Header Ads

Hukum Ambil Air Dari Mesin Rosak


Soalan:
Saya masukkan duit ke dalam mesin air (vending machine). Kemudian air keluar, tapi duit pun keluar sekali. Kira saya tak bayar lah. Jadi, halalkah air yang saya minum? Sebab mesin air yang rosak.

Jawapan:
Tuntutan kepada mencari dan bermuamalah dengan perkara-perkara yang halal amat jelas di dalam al-Quran. Sebagai seorang muslim, penekanan pada aspek mencari yang halal dan baik adalah sesuatu perkara yang wajib dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” (Surah al-Nisa’ : 29)

Imam al-Qurtubi menjelaskan perkataan (الْبَاطِل) batil juga boleh memberi maksud “Memakan atau mengambil sesuatu harta tanpa bayaran atau pampasan atau bukan atas jalan hibah dan hadiah. Batil juga boleh dimaksudkan kepada sesuatu yang bukan hak.” (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 5/150) dan (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/593)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nu`man bin Bashir, Nabi SAW bersabda:

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ، وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَةٌ
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar).” [Riwayat al-Bukhari (2051) dan Muslim (1599)]

Imam al-Ghazali menyatakan bahawa pengharaman sesuatu barangan atau makanan boleh terjadi dalam dua keadaan. Pertama: Pengharaman kerana zat atau ‘ain barangan itu sendiri seperti daging khinzir atau arak dan lain-lain. Kedua : Pengharaman disebabkan perkara lain seperti barangan curi, riba atau lain-lain yang tidak mematuhi syarak dan sebagainya. (Rujuk al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, oleh Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 24)

Kembali kepada persoalan yang diajukan, hukum mengambil atau memakan minuman dari mesin minuman yang rosak adalah dilarang dan haram jika tanpa pembayaran. Ini kerana, berdasarkan ayat di atas, keredaan dari kedua-dua belah pihak (pembeli dan penjual) adalah wajib dalam muamalah jualbeli. Setiap perniagaan yang dijalankan adalah bertujuan kepada keuntungan dan perkara ini tidak ternafi pada perniagaan air (vending machine) juga. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada pembeli untuk memaklumkan kepada pemilik mesin air (vending machine) tentang kerosakan tersebut untuk diselenggara.

Kesimpulan:
Dalam perkara ini, kami melihat adalah haram dan dilarang untuk mengambil minuman atau makanan dari mesin air (vending machine) yang rosak tanpa membuat pembayaran. Dalam keadaan tersebut, pembeli yang telah mengambil air perlulah membayar semula harga air yang diambil dengan cara manual kepada pemilik mesin air itu. Ini kerana konsep yang diketengahkan dalam muamalah ini (vending machine) adalah jual beli yang bermaksud kita sebagai pelanggan membeli dan dia sebagai penjual menjual. Kita telah mendapatkan hak kita sedangkan dia belum lagi mendapatkan haknya. Justeru, bayarlah. Wallahu a’lam.


+ Mufti Wilayah Persekutuan
Powered by Blogger.