertama solat Maghrib dan dua rakaat pertama solat Isyak. Dalilnya adalah nukilan ulama khalaf daripada ulama salaf.” [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 389/3]

Penutup

Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa solat dibelakang imam yang membaca perlahan di dalam solat yang disunatkan membaca kuat seperti Maghrib, Isyak dan Subuh adalah sah dan tidak perlu diulang kembali solat tersebut kerana menguatkan bacaan pada solat-solat tersebut (solat Maghrib, Isyak dan Subuh) hukumnya adalah sunat sahaja sebagaimana yang telah kami sebutkan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang cintakan rumah-Nya serta menempatkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang melazimi solat berjemaah di masjid. Amin.

Wallahua’lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan
Powered by Blogger.